SETIAP hari kita ditimpa ujian. Ada yang diuji sesat dalam hutan belantara; ada diuji kehilangan anggota keluarga tersayang dalam kemalangan jalan raya dan pelbagai lagi bentuk ujian menimpa kita.
Di tengah-tengah kota raya yang sibuk dengan manusia berlumba-lumba mencari rezeki hingga ada dalam kalangan mereka yang rakus dan leka mengejar keduniaan, lalu lupa dunia hanyalah persinggahan sementara sahaja, iaitu tempat untuk kita diuji.
Dalam arus kehidupan moden serba pantas dan penuh tekanan, manusia sering berhadapan dengan pelbagai ujia - ramai tertanya-tanya: apakah hikmah di sebalik semua ini dan bagaimanakah caranya untuk kekal tenang serta tabah?
Jawapannya ada terkandung dalam sebuah buku yang menjadi koleksi Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang terselit antara lebih 2,000 naskhah dalam Koleksi Khas Etika, merangkumi bahan dalam bahasa Melayu, Arab, dan Inggeris.
Buku berupa risalah kecil dan ringkas tetapi sangat bermanfaat itu berjudul Al-Fitan wa al-Balaya wa al-Miḥan wa al-Razaya (aw Fawaid Al-Balwa) karangan Sulá¹an al-Ulama al-Izz ibnu Abd al-Salam, seorang ulama besar abad ke-7 Hijrah. Karya ini jika diterjemahkan secara harfiah membawa maksud 'Faedah-Faedah Ujian dan Musibah'.
Menyedari kepentingan karya ini untuk masyarakat moden bergelumang dengan pelbagai ujian dan musibah sehingga kadar membunuh diri, kemurungan, tekanan emosi semakin meningkat dalam masyarakat kita, penulis memberanikan diri menterjemahkan karya ini dengan judul Trials and Tribulations in Islam: An Annotated Translation of Al-Izz's Al-Fitan wa al-Balaya wa al-Miḥan wa al-Razaya yang turut dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Ia menawarkan jawapan terhadap ujian yang bersandarkan hikmah ulama silam.
Usaha menterjemahkan kitab ini bukan sekadar projek akademik semata-mata. Ia lahir daripada pengalaman peribadi penulisnya sendiri yang pernah diuji dengan jangkitan COVID-19 varian Delta pembunuh yang ganas pada 2021 sehingga terlantar dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) buat beberapa ketika.
Menyedari betapa rapuhnya manusia di hadapan takdir Ilahi, penulis terdorong untuk berkongsi panduan rohani ini dengan masyarakat yang lebih luas, terutama mereka yang masih bergelut dengan trauma pascapandemik. Setiap musibah itu ada hikmahnya dan bukan kerana Allah ingin menyusahkan kehidupan kita.
17 hikmah di sebalik musibah
Di sinilah Sultan al-Ulama meneliti pelbagai ayat al-Quran dan hadis sehingga merumuskan tidak kurang 17 faedah atau hikmah di sebalik setiap kali sesuatu musibah itu menimpa manusia.
Beliau menghuraikan dunia ini pada hakikatnya adalah 'dar al-bala wal imtihan', iaitu negeri ujian. Kebiasaan yang sering didengari dalam masyarakat kita apabila seseorang ditimpa musibah ialah ini petanda Allah ingin menghapuskan dosanya (kaffarah) atau musibah ini untuk mengangkat darjatnya.
Ia hanyalah dua hikmah daripada 17 hikmah diperincikan dalam buku ini termasuklah menginsafi kebesaran Allah sebagai Pentadbir alam semesta, menyedari kehinaan dan kelemahan diri sebagai hamba, mengikhlaskan hati kepada-Nya ketika tiada tempat lain untuk bergantung, serta musibah sebagai penyuci dosa (kaffarah) itu, iaitu setiap kesakitan, hatta tertusuk duri sekalipun, dapat menghapuskan dosa bagi orang beriman.
Dalam kalangan masyarakat kita juga berdebat adakah sesuatu itu ujian atau bala (dalam erti hukuman atau uqubah) setiap kali sesuatu musibah itu menimpa? Ramai dalam masyarakat yang masih keliru dengan kedua-dua istilah ini, lalu menganggap bahawa setiap musibah adalah tanda kemurkaan Allah SWT.
Sultan al-Ulama menjelaskan perbezaan antara kedua-duanya bukan terletak pada bentuk atau jenis musibah, tetapi pada bagaimana seseorang itu menerimanya. Jika musibah disambut dengan sabar, keinsafan dan ketenangan, ia adalah ujian yang mengangkat darjat dan menghapuskan dosa. Sebaliknya, jika ia disambut dengan kemarahan, putus asa, dan rungutan yang berterusan, ia boleh menjadi petanda kemurkaan Allah.
Sheikh Abdul Qadir al-Jilani menyenaraikan tanda-tanda perbezaan antara ujian dan bala: hilangnya sifat sabar dan kerap mengadu kepada orang lain itu menunjukkan tanda hukuman atau bala, manakala wujudnya reda, ketenangan dan kedamaian hati adalah tanda ujian yang mengangkat darjat seseorang di sisi Allah.
Ketenangan bersandar akal
Satu lagi konsep menarik diketengahkan ialah kaitan antara ketenangan (ḥilm) dan penggunaan akal. Orang yang benar-benar tenang adalah mereka yang mampu menggunakan akal untuk mengawal diri ketika badai musibah melanda, bukan mereka yang sekadar berpura-pura tenang di permukaan.
Hal ini ditunjukkan dalam sirah Nabi Muhammad SAW yang kekal tenang dan pemaaf walaupun dihina, dibaling batu di Taif, malah diancam musuh Islam. Baginda tidak pernah berdendam demi kepentingan peribadi, sebaliknya hanya bertindak apabila kemuliaan agama Allah dipijak-pijak.
Teladan ini menjadi paksi kepada huraian bagaimana kesabaran sejati itu dibuktikan bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan yang bermartabat.
Bagi individu sedang mencari kekuatan dalam menghadapi cabaran hidup, karya Trials and Tribulations in Islam ini menawarkan lebih daripada sekadar bacaan akademik. Ia adalah teman bicara pada saat sendirian dan pelita pada saat kegelapan.
Seperti dinyatakan al-Izz ibnu Abd al-Salam, musibah itu umpama ubat yang pahit: sukar ditelan, namun menyembuhkan jiwa yang mengenal Penciptanya.
Penulis adalah Felo Utama dan Pengarah Pusat Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)























