BERDASARKAN tinjauan umum, sekitar 52 peratus negara di dunia yang mempunyai dasar dan polisi meletakkan darihal kepenggunaan dalam kerangka dasar nasional spesifik dan khusus. Jika kita ingin merujuk kepada elemen kepenggunaan dalam kerangka 'pelan induk nasional', jumlahnya jauh lebih kecil lagi.
Majoriti negara hanya mendahulukan aspek perundangan dan perlindungan pengguna sebagai perkara lebih wajar dijadikan prioriti dan keutamaan. Jika kita menggunakan semangat 'Perlindungan Pengguna' (Consumer Protection) sebagai kayu ukur, majoriti negara berpendapatan tinggi (77 peratus) dan negara berpendapatan sederhana (90 peratus) mempunyai kerangka perlindungan pengguna yang agak kukuh, rapi dan menyeluruh.
Namun, mutakhir ini banyak negara melakukan pelbagai pindaan dan perubahan kepada kerangka perundangan kepenggunaan agar lebih rinci dan menyeluruh.
Kajian dilakukan Firma Salsify, menjelaskan antara 10 'arus' baharu kepenggunaan ialah peranan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mendapat keyakinan dalam kalangan pengguna. Walaupun dikatakan wujud jurang kepercayaan dalam penggunaan AI, 2026 Consumer Research yang sama menjangkakan peningkatan sektor e-dagang pada peringkat global berkemungkinan mencapai lebih 20 peratus.
Perkembangan ini, khususnya peranan AI dan algoritma, sementara ia baik untuk menjadikan transaksi lebih efisien dan pantas – masih mempunyai sisi negatif perlu ditangani sebaiknya. Algoritma menurut banyak kajian, menampilkan elemen kelegapan (opacity), buram dan kurang jali dalam penentuan harga dan sebagainya.
Ini diperkukuh dengan dapatan dilakukan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melalui Kajian Semula Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital dibentangkan awal tahun ini. Soalnya, sampai ke tahap mana kerangka perundangan mahu merinci muamalat dan amalan transaksi rakyat?
Menurut data Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), lebih daripada 80 peratus negara di dunia mempunyai sekurang-kurangnya satu bentuk perundangan e-dagang (sama ada dalam aspek perlindungan pengguna, transaksi elektronik dan privasi data). Sementara 72 negara mengemukakan lebih 1,000 inisiatif dasar dan kerangka undang-undang baru berkaitan AI.
Dua tahun kebelakangan ini, kerajaan sebenarnya sudah mengambil jalan sahih dan jitu dengan memulakan pelbagai agenda pengukuhan perundangan berkaitan kepentingan pengguna. Misalnya, Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) berkuat kuasa sepenuhnya bermula 1 Mac 2026, terutama untuk menyelia penyedia kredit bukan bank dan menoktah keresahan dengan amalan 'beli sekarang bayar kemudian' (buy now pay later) yang banyak diperkatakan dalam kalangan rakyat, malah dibahas dan dibangkitkan di Parlimen.
Kesungguhan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyempurnakan pindaan kepada Akta Sewa Beli (Akta 212), sekali gus menamatkan kaedah faedah tetap (Rule of 78) dan diganti dengan kadar faedah efektif juga amat positif kepada pengguna. Pindaan kepada Akta 212 ini mendapat sokongan cukup utuh di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sekurang-kurangnya dua lagi kerangka perundangan terkait langsung kepenggunaan akan dilihat semula tahun ini. Dua kerangka perundangan berkenaan, iaitu 'Lemon Law' dan e-dagang akan melengkapkan dua lagi jalur penting dalam isu kepenggunaan.
Pelaburan besar pengguna membayar kos tinggi untuk membeli dan memiliki kenderaan – wajar dilindungi dengan kaedah remedi jelas dan tuntas. Demikian juga keperluan melindungi pengguna dalam ekosistem e-dagang yang memerlukan penafsiran dan peranan dan tanggungjawab penyedia platform lebih jelas.
Sama ada kerajaan akan mewujudkan akta baharu atau hanya memperkukuh akta sedia ada, bukan isu penting kepada pengguna. Yang lebih mustahak dan penting, pengguna maklum dan tahu mereka sentiasa dilindungi kerangka perundangan jelas dan tidak kabur.
Tadbir urus dan pengukuhan ekosistem perundangan kepenggunaan ini memang wajar diangkat sebagai antara teras utama kepada dasar pengguna baharu. Ekosistem dan kerangka perundangan mesti diperkukuh sesuai dengan cabaran dan perkembangan semasa.
Pengguna wajar lebih peka
Dalam berhadapan dengan krisis tenaga global mutakhir ini, pengguna sebenarnya wajar menjadi lebih peka dan responsif dengan segala perkembangan. Walaupun mungkin tidak sedahsyat COVID-19, namun segala-galanya sedang banyak berubah dan menguji daya tahan pengguna.
Dalam apa sahaja keadaan – hak pengguna terkait keperluan asas, keselamatan, maklumat, pilihan, suara, ganti rugi, pendidikan dan persekitaran sihat akan kekal terpelihara. Namun, dalam tempoh dan suasana krisis ini, mungkin wajar kita seiringkan segala hak ini dengan rasa tanggungjawab.
Dalam pada kita punya hak bersuara dan mendapatkan maklumat mengenai barangan dan perkhidmatan, kita juga wajar dengan penuh rasa tanggungjawab, sentiasa mencari fakta benar untuk setiap perkara.
Barulah 'suara' dan 'kuasa' kita itu menjadi lebih bernilai dan bermakna. Kelantangan bersuara dengan asas perincian dan fakta betul, akan menjadikan peranan kita lebih dihormati.
Dalam tempoh krisis tenaga global ini, wujud ruang cukup luas untuk setiap sudut gerakan kepenggunaan menjadi lebih aktif membudaya amalan kepenggunaan yang lestari dan mampan.
Kerajaan mengambil langkah tepat untuk mengukuh dan menambah baik Dasar Pengguna Negara (DPN 2.0) dalam tempoh terdekat ini. Seiring kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan kepentingan peranan kerajaan, pihak industri dan masyarakat awam dalam mengukuh dasar dan polisi bijaksana; parameter dan ruang kepenggunaan tidak terkecuali.
Ini masa dan tempoh tepat untuk kita membina daya tahan pengguna dalam segenap segi, termasuk ikhtiar membina daya tahan keluarga dan masyarakat kita berhadapan dengan keadaan yang agak menduga.
Kali ini, DPN 2.0 – akan dilancarkan dalam keadaan dan suasana sedikit berbeza. Kita tidak perlu menunggu suasana selesa dan kondusif untuk menggerakkan dasar sepenting ini. Mungkin inilah masa paling tepat untuk kita mendidik pengguna, termasuk diri kita sendiri, bahawa keadaan dan suasana tidak semestinya kekal sama selama-lamanya.
Penulis adalah Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Malaysia
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH
























