BH Online
Ringkasan Berita

Institusi Raja kuasa pengimbang

PADA 1905, Frank Swettenham menyebut: ‘When the Malays say no to certain things, they may say yes for their Sultans’.
Institusi Raja kuasa pengimbang

Istana Negara.

PADA 1905, Frank Swettenham menyebut: 'When the Malays say no to certain things, they may say yes for their Sultans'.

Rakyat masih menghadap Raja. Menghadap itu ertinya berdatang sembah. Sembah ialah segala apa yang digerak-geri dan dilafazkan di antara Raja dengan warga atau rakyatnya melalui peraturan yang adab. Rakyat berkata, Raja bertitah. Bila bertitah, ia menjadi pegangan.

Braddel, satu-satunya penasihat undang-undang Inggeris menulis pada 1935 dengan menyatakan titah Raja Melayu adalah seperti undang-undang dan dipatuhi rakyatnya. Dia dan Swettenham sependapat 'a Malay is not quite a Malay if he does not adhere to the ways of the sultanate'.

negara
Istana Negara.

Setiap orang Melayu harus sedar Raja Melayu itu mercu tanda tertinggi hierarki ketuanan Melayu yang padanya terletak keistimewaan Melayu. Jika institusi ini diperkecil, hancurlah hak utama Melayu itu.

Kuasa politik hari ini adalah mentadbir negara bagi pihak rakyat dan Raja. Mereka bukan kuasa sejati dengan sendirinya. Raja itu sebahagian daripada institusi Legislatif, Eksekutif dan segala pemerintahan diperbuat atas dan bagi pihak Raja.

Bukan tiba-tiba

Perlembagaan Persekutuan dan negeri mempunyai sejarah. Ia bukan wujud secara tiba-tiba. Penurunan kuasa paling utama menjelang merdeka ialah oleh Raja-Raja dengan persetujuan kedaulatan raja-raja dan orang Melayu terjamin.

Konsep kedaulatan dan kebesaran Raja Melayu itu bukan bertalian dengan konsep Westminster atau Barat. Ia lahir di alam Melayu. Sebab itu Raja berfungsi di Parlimen sebagai sebahagian daripada komponennya. Raja juga berfungsi sebagai sovereign atau kedaulatan pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Raja bukan alat kepada pihak Eksekutif memerintah melalui politik. Jika kuasa Raja sudah diambil pemimpin politik, hilang sebahagian besar kuasa Raja itu.

Antara peruntukan menarik dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, tetapi kurang mendapat pendedahan bagi kefahaman orang ramai berbunyi berikut:

"Ia, adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kepentingan orang Melayu dan pribumi… di Sabah dan Sarawak… dan memelihara hak asasi komuniti bukan Bumiputera…"

Kandungan penting ini dipetik kerana ia jaminan jelas masyarakat bukan Bumiputera sedia terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sebuah pepatah berbunyi:

Raja adil, Raja disembah
Raja zalim, Raja disanggah.

Dirundingi dahulu

Institusi Majlis Raja-Raja itu sebenarnya institusi pengimbang kepada sistem pemerintahan secara Persekutuan. Misalnya jika apa-apa perubahan hendak dilakukan kepada perkara berkaitan hal-ehwal di-Raja termasuk kedaulatan, kedudukan dan keistimewaan mereka, atau Perkara 152 (bahasa Kebangsaan), 153 (hak-hak keistimewaan orang Melayu), 160 (adat dan keMelayuan), Majlis Raja-Raja berhak dan hendaklah terlebih dahulu dirundingi.

Daripada susunan bahasa Perkara 43, Kabinet dilantik dengan tujuan menasihati Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugasnya mentadbir negara ini selepas mendapat mandat rakyat pilihan raya umum (PRU).

Bagi apa juga maksud dan tujuan, perkataan 'untuk menasihati beliau dalam menjalankan tugas-tugasnya' dalam erti kata sebenarnya ialah Kabinet mesti mentadbir negara di atas nama Yang di-Pertuan Agong dengan sewajarnya.

Bahkan sebelum ini Yang di-Pertuan Agong ke-16 sanggup mencemar duli memanggil semua presiden parti politik utama menghadap baginda untuk mendengar isu semasa dibangkitkan.

Teguran

Pada masa lalu juga Yang di-Pertuan Agong bebas menyuarakan pendapat dalam pelbagai perkara. Baginda boleh mencadangkan sesuatu kepada Perdana Menteri atau memberi teguran mengenai tandas kotor atau jamuan negara menjemukan pada malam sebelumnya.

Daripada isu keselamatan ke pembinaan istana, permasalahan Islam berbilang mazhab kepada pembinaan hotel - semua ini pernah dibangkitkan Agong sebelum ini.

Yang di-Pertuan Agong juga boleh menitah mana-mana menteri memberi taklimat kepadanya. Realitinya, Yang di-Pertuan Agong menikmati fungsi Eksekutif jika tidak kuasa de facto Eksekutif.

Hakikatnya, kuasa pengimbang politik Malaysia tetap ada pada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Perkara 43(2) syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat. Seri Paduka juga mempunyai budi bicara mutlak untuk sama ada perkenankan permintaan bubar Parlimen oleh Perdana Menteri.

Monarki

Hakikatnya, peranan dimainkan monarki dalam membantu pentadbiran negara tidak boleh diperkecil atau diremehkan kerana terbukti keberkesanannya. Walaupun Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen, realitinya kewujudan monarki dalam ruang lingkup sistem Raja Berperlembagaan membuatkan cabang Eksekutif lazimnya seiring dalam mengurus pentadbiran negara.

Institusi diraja juga berperanan sebagai benteng mengawal perpecahan negara. Bila Catalonia, salah satu wilayah di Sepanyol menuntut kemerdekaan daripada Madrid pada 2017, Raja Sepanyol Felipe VI lantas menyuarakan rasa tidak puas hati baginda terhadap permintaan itu bertentangan dengan perlembagaan Sepanyol.

Di Britain, tatacara Ratu Elizabeth pula berbeza. Baginda tidak campur tangan dalam isu tuntutan kemerdekaan Scotland dan isu Brexit, tetapi tentunya kemelut melanda isu Brexit menempuh jalan berbeza jika baginda campur tangan.

Sandaran, harapan

Sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan kita kunci kemakmuran dikecapi Malaysia selama ini. Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tidak mampu berpeluk tubuh dan berdiam diri dalam soal menyentuh kepentingan rakyat jelata. Kedaulatan pada Tuanku itu kedaulatan bangsa Melayu.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi kepada institusi Raja di negara. Kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara juga sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijadikan sandaran rakyat menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

Sesungguhnya, institusi Raja adalah harapan terbaik dan benteng terakhir orang Melayu, umpama kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan. Dirgayahu Tuanku.

Video Terkini

Berita Berkaitan