MAFIA antara contoh paling terkenal bagi rangkaian jenayah terancang berstruktur dan berhierarki, yang beroperasi menyerupai entiti perniagaan.
Kumpulan mafia bergantung kepada sistem pengurusan, perancangan strategik dan kawalan wilayah dalam menjalankan aktiviti haram bagi meraih keuntungan ekonomi.
Jenayah mereka merangkumi pemerasan, perjudian, pemberian pinjaman haram dan pengubahan wang haram. Keganasan serta pembunuhan digunakan untuk menegakkan kuasa, menyingkirkan pesaing dan mengekalkan disiplin dalaman.
Kegiatan mafia boleh dikesan sejak akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, apabila pendatang Sicily di bandar seperti New York, Chicago, Detroit dan Boston membentuk kumpulan terancang untuk perlindungan dan kelangsungan hidup.
Antara mafia Itali-Amerika paling terkenal ialah keluarga jenayah Genovese, Gambino dan Lucchese, yang menjadi sebahagian Five Families dalam La Cosa Nostra.
Setiap keluarga dipimpin seorang ketua atau 'don', ibarat ketua pegawai eksekutif (CEO) yang menetapkan strategi, membuat keputusan utama dan menentukan arah jangka panjang tanpa terbabit secara langsung dalam urusan harian.
Fokusnya tertumpu pada perkembangan organisasi, pengurusan sumber serta kepemimpinan melalui pemikiran strategik proaktif.
Sementara itu, timbalan ketua atau underboss, yang lazimnya individu dilatih sebagai pengganti kadangkala anak sendiri berperanan sebagai orang kedua dalam struktur hierarki.
Individu ketiga dalam hierarki ialah penasihat dan orang kepercayaan dan di bawahnya, kapten atau 'capo' menyelia ahli berpangkat paling rendah yang dikenali sebagai 'soldier'.
Usaha membanteras operasi mafia di New York pada awal abad ke-20 sering gagal akibat rasuah dan ugutan yang berleluasa agensi penguat kuasa. Ramai pegawai penguat kuasa, penjawat awam, malah anggota kehakiman menerima sogokan.
Keupayaan mereka untuk 'membeli' sistem undang-undang adalah kunci kepada kelangsungan organisasi ini.
Mafia sering mengamalkan taktik 'plata o plomo' (perak atau peluru), iaitu 'plata' berupa sogokan kepada pegawai bekerjasama dalam bentuk bayaran lumayan secara berterusan, manakala 'plomo' ialah ancaman keganasan terhadap pegawai berkenaan atau ahli keluarganya jika menolak sogokan.
Pemimpin mafia juga melindungi diri daripada pendakwaan dengan menyerahkan pelaksanaan jenayah kepada orang bawahan, menjadikannya sukar untuk mengesan pihak bertanggungjawab.
Antara ketua mafia seperti Al Capone dan Carlo Gambino menjadi contoh menggunakan strategi ini.
Kekayaan kumpulan mafia juga membolehkan mereka mendapatkan khidmat guaman terbaik, mengeksploitasi kelompongan undang-undang dan memanfaatkan rangkaian rasuah untuk mengelakkan sabitan.
Pada 1931, Al Capone disabitkan atas kesalahan pengelakan cukai dan dijatuhi hukuman penjara 11 tahun, membuktikan siasatan kewangan boleh berjaya apabila kaedah tradisional gagal, sekali gus menjadi asas kepada perakaunan forensik yang diguna pakai sehingga kini.
Sebagai tindak balas, kumpulan mafia menyesuaikan diri dengan menjadi lebih berahsia dan melabur dalam industri sah seperti pembinaan, pengangkutan dan pengurusan sisa bagi mengubah wang haram serta mengelakkan pengawasan.
Jenayah terancang merentasi sempadan
Sejak 1980-an, jenayah terancang berkembang menjadi rangkaian global lebih terdesentralisasi. Dengan memanfaatkan globalisasi, teknologi dan sistem kewangan yang kompleks, kumpulan ini beroperasi merentasi sempadan dalam aktiviti seperti pengedaran dadah, jenayah siber, penipuan dan pemerdagangan manusia.
Kumpulan hibrid dari Russia, China dan Mexico sering disokong profesional seperti peguam dan akauntan serta menggunakan shell company untuk operasi mereka.
Kelonggaran kawal selia kewangan juga membantu mereka, mafia melakukan pengubahan wang haram melalui penempatan, iaitu memasukkan wang tunai ke bank; pelapisan (memindahkan wang antara akaun atau negara) dan integrasi (menggunakan wang itu untuk membeli perniagaan seperti restoran atau hartanah supaya kelihatan sah).
Laporan menunjukkan Finland yang dianggap sebagai negara rendah rasuah, mempunyai kira-kira 100 kumpulan jenayah terancang dengan rangkaian yang semakin berkembang dan pengaruh asing.
Di Itali, selain Mafia Sicily, kumpulan utama lain ialah Ndrangheta dan Camorra, yang mempunyai puluhan ribu ahli, menjadikan negara itu pusat penting jenayah terancang di Eropah.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) melaporkan aktiviti berkaitan mafia kini merangkumi penipuan sekuriti, scam, perjudian haram, pertaruhan dalam talian dan penipuan yang semakin canggih serta sukar dikesan agensi penguat kuasa.
Pada 2022, FBI mendakwa sembilan ahli daripada keluarga jenayah Genovese dan Bonnano atas tuduhan pemerasan (racketeering), perjudian haram, pengubahan wang haram dan jenayah lain.
Pada Disember 2024, bekas kapten keluarga jenayah Genovese, Carmelo Polito, dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan kerana mengendalikan pusat perjudian haram serta skim perjudian dalam talian yang menyalahi undang-undang. Kedua-dua keluarga jenayah ini wujud dalam bentuk organisasi sejak 1931.
Pencegahan berkesan memerlukan pendekatan pelbagai dimensi termasuk rangka kerja undang-undang adaptif, tadbir urus kukuh, penguatkuasaan berkesan, kerjasama antarabangsa dan pemantauan proaktif.
Dengan menggabungkan ketelusan, kerjasama dan strategi inovatif, masyarakat boleh mengehadkan pengaruh jenayah terancang serta melindungi institusi, komuniti dan kedaulatan undang-undang.
Strategi moden seperti perakaunan forensik, siasatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan perkongsian risikan menyokong usaha ini.
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram memainkan peranan penting dengan membolehkan pihak berkuasa merampas aset dan mendakwa jenayah kewangan, namun kuasa luasnya memerlukan pengawasan rapi bagi mengelakkan penyalahgunaan.
Kesimpulannya, jenayah terancang berubah daripada kumpulan tempatan kaku dan ganas kepada rangkaian global fleksibel, berteknologi tinggi serta lebih tersusun.
Walaupun keganasan kini kurang kelihatan, matlamatnya masih sama, iaitu keuntungan, yang kini dicapai melalui jenayah siber, penipuan dan pengubahan wang haram yang semakin sofistikated.
Penulis adalah Profesor dan Pengarah Institut Kriminologi Dan Keadilan Jenayah, Universiti HELP
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH











_1777689010.jpg)












