PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah-langkah penjimatan wang negara akibat ketidakstabilan ekonomi dunia angkara perang Israel/Amerika Syarikat (AS)-Iran yang dijangka berlanjutan.
Justeru, Perdana Menteri mengarahkan semua agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak mengadakan apa-apa majlis sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Pastinya, langkah ini sungguh tepat kerana tindakan kerajaan tidak mengadakan majlis sedemikian pasti dapat mengelak pembaziran dan melakukan penjimatan yang akhirnya dapat memanfaatkan rakyat juga.
Atas objektif yang sama juga, saya mengesyorkan kerajaan untuk berfikir secara serius untuk mengambil langkah penjimatan dalam urusan menjalankan pilihan raya. Justeru, jika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) hendak diadakan pada tahun ini, maka amat wajar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan PRU16 serentak dengan tiga pilihan raya negeri (PRN), iaitu Sarawak, Melaka dan Johor. Dianggarkan RM250 juta perbelanjaan kos urusan pilihan raya dapat dijimatkan jika PRU16 diadakan sekali dengan tiga PRN ini.
Hakikatnya, penjimatan belanja pengurusan itu tidak hanya merangkumi kos perbelanjaan terpaksa ditanggung SPR sebagai badan yang menguruskan proses pilihan raya, malah pelbagai kos lain yang terpaksa dibelanjakan oleh setiap agensi kerajaan yang turut terbabit membantu SPR menjalankan proses berkenaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelbagai jabatan lain yang akan turut sama menjayakan proses demokrasi.
Atas faktor inflasi dan peningkatan kos dalam semua aspek pengurusan, kos pengurusan PRU16 akan pasti melebihi RM1 bilion. Bayangkan tambah peruntukan yang perlu disediakan dan pelbagai kos perbelanjaan lain yang terpaksa ditanggung jika tiga PRN bagi Sarawak, Melaka dan Johor dibuat secara berasingan.
Ini dijangka boleh mencecah setengah bilion ringgit lagi. Justeru, dari sudut penjimatan kos sudah tentu tindakan menjalankan PRU dan tiga PRN serentak menjadi satu opsyen terbaik untuk kerajaan fikirkan secara serius.
Ini belum dikira peruntukan pilihan raya yang perlu disediakan parti politik yang akan terbabit. Belanja untuk pilihan raya amat besar kerana selain deposit pilihan raya, mereka juga perlu menyediakan peruntukan kempen, latihan, poster, keraian dan pengangkutan. Justeru, jika PRU16 dan tiga PRN diselaraskan pasti menjimatkan wang.
Naikkan semangat parti politik
Pada masa sama, pilihan raya serentak boleh menaikkan semangat parti politik yang terbabit dan meningkatkan keghairahan rakyat untuk keluar mengundi. Justeru, ini secara langsung meningkat peratusan rakyat keluar mengundi.
Jika pilihan raya dibuat berasingan, rakyat menjadi muak dengan politik. Ini terbukti dalam beberapa PRK selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang peratusan keluar mengundi rendah.
Terlalu kerap pilihan raya juga boleh mengganggu urusan kerajaan. Urusan kerja di peringkat agensi dan jabatan kerajaan juga terbabit seperti Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah dan guru turut terganggu. Beban tugas dan bajet PDRM turut bertambah kerana polis mengawal keselamatan proses pilihan raya, mengawal aktiviti kempen, kawalan lalu lintas dan ketenteraman awam.
Aktiviti kempen politik berpanjangan juga mengganggu kehidupan harian rakyat, merosakkan keharmonian hingga masyarakat menjadi tegang dan tidak tenteram.
Malah, pilihan raya serentak mendorong peratusan pengundian tinggi. Ini boleh menghasilkan calon yang dipilih menang dengan majoriti besar. Satu fenomena penting dalam konteks demokrasi sistem berperwakilan seperti diamalkan di negara kita.
Parti politik atau gabungan parti yang dipilih rakyat untuk menubuhkan kerajaan atau seseorang calon dipilih untuk menjadi perwakilan di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) juga perlu mendapat majoriti undi yang besar. Mandat rakyat dengan majoriti besar, akan menzahirkan kerajaan yang teguh dan stabil.
Penulis adalah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
























