BUKAN senang orang kerajaan nak bercakap sekarang. Apa lagi dalam kalangan menteri dan timbalan menteri. Kena hati-hati susun kata walaupun sebaris ayat, sepatah perkataan.
Setiap bait-bait ucapan atau kenyataan akan dinilai satu persatu. Salah cakap buruk padahnya. Ributlah di media sosial.
Ada kenyataan yang mudah rakyat faham, tapi sengaja pula diambil di luar konteks atau separuh masak - sekerat belut, sekerat ular. Sebilangan netizen tidak bagi peluang langsung. Jika dia dari kumpulan anti kerajaan, 'berasaplah' nak dijawab. Namun jawapan balas perlu dibuat. Jangan membatu seribu bahasa. Jawab berulang kali, siap dengan naratifnya lagi baik.

Isu sensitif
Itu sebabnya orang tua kita selalu berpesan 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar'. Isu-isu sensitif seperti UEC, ternakan babi, agama, kaum dan budaya harus waspada dan cerdik apabila mengulas.
Bagi kerajaan, usah gentar menyatakan pendirian. Jika bagus untuk kestabilan, keharmonian kaum dan masa depan negara, teruskan langkah anda. Main sembunyi-sembunyi lagi bahaya. Jika tembelang pecah nanti tak tahu apa nak jawab. Nasi sudah jadi bubur.
Lagi kerajaan 'tutup pintu' menjelaskan sesuatu isu bermanfaat diambil iktibar oleh rakyat, lagi kita mengumpul onarnya.
Dengan krisis bekalan global sudah bermula impaknya dan menjangkiti negara ini, adakah bermakna Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu segera dipanggil?
Pilihan raya mengejut
Ramai bercakap soal Melaka, Johor dan Negeri Sembilan perlukan segera pilihan raya negeri (PRN) serentak. Difahamkan, setiap parti politik pun sudah sibuk merencana strategi masing-masing ke arah pilihan raya.
Baik UMNO mahupun DAP, PKR, apa lagi pembangkang seperti PAS dan BERSATU, dikatakan sudah ada senarai panjang calon mereka.
Jika PRN mengejut berlaku, mereka sudah bersedia. Sama juga PRU, tidak ada masalah.
Dan seminggu dua ini hinggap 'analisis' ke telinga ini, andai kata ada parti bukan komponen Pakatan Harapan (PH) menang besar dalam PRN di tiga negeri berkenaan, lantas bagaimana nasib PH?
Parti terbabit dengan bonus yang ada, kemudiannya melangkah yakin masuk gelanggang PRU dan menang bergaya.
Dengan dalam kalangan komponen PH kini kurang tenteram senarionya, ditambah bekas timbalan presiden PKR amat agresif 'menyerang' dari segenap sudut kerajaan, keadaan cukup tegang.
Agak kurang memihak tonggak Kerajaan Perpaduan untuk kekal bertahan.
Ditambah lagi kebimbangan nyata krisis bekalan global akan merencatkan ekonomi negara serta menjejaskan inisiatif yang rakyat Malaysia nikmati tiga tahun kebelakangan ini, lantas molek sahaja dilangsungkan terus PRU16.
Parlimen perlu bubar?
Cuma, persoalannya adakah ini masa tepat untuk dibubarkan Parlimen ketika PH ada kuasa memerintah berbaki tempoh 18 bulan lagi?
Benar. politik Malaysia hari ini amat dinamik. Ia banyak berkisar sentimen isu berlegar dalam dan luar negara. Siapa sangka perang Amerika Syarikat (AS)-Iran akan berlaku ketika sepatutnya dua tahun menjelang mandat kerajaan memerintah berakhir bermula 1 Januari 2026, direncanakan hanya khabar gembira akan diumumkan kerajaan kepada rakyat.
Dan siapa juga menjangka Iran masih kebal dan terus bertahan daripada belasahan AS dan Israel? Dan Selat Hormuz yang menjadi rebutan AS masih di bawah kawalan Tehran. Tutup atau buka semula selat ini kesannya memakan jangka masa panjang untuk pulih.
Ada menjangka suku kedua 2027, barulah ekonomi negara kembali sediakala seperti sebelum ini. Ada pula mentafsirkan kesan perang di Asia Barat boleh memakan masa tiga, empat tahun untuk pulih.
Tidak dapat disangkal ribut dalam cawan dialami BERSATU dan PKR - dua parti menunjangi kerajaan dan pembangkang - sudah melimpah sedikit airnya.
Jika diamati yang tiada ribut-ribut, kemarau atau taufan, kelihatannya lebih memihak UMNO (Barisan Nasional), DAP dan PAS.
Dinamik
Itu antara contoh dinamiknya politik Malaysia hari ini. Parti (UMNO) kalah yang bilangan kerusinya cuma 26 masih mampu berperanan besar dalam kerajaan.
Jadi, jika ada pemimpin parti yang masih mengatakan 'usah berangan untuk parti lain menawan negeri aku kerana lapan bulan lalu kamu kalah semua kerusi parlimen', pengamatan sedemikian jelas bongkak. Tidak lagi relevan untuk politik Malaysia.
Waima apa pun, Kabinet bukan platform 'boleh main-main'. Dari segi cakap logiknya, dengan sumpahnya, dengan harapan rakyatnya, peranan dirajanya, legislatif, maka keputusan Kabinet dalam isu besar perlu dihormati.
Ya, kerana pada tahun 1990-an, rakyat cukup kritikal terhadap perenggan orang yang menjadi menteri itu dibimbangi mensia-siakan harapan mereka.
Eh! 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar'
























