BARU-BARU ini, negara dikejutkan kontroversi urusan pengebumian jenazah yang tular di media sosial didakwa berpunca daripada perselisihan faham antara waris dan pihak masjid.
Kes itu mencetuskan perhatian dan perbincangan dalam kalangan masyarakat, apabila timbul dakwaan wujudnya permintaan bayaran bagi melancarkan urusan pengurusan jenazah, selain isu berkaitan dokumen diperlukan untuk melengkapkan proses pengebumian.
Peristiwa itu membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai kedudukan pengurusan jenazah dalam Islam, khususnya sama ada urusan menyempurnakan hak terakhir Muslim yang meninggal dunia boleh ditangguhkan hanya kerana isu bayaran atau pertikaian tertentu.
Menjelaskan perkara itu, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, berkata Islam meletakkan penyempurnaan hak jenazah sebagai satu kewajipan mesti disegerakan dan tidak boleh dihalang semata-mata faktor kewangan.
Beliau berkata, pengurusan jenazah meliputi proses memandikan, mengkafankan, solat dan mengebumikan adalah fardu kifayah menjadi tanggungjawab masyarakat Islam.
Katanya, selagi kewajipan itu belum dilaksanakan, masyarakat di kawasan berkenaan menanggung dosa sekiranya tiada pihak tampil menyempurnakannya.
Beliau berkata, Rasulullah SAW jelas memerintahkan umat Islam menyegerakan urusan jenazah, menunjukkan proses pengebumian tidak sepatutnya ditangguhkan tanpa sebab diiktiraf syarak.
"Perkara itu berdasarkan hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Bersegeralah kalian menguruskan jenazah. Sekiranya jenazah yang soleh, nescaya dia suatu kebaikan kamu hantarkan kepadanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan kamu pikul pada bahu kamu (HR Bukhari dan Muslim).
"Arahan ini menunjukkan syarak meminta urusan pengebumian tidak dilengah-lengahkan tanpa sebab diiktiraf.
"Pada asasnya, kos pengurusan jenazah hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati sekiranya ada. Jika si mati tidak mempunyai harta, tanggungjawab itu berpindah kepada mereka yang wajib menanggung nafkahnya ketika hidup.
"Sekiranya mereka juga tidak mampu, maka menjadi tanggungjawab masyarakat Islam melalui institusi seperti baitulmal, masjid, tabung khairat atau sumbangan orang ramai bagi memastikan hak jenazah disempurnakan," katanya kepada BH Agama.
Hukum asal harus terhadap perkhidmatan
Mengulas lanjut mengenai bayaran pengurusan jenazah, Mohd Sukki berkata, hukum asalnya harus terhadap perkhidmatan tertentu membabitkan tenaga, kepakaran atau kos operasi berdasarkan konsep 'ijarah' iaitu upah.
Katanya, antara perkhidmatan boleh dikenakan bayaran termasuk penyediaan van jenazah, penyediaan liang lahad, peralatan mandi jenazah atau khidmat pengurusan profesional.
Bagaimanapun, katanya, bayaran berkenaan perlu memenuhi batas tertentu, termasuk kadar munasabah, tidak membebankan waris serta tidak mengambil kesempatan terhadap keluarga sedang berdepan kesedihan.
"Bayaran tidak boleh dijadikan syarat mutlak sehingga menyebabkan urusan jenazah dihentikan atau ditangguhkan. Keutamaan hendaklah diberikan kepada nilai ihsan dan kebajikan, khususnya kepada keluarga yang tidak berkemampuan," katanya.
Mohd Sukki berkata, semangat membantu sesama Muslim perlu menjadi asas pengurusan jenazah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 2 menyeru umat Islam supaya saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.
Katanya, walaupun mengenakan bayaran bagi perkhidmatan tertentu hukumnya harus, ia tidak boleh mengatasi tuntutan menjaga kemuliaan jenazah.
"Melengahkan pengebumian hanya kerana berlaku pertikaian mengenai bayaran tidak selari dengan roh syariah, melainkan terdapat sebab syarie atau keperluan undang-undang seperti proses siasatan forensik.
"Pihak menguruskan jenazah perlu membezakan antara urusan pentadbiran dan kewajipan agama. Sebarang isu pembayaran boleh dibincangkan dan diselesaikan selepas hak jenazah disempurnakan," katanya.
Mohd Sukki berkata, antara hak jenazah yang disepakati ulama adalah dimandikan, dikafankan, disolatkan, dikebumikan dengan sempurna serta dihormati maruahnya.
"Sekiranya pengebumian sengaja ditangguhkan tanpa keperluan syarie hanya kerana isu pentadbiran atau kewangan, tindakan itu bercanggah dengan anjuran Nabi SAW supaya menyegerakan urusan jenazah.
"Kelewatan atas sebab munasabah seperti menunggu waris terdekat, proses siasatan pihak berkuasa atau persiapan pengebumian diperlukan tidak termasuk dalam larangan berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Sukki menasihatkan waris berkemampuan supaya melaksanakan kos pengurusan jenazah dengan sebaik-baiknya sebagai penghormatan terakhir kepada si mati.
"Bagi waris berdepan kesukaran kewangan, berbincanglah secara baik dengan pihak masjid atau pengurusan tanah perkuburan kerana Islam sentiasa membuka ruang kepada ihsan dan tolong-menolong," katnaya.
Pada masa sama, beliau turut menyeru pihak masjid serta pengurusan tanah perkuburan supaya melaksanakan amanah dengan integriti, belas ihsan dan profesionalisme menerusi garis panduan jelas berkaitan kadar bayaran, bantuan serta prosedur pengurusan jenazah.
Katanya, pengurusan jenazah perlu dilihat sebagai amanah agama, bukan sekadar urusan pentadbiran.
"Jangan tambah kesedihan keluarga dengan pertikaian boleh dielakkan. Sebaliknya, bersama-sama memastikan setiap Muslim meninggal dunia memperoleh penghormatan terakhir sempurna sebagaimana dituntut syarak.
"Sesungguhnya, memuliakan jenazah adalah tanda kemuliaan akhlak dan cerminan keprihatinan umat terhadap amanah ditetapkan Allah SWT," katanya.
























