BH Online
Ringkasan Berita

Lelaki hilang arah, wanita menanggung luka

DALAM tempoh beberapa bulan sahaja tahun ini, negara dikejutkan deretan kes jenayah menjadikan wanita mangsa kekejaman lelaki.
Lelaki hilang arah, wanita menanggung luka

- Foto hiasan

DALAM tempoh beberapa bulan sahaja tahun ini, negara dikejutkan deretan kes jenayah menjadikan wanita mangsa kekejaman lelaki.

Ada lelaki menjalani hukuman penjara kerana memukul isteri mengandung hingga koma. Bayi lahir ketika ibu koma kini berstatus orang kurang upaya (OKU) akibat pertumbuhan perlahan.

Pelaku dibebaskan dan berkahwin lagi. Isteri baharu menjadi mangsa seterusnya dan didakwa menyeksa isteri baharu sehingga mangsa mengalami keguguran.

Seorang lagi lelaki menikam dan membakar kekasihnya yang hamil di ladang sawit. Ada yang merancang pembunuhan bekas kekasih dengan membeli senjata sehari lebih awal, lalu menikamnya berkali-kali di pusat beli-belah.

Ada yang mencurahkan petrol ke tubuh bekas teman wanitanya. Ini semua bukan sekadar kompilasi berita jenayah. Ini simptom kepada krisis sosial dan moral sedang membarah.

Hakikatnya, Allah SWT menyeru lelaki melayan wanita dengan baik berpandukan Surah An-Nisa, ayat 19 bermaksud: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik.

Krisis kelelakian di Malaysia petanda kemerosotan moral serius dalam kalangan lelaki. Ia merentasi dimensi pendidikan, kesihatan mental dan fizikal dan tanggungjawab awam.

Statistik jenayah 2024 mengesahkan 90.9 peratus daripada 128,916 banduan disabit kesalahan adalah lelaki. Kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki empat kali lebih tinggi berbanding wanita.

Penyertaan mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) juga merosot. Hanya 39 peratus pelajar universiti awam lelaki. Lebih 60 peratus kes perceraian difailkan wanita, dengan sebab utamanya pengabaian tanggungjawab suami dan keganasan rumah tangga.

Rentetan dari itu, kita tidak lagi melihat anak-anak gadis kita mengimpikan perkahwinan mahupun membina rumah tangga. Bagi wanita, perkahwinan kini bermakna beban dan satu perjudian jarang menguntungkan.

Justeru, lebih baik mereka membina kerjaya dan mempersiapkan kewangan untuk menikmati hujung usia di pusat jagaan orang tua.

Persoalan berlegar, apakah punca kepada kemerosotan nilai dan etika lelaki ini. James Dobson dalam 'Bringing Up Boys' menulis, apabila masyarakat mengamalkan nilai maskuliniti tidak sihat, anak-anak lelaki kehilangan contoh teladan.

Ini diburukkan budaya sekular dan feminisme memperjuangkan kehebatan wanita sehingga lelaki dianggap sebagai ancaman. Kejayaan sesebuah negara diukur dengan pemberdayaan wanita tetapi malangnya meminggirkan lelaki.

Walhal, lelaki dan wanita saling memerlukan dan melengkapi. Michael Reichert pula dalam bukunya, 'How to Raise a Boy' menulis maskuliniti memendam emosi hanya melahirkan lelaki gagal menguruskan perasaan, akhirnya mencetuskan gejala tidak sihat seperti budaya samseng dan ketegasan tidak mengenal tolak ansur.

Budaya Timur banyak mengajar kita menahan rasa sehingga gagal mengenal pasti, apatah lagi memproses emosi kita sendiri. Meluahkan perasaan dianggap lemah dan menzahirkan pendapat dianggap mencabar dan biadap.

Nilai semula cara didik anak

Sudahnya, amarah tidak hilang dan sebaliknya dilepaskan kepada orang terdekat. Kes kekejaman berlaku ini bukti kita gagal dalam banyak perkara.

Bermakna, kita perlu menilai semula cara mendidik dan membesarkan anak, lelaki mahupun perempuan. Lebih dari itu, kita perlu menyemak sistem pengadilan dan hukuman ke atas jenayah seperti ini.

Ada pelaku disabitkan, dihukum dan dibebaskan, hanya untuk melakukan kesalahan sama terhadap wanita lain. Di mana program pemulihan bermakna dalam penjara.

Di mana mekanisme perlindungan memastikan penjenayah berulang tidak mendapat akses kepada mangsa baharu.

Kita gagal membentuk lelaki pembela dan pelindung di rumah, gagal membimbing mereka di sekolah dan gagal memulihkan mereka di penjara.

Krisis ini bukan fenomena sosial tetapi krisis tamadun. Apabila lelaki gagal menunaikan amanah qawwamah, iaitu kepemimpinan bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan penuh rahmah sebagaimana ditunjukkan Nabi Muhammad SAW, institusi keluarga bukan sahaja menjadi lumpuh, malah mengancam masa depan masyarakat dan negara.

Surah an-Nisa, ayat 34 jelas menyatakan: "Golongan lelaki adalah pemimpin dan pelindung bagi golongan wanita…". Ia bermaksud tanggungjawab lelaki bukan dominasi, tetapi memimpin, melindungi, menyara dan menjaga kesejahteraan keluarga.

Di sini jelas, Malaysia memerlukan dua pelan tindakan iaitu pelaburan serius dalam pendidikan bersesuaian dengan fitrah kelelakian dan kedua, hukuman tegas serta setimpal bagi mereka yang memilih jalan salah.

Pendidikan emosi di sekolah, program pemulihan bermakna dalam penjara, kempen maskuliniti berasaskan nilai Islam dan undang-undang perlindungan lebih kukuh bagi mangsa keganasan rumah tangga menjadi kemestian dan tidak boleh bertangguh lagi.

Wanita yang menjadi mangsa dalam kes ini bukan sekadar rekod dalam fail laporan polis. Mereka cerminan kegagalan kolektif kita.

Selagi kita tidak mendidik lelaki menguruskan emosi dan menggalas amanah dengan jiwa matang, selagi itulah wanita akan terus berhadapan dengan bahaya.

Lebih jauh lagi, pemberdayaan wanita yang kita laung-laungkan akan kekal sebagai retorik semata-mata.

Lelaki perlu renungi hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah paling baik kepada isterinya, dan Aku paling baik kepada isteriku". (HR Tirmizi)

Penulis adalah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Video Terkini

Berita Berkaitan