BH Online
Ringkasan Berita

Muafakat kita 'tigo tungku sajarangan'

SAYA terpanggil untuk ‘tokok tambah’ sedikit akan kebimbangan disuarakan Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini berkaitan masa depan orang Melayu.
Muafakat kita 'tigo tungku sajarangan'

Banyak sikap orang Melayu sama ada didedahkan, dikritik atau diperbetul, ditayangkan dalam adegan filem arahan P Ramlee. Dalam menjamin keamanan dan kestabilan Malaysia terus berkekalan, semua pihak termasuk pemain politik perlu mengelak perilaku ‘bedal’ apa sahaja. Dalam filem Nujum Pak Belalang terbitan 1959, dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.

SAYA terpanggil untuk 'tokok tambah' sedikit akan kebimbangan disuarakan Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini berkaitan masa depan orang Melayu.

Kata bekas Perdana Menteri dua kali itu, "Orang Melayu silap kerana membiarkan politik Melayu terus berpecah dengan penubuhan banyak parti politik berteraskan kaum itu hari ini." Kesilapan dilakukan mengakibatkan kini mereka hanya bersaing sesama sendiri, kata Dr Mahathir yang akan menjangkau usia 101 tahun 10 Julai ini.

Itu luahan Dr Mahathir. Cuma pada saya, Melayu hari ini mesti bersatu dalam satu gagasan politik kuat. Kalau lupa dan alpa, mereka akan ditelan kumpulan politik lain.

Baik, kita ambil contoh terdekat. Mari kita teladani muafakat Tigo Tungku Sajarangan - model kepemimpinan diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat di Minangkabau.

Masyarakat itu diibaratkan bejana yang akan dijerangkan di atas tungku. Tungku selalu tiga, tidak ada tungku yang dua. Gunanya tungku itu tiga supaya yang dijerangkan di atasnya dapat diposisikan dengan baik, tidak miring dan tidak tertumpah.

Dan tungku yang tiga itu diibaratkan Ninik Mamak, Alim Ulama dan Cadiak Pandai. Dengan itu, masyarakat tidak akan sesat, kacau dan rosak jika tungku yang tiga itu masih tetap bekerjasama dan saling berkolaborasi - ibarat tiga tungku yang mampu menopang bejana hingga menghasilkan makanan.

BHdialognujum
Banyak sikap orang Melayu sama ada didedahkan, dikritik atau diperbetul, ditayangkan dalam adegan filem arahan P Ramlee. Dalam menjamin keamanan dan kestabilan Malaysia terus berkekalan, semua pihak termasuk pemain politik perlu mengelak perilaku ‘bedal’ apa sahaja. Dalam filem Nujum Pak Belalang terbitan 1959, dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.

Tulang belakang

Realitinya, politik bersekutu atau gabungan teras mesti menjadi tunjang dan tulang belakang orang Melayu. Bila ini sudah diraih, barulah boleh bincang pasal kerusi pilihan raya.

Masing-masing parti pasti akan ada teori. Tidak boleh ada mana-mana pihak dabik dada menyatakan, "parti kami adalah penentu." Padahal, pengundi yang tentukan nasib pemenang.

Titik tolaknya adalah soal 'perut rakyat' dan bersangkutan kemanusiaan. Dan kalau tak kena gaya, parti politik boleh kecundang. Ini berbanding rakyat lebih melihat siapa yang menjadi pemimpin.

Juga, mana-mana pemimpin dalam parti politik yang hadapi kes mahkamah, selesaikan dulu hal masing-masing. Jika tidak, kita tidak akan dihormati, tiada semangat kenegaraan, apa lagi nanti bila kita bercakap soal rule of law, ahli parti akan keliru.

Aku nak jadi apa?

Permuafakatan antara parti-parti yang membawa perjuangan Melayu tidak harus membabitkan frasa 'aku nak jadi apa?' Ingatan ini bukan sahaja buat UMNO, tetapi juga PAS, BERSATU, PKR, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), AMANAH, selain parti kecil lain seperti BERJASA, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Ikatan Bangsa (IKATAN) serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Dan ia membabitkan komuniti muslim peneguh kepada majoriti? Siapa? Ya, orang Melayu itu sendiri. Jika majoriti, perlu ia ditunjukkan. Kalau tidak, percumalah. Apa guna kita jadi majoriti begitu?

Kalau ikutkan masyarakat lain, saya percaya mereka hormati sistem ini disebabkan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi bila khalayak kita bercakap, beroperasi Perlembagaan, kita 'korbankan' sekejap. Namun, bila mutakhir ini bercakap soal survival Melayu, kita muncul balik. Ini prinsip kita perlu pegang.

Bosan

Orang Melayu tidak boleh bosan dengan isu menyatukan semula bangsanya. Tak boleh bosan. Melayu berhak menepuk belakang kita sendiri. Kalau penyakit hasad dengki saling berebut jawatan dalam kalangan pemimpin politiknya tidak dikikis, apa yang diimpi, didambakan hanya kegelapan menanti. Bak kata orang dulu-dulu:

Air dalam bertambah dalam,
Hujan dahulu belum teduh,
Hati dendam jangan didendam,
Dendam yang dulu mesti disembuh.

Tanggungjawab seluruh pemimpin Melayu semua peringkat termasuk politik terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar daripada pihak lain. Peranan pemimpin kaum lain penting, tetapi Melayu adalah tunjang dan teras bagi Malaysia.

Lemah orang Melayu, lemahlah Malaysia, tidak stabillah.

Orang Melayu sebagai majoriti populasi, perlu memimpin terus. Dan diikut serentak dengan keadilan kepada masyarakat lain. Baru kita dapat menyemarakkan semangat untuk memajukan negara dalam tahap akan datang.

Penyakit

Allahyarham P Ramlee sudah beritahu penyakit orang Melayu lama dulu. Sekali lagi, kita buat silap, tak pandai nak ambil iktibar disampaikan P Ramlee 40 tahun dulu. Dan selama berdekad-dekad inilah kita hanya pandai gelak bila lihat komedi sinis P Ramlee di TV, tapi tak pandai menilai.

Ya, ada kita fikir pasal nasib PETRONAS? Kita sentiasa harapkan PETRONAS sahaja berduit. PETRONAS pun kini susah, sudah dijual aset dan anak syarikat di negara tertentu. Kelak apa yang tinggal.

Hari ini, dianggarkan 100,000 murid Melayu belajar di sekolah vernakular Cina. Tak pernah seramai itu sebelum ini. Ada sesiapa buat analisis hal ini?

Apa rahsia kemakmuran Singapura? Gunakan rule of law, iaitu penguatkuasaan undang-undang tegas. Mereka tidak pilih bulu. Menolak rasuah. Bila itu berlaku, semua peluang terbuka kepada semua pihak.

Bagaimana pula dengan gaya politik bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mencanang 'pukul dan menang'? Adakah barangkali ada yang lebih senang dengan tindak tanduknya disebabkan berani kemukakan isu yang rakyat tertinggal?

Boleh bertahankah atau survive kita? Melainkan dilakukan satu perubahan besar-besaran. Dan itu terserah kepada Melayu.

Buruk baik macam mana pun wakil Dewan Rakyat pada masa-masa tertentu, Parlimen adalah nukleas dan punca kuasa tigo tungku sajarangan - Parlimen, Eksekutif dan Kehakiman.

Muafakat kita tigo tungku sajarangan - sedikit sebanyak menjawab luahan Dr Mahathir.

Video Terkini

Berita Berkaitan