BH Online
Ringkasan Berita

Kekuatan ummah bergantung penguasaan ekonomi, perniagaan

DALAM landskap dunia moden semakin kompetitif, kekuatan umat Islam tidak lagi diukur semata-mata melalui jumlah populasi atau keluasan wilayah. Sebaliknya ia ditentukan kemampuan umat menguasai ekonomi, teknologi dan sumber strategik.
Kekuatan ummah bergantung penguasaan ekonomi, perniagaan

DALAM landskap dunia moden semakin kompetitif, kekuatan umat Islam tidak lagi diukur semata-mata melalui jumlah populasi atau keluasan wilayah. Sebaliknya ia ditentukan kemampuan umat menguasai ekonomi, teknologi dan sumber strategik.

Justeru, seruan supaya umat Islam menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan bukan sekadar bertujuan meningkatkan pendapatan, tetapi usaha memperkukuh kedudukan dan daya tahan ummah.

Secara asasnya, Islam meletakkan aktiviti ekonomi sebagai sebahagian daripada usaha memelihara kemaslahatan masyarakat.

Perniagaan dan keusahawanan bukan fardu ain mewajibkan setiap Muslim menjadi usahawan, namun ia tergolong dalam kategori fardu kifayah.

Apabila terdapat sebahagian anggota masyarakat memenuhi keperluan ekonomi secara mencukupi, maka gugurlah kewajipan pihak lain.

Sebaliknya, jika berlaku kekurangan sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat, maka seluruh umat memikul tanggungjawab itu secara kolektif.

Pandangan ini selari dengan pemikiran Imam al-Ghazali dalam karyanya 'Ihya' Ulum al-Din' mengkategorikan pekerjaan dan perusahaan penting seperti pertanian, perdagangan dan perindustrian sebagai fardu kifayah kerana tanpanya kehidupan manusia akan mengalami kesukaran.

Ibn Khaldun pula dalam penulisannya 'Muqaddimah' menegaskan kekuatan sesebuah tamadun bergantung kepada pembahagian kerja, pengkhususan kemahiran dan kegiatan ekonomi produktif.

Asas kelangsungan peradaban

Oleh itu, pembangunan ekonomi bukan sekadar agenda kebendaan, tetapi asas kepada kelangsungan sesebuah peradaban.

Islam tidak pernah memisahkan antara ibadah ritual dan muamalah material. Firman Allah SWT pada Surah al-Jumu'ah, ayat 10 iaitu dengan memerintahkan manusia bertebaran di muka bumi dan mencari kurniaan Allah selepas selesai menunaikan solat.

Ayat ini menggambarkan keseimbangan menjadi asas pandangan hidup Islam iaitu hubungan dengan Allah SWT perlu diterjemahkan melalui usaha membangunkan kehidupan secara halal dan produktif.

Sebelum diangkat menjadi Rasul, Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai seorang pedagang berjaya dan berintegriti sehingga digelar al-Amin.

Selepas berhijrah ke Madinah, Baginda bukan sahaja membangunkan Masjid Nabawi sebagai pusat spiritual dan sosial, bahkan membangunkan pasar Islam sebagai institusi ekonomi bebas daripada monopoli dan penindasan.

Peristiwa ini menunjukkan kekuatan rohani dan kekuatan ekonomi perlu bergerak secara seiring dalam membina masyarakat sejahtera.

Dalam konteks semasa, pembabitan aktif umat Islam dalam bidang perniagaan menjadi semakin mendesak.

Dari sudut jaminan halal, umat Islam masih belum menguasai sepenuhnya beberapa segmen strategik seperti logistik, pemprosesan makanan dan pengedaran antarabangsa.

Dalam aspek keselamatan makanan pula, kebergantungan tinggi terhadap import meletakkan negara dalam keadaan rapuh, khususnya ketika berlakunya krisis global dan ketidaktentuan geopolitik.

Pada masa sama, ekonomi digital, teknologi kewangan dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dunia.

Sekiranya umat Islam hanya kekal sebagai pengguna teknologi dan bukan pencipta inovasi atau pemilik platform maka mereka akan terus ketinggalan dalam persaingan global.

Bagi memastikan tuntutan fardu kifayah ekonomi ini dapat dipenuhi, beberapa langkah holistik perlu dilaksanakan.

Pertama, masyarakat perlu melakukan anjakan paradigma dengan melihat perniagaan sebagai satu bentuk ibadah muamalah dan instrumen memelihara maruah ummah, bukan sekadar mekanisme mengumpul kekayaan peribadi.

Kedua, institusi pendidikan, keluarga dan institusi agama perlu membudayakan keusahawanan berteraskan nilai amanah, ihsan dan tanggungjawab sosial.

Ketiga, ekosistem kewangan Islam seperti perbankan Islam, zakat dan wakaf perlu diperkasakan bagi menyediakan pembiayaan dan sokongan kepada usahawan menceburi sektor strategik dan berteknologi tinggi.

Selain itu, perniagaan milik umat Islam mesti berteraskan integriti dan daya saing. Memenuhi tuntutan fardu kifayah bukan sekadar memastikan wujudnya syarikat milik Muslim, tetapi memastikan syarikat itu mampu menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti, inovatif dan mampan.

Penggunaan sentimen agama tanpa disertai profesionalisme dan kecemerlangan hanya akan menjejaskan imej Islam serta bertentangan dengan prinsip ihsan dituntut syariat.

Kesimpulannya, walaupun bidang perniagaan dan keusahawanan bukan satu kewajipan individu bagi setiap Muslim, namun dalam konteks geopolitik dan geoekonomi semasa, penguasaan terhadap sektor ini menjadi satu tuntutan fardu kifayah amat mendesak.

Umat Islam tidak boleh terus selesa menjadi masyarakat pengguna pasif dan bergantung kepada pihak lain bagi memenuhi keperluan strategik kehidupan.

Sebaliknya, dunia perniagaan perlu dilihat sebagai medan ibadah, wadah memperkukuh kemandirian ekonomi dan jambatan meraih keredaan Allah SWT serta memelihara kemuliaan dan kelangsungan peradaban Islam.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Bahasa & Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Video Terkini

Berita Berkaitan