BH Online
Ringkasan Berita

Perang Asia Barat uji daya tahan negara, rakyat

SAYA berpeluang menyampaikan dua syarahan, antara lain berkait rapat dengan ekonomi. Sudah tentu, kita tidak perlu menafikan sama sekali, ramai dalam kalangan kita memikirkan impak ke atas kehidupan seharian dan bagaimana hendak berhadapan dengan satu lagi kitaran kesan buruk selepas era COVID-19 genap enam tahun.
Perang Asia Barat uji daya tahan negara, rakyat

Setiap krisis menyebabkan kesan rantaian global dan Malaysia sebagai negara dagangan terbuka yang bergantung kepada ekosistem dunia tidak bebas daripada impak setiap krisis, kegawatan dan konflik global. - Foto hiasan

SAYA berpeluang menyampaikan dua syarahan, antara lain berkait rapat dengan ekonomi. Sudah tentu, kita tidak perlu menafikan sama sekali, ramai dalam kalangan kita memikirkan impak ke atas kehidupan seharian dan bagaimana hendak berhadapan dengan satu lagi kitaran kesan buruk selepas era COVID-19 genap enam tahun.

Kesan menghantui kita itu masih segar. Majoriti daripada kita sudah sebati dengan ekosistem norma baharu.

Tiba-tiba kita berhadapan dengan satu lagi kejutan baharu. Konflik akibat tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, manakala negara Parsi itu pula bertindak balas dengan fokus ke atas sejumlah negara jiran di Asia Barat. Impaknya sudah dirasai, tetapi kesudahannya masih samar.

Di tengah-tengah pelbagai persoalan bermain di minda kita, saya teringat sesuatu tulisan disiarkan hampir setahun lalu. Pada pertengahan tahun lalu, di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan ketidakpastian ekonomi yang semakin meningkat, Bank Dunia pernah memberi amaran bahawa sebarang konflik di Asia Barat, terutama antara Israel dengan Iran boleh membawa akibat meluas dan negatif kepada rantau ini dan seterusnya.

Dipetik Asharq Al-Awsat, iaitu akhbar antarabangsa Arab beribu pejabat di London, Pengarah Serantau Bank Dunia untuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Safaa El Tayeb El-Kogali berkongsi pandangan bahawa sebarang konflik, terutama di rantau itu boleh membawa kesan berpanjangan dan buruk.

Beliau menambah kesannya tidak terhad kepada pasaran tenaga sahaja, tetapi merangkumi peningkatan kos penghantaran, tekanan inflasi meningkat dan peningkatan ketidakpastian pelabur.

Hampir satu dunia dan seluruh rantau, termasuk Malaysia merasai bahang tindakan ketenteraan dimulakan AS ke atas Iran, lebih dua bulan lalu, yang turut membawa kepada bencana di Asia Barat dan seluruh dunia.

Sehingga kini tiada tanda-tanda perang di Asia Barat itu akan berakhir. Perang bermula di Iran dan ia berkembang ke rantau berkenaan apabila Tehran menggerakkan tindak balas.

Tindakan balas Iran meletakkan kesan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Kebimbangan dan kesengsaraan perang tidak diundang ini serta dibenci seluruh dunia membawa kesan buruk meluas dan serius.

Sepanjang 26 tahun lalu, khusus sejak awal alaf baharu, dunia berhadapan dengan pelbagai krisis, yang secara langsung mengakibatkan kesan buruk ke atas ekonomi dunia dan hampir semua negara. Tiada negara dan benua terkecuali atau bebas daripada impak buruk diakibatkannya. Hampir setiap lima tahun, mimpi buruk baharu menghantui setiap orang dan negara.

Selepas krisis ekonomi rantau Asia pada 1998, dunia menyaksikan krisis dotcom, disusuli krisis subprima pada 2008 dan 2009; krisis hutang Eropah (2010-2012); krisis mata wang dan ekonomi di beberapa negara membangun (2013-2015) serta krisis pasaran saham China (2015).

Kedudukan dunia diburukkan lagi oleh krisis COVID-19, bermula 2020, pandemik kesihatan terburuk dalam satu abad dan seterusnya krisis inflasi global dan kenaikan kadar faedah (2022-2023) dan kini kita berhadapan ketidaktentuan pasaran akibat geopolitik dicetuskan tindakan ketenteraan AS dan Israel ke atas Iran itu.

Malah, dunia juga berhadapan dengan impak buruk ekoran konflik ketenteraan Russia ke atas Ukraine, tiga tahun lalu.

Malaysia yang tiada pilihan turut berhadapan impak akibat siri krisis, sama ada politik ataupun ekonomi, sejak negara merdeka. Setiap krisis menyebabkan kesan rantaian global dan Malaysia sebagai negara dagangan terbuka yang bergantung kepada ekosistem dunia tidak bebas daripada impak setiap krisis, kegawatan dan konflik global.

Hakikatnya, Perang Asia Barat harus kita lihat sebagai cermin ketahanan Malaysia sebenarnya. Dalam erti kata lain, ia refleksi sejauh mana negara dan rakyat pada amnya bersedia menghadapi satu lagi krisis global.

Perang yang dunia saksikan pada hari ini menjadi peluang baharu sejauh mana dan bagaimana kenaikan harga minyak serta inflasi akibat perang dirasai di pelbagai peringkat kehidupan.

Kesan sudah dirasai

Sebenarnya kita sudahpun mula berasakan kesannya. Mulai 1 April lalu, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan jumlah minyak RON95 bersubsidi yang boleh dibeli, menurun daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.

Ini pendekatan sementara diambil kerajaan. Namun, ramai sudah memikirkan kesannya. Dalam jangka panjang, kesan perang menekankan bagaimana konflik boleh mempercepatkan transformasi tenaga dan dasar luar Malaysia.

Menarik juga kerana impak perang menghubungkan isu global dengan kehidupan seharian rakyat. Tanpa opsyen luas kita perlu menghadapi satu lagi norma baharu kehidupan.

Perang di Asia Barat memberi kesan besar kepada pasaran minyak global dan inflasi domestik. Malaysia, sebagai negara bergantung kepada import makanan dan bahan mentah, perlu mengambil langkah segera untuk melindungi rakyat daripada kesan ekonomi.

Kerajaan sedang menilai kemungkinan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi. Juga terdapat saranan akan diadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan kesan perang terhadap ekonomi. Juga ada perbincangan dan sesi penerangan dengan kerajaan negeri.

Pakar ekonomi menganggarkan lonjakan harga minyak sehingga AS$150 satu tong sekiranya Selat Hormuz terus ditutup sehingga sebulan lagi. Fokus utama bantuan adalah mengawal inflasi, iaitu memastikan harga barang asas tidak melonjak terlalu tinggi, selain melindungi golongan rentan menerusi pemberian subsidi dan bantuan tunai bersasar. Pada masa sama kerajaan sedang berusaha kerana mahu menjamin kestabilan tenaga dan peralihan tenaga hijau.

Fokus kepada golongan B40 dan M40 paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Subsidi tenaga dan makanan asas untuk mengurangkan beban harian rakyat. Langkah bantuan ekonomi kerajaan Malaysia menunjukkan usaha untuk menyeimbangkan tindakan segera dengan strategi jangka panjang.

Kita berhadapan dengan cabaran dan pengajaran. Pertama, kelemahan sistem kewangan global. Kedua, kepentingan diversifikasi ekonomi dan ketiga, peranan dasar fiskal serta monetari.

Dunia berhadapan dengan satu lagi kejutan serius. Dua persoalan utama timbul, iaitu sejauh mana keadaan boleh menjadi lebih buruk dan berapa lama ia mungkin berlarutan. Kesannya terhadap perdagangan dan keselamatan makanan akan bergantung pada tempoh perang.

Dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menangani risiko global yang muncul, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat, yang menambah kerumitan kepada persekitaran luaran.

"Kita kini memasuki 'situasi' yang agak belum diterokai, dengan cabaran baharu," tambah beliau.

Berbekalkan pengalaman luas sejak lebih enam dekad lalu, rakyat dan negara perlu memperkasakan daya tahan bagi menghadapi kesan impak konflik semasa.

Penulis adalah Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) merangkap Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centre Association (WTCA)

Video Terkini

Berita Berkaitan