DALAM arena politik Malaysia semakin dinamik, tradisi debat terbuka antara seteru politik sering digembar-gemburkan, tetapi sering kali dibatalkan pada saat akhir dengan berbagai alasan. Sepatutnya debat politik sudah lama dibudayakan sebagai medan menguji sesuatu idea atau dasar.
Namun, harus diingatkan, debat bukan suatu 'pertunjukan' kepetahan berkata-kata, tetapi sebaliknya untuk mencerah dan mematangkan fikiran rakyat supaya pilihan dapat dibuat dengan bijaksana.
Secara teorinya, ruang awam adalah tempat di mana perbincangan rasional boleh berlaku. Apa yang banyak disaksikan sekarang bukan 'perbahasan idea' tetapi 'perang persepsi'.
Tekanan untuk dilihat popular menyebabkan pemimpin politik lebih cenderung memilih retorik bersifat menyerang berbanding menghuraikan perkara dasar secara mendalam.
Dalam jangka masa debat terlalu menumpukan kepada kepetahan berhujah atau mematahkan hujah lawan, aspek teknikal dan praktikal dalam penggubalan dasar contohnya, ekonomi penjagaan atau isu sara hidup kerap terpinggir.
Akhirnya, tanpa disedari, rakyat dinafikan peluang mendapat maklumat yang cukup untuk membuat pilihan bijaksana, tetapi leka disajikan dengan konflik peribadi.
Kewujudan media sosial tambah merumitkan keadaan. Kini, debat politik tidak lagi berakhir apabila tamat siaran sebaliknya diteruskan lagi di ruang siber apabila klip video berdurasi 30 saat dimuat naik di platfom seperti TikTok atau X.
Fenomena ini bertanggungjawab mewujudkan gelombang susulan apabila penonton hanya melihat potongan video debat menyokong dan menguatkan lagi prasangka sedia ada.
Dalam situasi sebegini debat tidak menjadi wacana membuka minda, sebaliknya dimanipulasikan sebagai alat mengelirukan lagi fikiran masyarakat.
Kini debat bukan lagi ruang untuk berhujah secara rasional bagi mencapai kesepakatan, tetapi dijadikan medan bermain persepsi dan sentimen memastikan 'puak kita' kelihatan 'menang' di ruang siber.
Justeru, ada yang bertanya adakah debat masih relevan. Jawapannya 'ya' namun tujuan dan format debat perlu diberikan perhatian sepatutnya.
Beberapa perubahan penting perlu dilakukan untuk menghasilkan budaya perdebatan baharu, iaitu bermatlamatkan 'akauntabiliti sosial' berbanding dengan 'kemenangan retorik' yang hanya memecah-belahkan lagi masyarakat demi kekuasaan.
Bagi mencapai apa yang dimaksudkan, debat hendaklah difokuskan kepada isu teras, bukan soal picisan. Maka, ruang lebih luas mesti diberikan kepada perdebatan berkait dengan dasar negara.
Budaya perdebatan rasional dan tertib adalah salah satu petunjuk kepada budaya ilmu sihat. Budaya ini perlu dibangunkan secara sedar dan terancang oleh pihak bertanggungjawab.
Ini kerana rakyat yang rasional adalah aset terpenting bagi sesebuah negara mengamalkan sistem demokrasi. Semangat ini seharusnya diterjemahkan dengan jelas dalam sistem pendidikan negara.
Pendidikan seharusnya turut menghasilkan literasi politik. Maksudnya, rakyat perlu dididik supaya mampu menilai 'isi' sesuatu perdebatan dan tidak mudah terpedaya dengan gaya penyampaian semata-mata.
Pertaruh kesihatan demokrasi negara
Dari perspektif golongan elit memegang kuasa, rakyat celik politik hanya menjadikan mereka lebih sukar dikawal, payah untuk dipuaskan dan lebih mudah memberontak.
Dengan kata lain, rakyat terdidik dengan baik hanya menjadi masalah kepada kekuasaan dan kewibawaan pemerintah.
Sekiranya debat politik terus dibiarkan menjadi medan pertempuran ego diperalatkan algoritma, kita bukan sahaja kehilangan ruang berfikir secara kritis, malah sedang mempertaruhkan kesihatan demokrasi negara.
Oleh itu, sudah tiba masanya kita menuntut debat terbuka secara tertib dan sihat, bukan untuk meraih populariti murahan, tetapi sebagai tanggungjawab moral mencerminkan kematangan sebuah bangsa.
Sejarah menunjukkan bagaimana dari awal lagi penguasa Muslim sudah menyedari kepentingan membudayakan perdebatan ilmiah sebagai wadah penyelesaian konflik dan pertelagahan.
Selain menganjurkan majlis perdebatan di istana dengan menjemput wakil daripada pelbagai golongan, khalifah turut menyertai perdebatan secara aktif serta menyeru ulama supaya melengkapkan diri dengan ilmu perdebatan bagi mempertahankan pegangan masing-masing.
Menerusi inisiatif khalifah, karya dalam bidang logik dan perdebatan menjadi karya awal dipilih untuk diterjemahkan ke bahasa Arab.
Selaras dengan itu, metod perdebatan mula digunakan secara meluas dalam berbagai disiplin ilmu daripada teologi, falsafah, fiqh, bahkan dalam ilmu bahasa.
Akhirnya, pada sekitar kurun ke-12 Masihi, ilmu perdebatan turut dikenali dengan nama 'Adab al-bahth', 'Ilmu munazarah' dan 'Jadal' menjadi subjek wajib dipelajari di pusat pengajian di seluruh dunia Islam.
Tidak ada alasan untuk Muslimin hari ini mengabaikan ilmu perdebatan pada hal keperluan terhadapnya semakin mendesak.
Ledakan maklumat dan berita palsu menuntut supaya masyarakat umum dilengkapkan dengan keupayaan menapis dan menyaring input daripada alam siber.
Jika tidak, mereka hanya akan dijadikan barang permainan penguasa dan elit mendukungnya. Demokrasi hanya helah memperoleh kuasa dari rakyat melalui persepsi direka.
Penulis adalah Felo Kanan Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM)
























