BH Online
Ringkasan Berita

Hero rakyat atau 'abu jahal' politik...

DATA atau statistik bila ada di tangan, memang cantik dan menarik untuk digarapkan.
Hero rakyat atau 'abu jahal' politik...

Sebaik saja mengangkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu pada 13 Mei lalu, C Joseph Vijay terus mengarahkan penutupan lebih 700 kedai arak di negeri itu, dengan arahan supaya pelaksanaan dilakukan dalam tempoh dua minggu. - Foto REUTERS

DATA atau statistik bila ada di tangan, memang cantik dan menarik untuk digarapkan.

Macam kita menonton wayang, ada hero, heroin dan 'abu jahal'nya. Jalan cerita awal dan akhir sudah ditentukan.

Ada ketika seperti situasi mencabar hari ini akibat kesan bekalan global, pihak ini mudah menangguk di air keruh. Dengan sebahagian orang kita masih 'tersangkut' pada persepsi, gosip dan kontroversi, 'data' dibentangkan mudah diterima. Apa lagi yang disuakan soal bebanan hidup dan survival kaum.

Apa iktibar atau teladan boleh dikutip daripada tindak tanduk sebilangan Yang Berhormat berpaling tadah atau membawa haluan sendiri dalam politik Malaysia hari ini? Bila diberi jawatan dalam kerajaan, gagal berfungsi, tiada pula impak besar sebagai Yang Berkhidmat. Namun apabila berada di luar kerajaan, segalanya 'dikelihatankan' tampak sehingga 'gajah pun boleh terbang'.

vijayarak13
Sebaik saja mengangkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu pada 13 Mei lalu, C Joseph Vijay terus mengarahkan penutupan lebih 700 kedai arak di negeri itu, dengan arahan supaya pelaksanaan dilakukan dalam tempoh dua minggu. - Foto REUTERS

Terobos akta antilompat

Biar diucap 1,001 alasan perbuatan itu, dalam politik tradisinya matlamat akan sentiasa di hadapan menghalalkan cara. Waima akta antilompat yang dikuatkuasakan menghalang sekalipun, ada sahaja cara, peluang untuk 'menerobosnya'.

Begitupun, hakikatnya politik tetap berupa alat dan kaedah untuk mencapai kebaikan kepada orang ramai. Bukan untuk keburukan seperti agenda peribadi yang lahap kuasa dan gelojoh mengkayakan diri sendiri.

Cuma, usah percaya 100 peratus terhadap 'tetamu tak diundang' yang konon membawa mesej besar sehinggakan 'gunung atau ombak pun boleh ditolak'. Dan terutama sekali bab 'memperjuangkan nasib Melayu dan ummah'.

Sudah banyak retorik dimainkan terlalu nyaring akan isu Melayu dan ummah ini oleh parti tertentu. Matlamatnya untuk mendapat sorakan penonton bahawa merekalah pejuang kepada penyatuan Melayu dan ummah. Walhal ini semua hanyalah lakonan teater politik semata-mata.

Main wayang

Main wayang dengan berselindung di sebalik teater 'perjuangkan Melayu dan penyatuan ummah dan Islam' begitu menjengkelkan. Sedangkan nawaitu sebenar hanyalah kuasa dan mahu menjadi king maker.

Kepada orang Melayu khususnya - memang boleh berbangga dan mendabik dada jika sifat-sifat tinggi peradaban terlengkap pada diri pemimpin dan yang dipimpin. Bila ini terbukti, dengan sendirinya orang Melayu akan dilonjakkan oleh masyarakat Malaysia. Tetapi sekadar melaungkan Melayu tuan kepada sekalian yang lain sudah tentu akan menyulitkan perjuangan itu sendiri.

Yang perlu diingati ialah setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung pada Perkara 153 atau kedaulatan Raja-Raja Melayu (Perkara 38 dan 181), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152) serta perkhidmatan awam yang majoriti Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi negara, ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi. Jauh sekali mendaftarkan ketuanan Melayu itu sendiri.

Yang penting, mesti kuat dari segi politik. Bila kuasa di tangan harus pandai menggunakannya dengan bijak. Ketuanan akan datang dan kekal jika kuasa politik kukuh dan terus membela bangsa.

Malangnya, kekukuhan dan ketuanan bukan komoditi yang mudah diperoleh dengan hanya laungan. Ia akan hanya datang dan berada di sisi apabila perjuangan itu luhur dan tidak kotor. Kalau diri kita mudah dibeli undinya dalam pilihan raya, bagaimana kita boleh kata kita tuan?

Game changer

Justeru biar apa pun game changer daripada segelintir orang politik yang sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, yang perlu diingati oleh rakyat adalah kestabilan Malaysia hari ini yang cukup penting dan getir.

Harus daya saing negara menjadi keutamaan dan diperkukuhkan demi menarik pelaburan yang banyak. Politik yang goyah hanya mengakibatkan penanam modal tidak ada konfiden. Merananya adalah rakyat.

Dengan itu juga Kabinet wajib diperkuatkan, antara kaedahnya termasuk tindakan drastik dari Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Paling utama negara harus memiliki dasar sekuriti makanan, dengan menteri-menteri 'cukup reti' bab pertanian dan industri. Serta kita memiliki dasar ekonomi pelaburan yang senantiasa ampuh biar apa pun cabaran membadai. Semua menteri wajib ingat sumpah jawatan. Jika sewenang-wenang melulu tindak tanduknya, ia cukup melukakan.

Harus terus beringat, kesilapan dilakukan dalam politik dan berkerajaan amat besar risikonya. Seseorang yang memegang jawatan tinggi perlu cermat dan hati-hati dalam serba-serbi tindakan. Termasuklah kenyataan kepada media atau pandangan masyarakat seluruhnya kepada perwatakan dan dirinya. Ada belaka padahnya yang buruk.

Fakta atau auta?

Walaupun politik Malaysia sedang memburuk akhir-akhir ini menjelang 18 bulan sebelum mandat pentadbiran kerajaan berakhir, kita rakyat harus berwaspada dengan data atau statistik dicanangkan. Jika setelah dinilai, ada faktanya, terima. Jika tidak, tolak.

Khabarnya akan ada lagi drama orang politik menyusul. Dan lebih 'mendunia' lagi. Namun, biar apa pun nada dan alasan berbuat demikian itu, yang pertama-tamanya mereka wajib menginsafi bahawa rakyat Malaysia kini cukup khuatir dengan tindak tanduk orang politik yang fikirkan tembolok sendiri berebut kuasa dan jawatan.

Yang deritanya pelanduk mati di tengah-tengah akibat gajah sama gajah bertempur.

Dan amat malang lagi yang saling bermusuhan sebelum itu bak langit mahu runtuh seperti tiada hari esok ini akhirnya berdakap sesama sendiri. Tidak peduli mata sekeliling perhati sekian lama.

Seolah-olah rakyat ini buta dan tuli dengan 'sengketa dan drama' yang berlaku.

Beringat ini - anda akan diuji di kertas undi akhirnya.

Video Terkini

Berita Berkaitan