BH Online
Ringkasan Berita

Ilmu, adab perlu seiring bawa kepada kebenaran dan keadilan

DALAM tradisi keilmuan Islam, ulama sering menekankan suatu prinsip sangat penting, iaitu adab dan ilmu perlu dipastikan kedua-duanya dipenuhi seseorang penuntut ilmu. Prinsip ini bukan sekadar ungkapan slogan dan retorik, namun menjadi pasak menentukan sama ada seseorang didorong kepada kebenaran atau penyimpangan.
Ilmu, adab perlu seiring bawa kepada kebenaran dan keadilan

- Foto hiasan

DALAM tradisi keilmuan Islam, ulama sering menekankan suatu prinsip sangat penting, iaitu adab dan ilmu perlu dipastikan kedua-duanya dipenuhi seseorang penuntut ilmu. Prinsip ini bukan sekadar ungkapan slogan dan retorik, namun menjadi pasak menentukan sama ada seseorang didorong kepada kebenaran atau penyimpangan.

Seseorang mungkin memiliki kecerdasan akal, kemahiran berhujah dan kepakaran dalam pelbagai bidang. Namun, tanpa adab ilmu berkenaan tidak mesti membawa kepada kebenaran, bahkan menjadi sebab kepada kesesatan dan kerosakan.

Dalam kehidupan hari ini, kita sering melihat perdebatan dan perbezaan pendapat berlaku dengan penuh emosi. Apabila adab diketepikan, kebenaran menjadi sukar untuk diterima walaupun hujahnya jelas.

Apabila seseorang memiliki adab dengan merendah diri, menghormati orang lain dan bersedia untuk mendengar, hatinya akan lebih terbuka untuk menerima kebenaran dan hidayah Allah SWT.

Allahyarham Prof Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas sangat menekankan konsep adab dalam perbincangan falsafah pendidikan Islam dan krisis ilmu dalam masyarakat moden.

Antara definisi adab masyhur dinukilkannya ialah adab bermaksud pengiktirafan diterapkan dalam diri, ilmu dan perbuatan bahawa segala perkara disusun berdasarkan kedudukan yang benar.

Menurut al-Attas, adab bukan sekadar kesopanan atau etika luaran, namun merujuk kepada keupayaan seseorang untuk mengenal serta mengiktiraf hierarki sesuatu secara tepat dalam susunan kewujudan, termasuk kedudukan Allah SWT, nabi, ilmu, guru, manusia dan alam.

Apabila seseorang memahami kedudukan ini dengan benar, maka ia akan bertindak dengan adil terhadap sesuatu perkara. Keadilan dalam diri manusia sebenarnya lahir daripada adab.

Dalam karya pentingnya, Islam dan Sekularisme, al-Attas menyatakan masalah utama umat Islam pada zaman moden bukan sekadar kekurangan ilmu, tetapi kehilangan adab sehingga menyebabkan berlaku dominasi oleh pemimpin tidak berkelayakan dan bermoral.

Apabila adab hilang dalam masyarakat, manusia tidak lagi mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Orang yang tidak layak diberi kuasa, ilmu disalahgunakan dan kekeliruan nilai dalam masyarakat. Keadaan ini akhirnya membawa kepada krisis dalam pelbagai bidang seperti politik, pendidikan dan pemikiran.

Bagi al-Attas juga, tujuan sebenar pendidikan Islam bukan sekadar melahirkan individu berpengetahuan, malah melahirkan insan beradab, 'tujuan pendidikan Islam adalah untuk melahirkan insan yang baik.'

Berkait rapat dengan tubuh, minda dan jiwa

'Insan yang baik' bukan sekadar memiliki kecerdasan intelektual sahaja, bahkan mengenal Tuhan, memahami tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah, meletakkan ilmu pada tempat yang benar serta berakhlak terhadap diri, masyarakat dan alam. Oleh itu, pendidikan yang hanya menekankan maklumat tanpa membentuk adab, tidak mencapai tujuan sebenar pendidikan Islam.

Adab turut berkait rapat dengan tubuh, minda dan jiwa. Adab membabitkan implementasi dan integrasi beberapa perkara penting seperti menghormati guru, bersikap rendah diri, memahami kedudukan ilmu wahyu serta tidak menggunakan ilmu untuk tujuan salah Tanpa adab, ilmu menjadi alat kesombongan, manipulasi dan penindasan selain daripada membawa kepada kelemahan kerohanian dan akhlak.

Dalam pemikiran al-Attas, adab bukan hanya berkaitan kualiti individu sahaja, tetapi asas pembentukan sesebuah peradaban. Kemunculan tamadun agung Islam pada masa lalu berkait rapat dengan budaya adab terhadap ilmu yang membabitkan peranan ulama dan penuntut ilmu menghormati tradisi keilmuan berpaksikan tauhid.

Adab bukan sekadar tingkah laku sopan, tetapi suatu kerangka epistemologi dan moral yang menentukan bagaimana manusia memahami ilmu, kebenaran dan kedudukannya dalam alam. Adab seterusnya apabila digabungkan dengan ilmu yang benar, akan membawa kepada hikmah atau kebijaksanaan dalam diri manusia.

Hakikat ini juga dapat difahami dalam satu kisah dirakamkan Allah SWT dalam al-Quran, seperti dalam Surah al-A'raf, ayat 112 -121. Kisah ini menceritakan pertemuan antara Nabi Musa AS dengan tukang sihir Firaun untuk menentang dakwah Baginda.

Pada ketika itu, Firaun memerintah Mesir dengan penuh keangkuhan dan mengaku dirinya sebagai tuhan. Apabila Nabi Musa AS datang membawa risalah tauhid dan menyeru manusia supaya bertuhankan Allah SWT, Firaun berasa terancam sehingga menuduh Baginda sebagai seorang ahli sihir yang cuba memperdayakan manusia.

Lalu Firaun mengumpulkan tukang sihir terbaik dari seluruh negeri untuk berhadapan dengan Nabi Musa AS dalam suatu pertandingan. Tukang sihir berkenaan dijanjikan suatu ganjaran besar, kedudukan tinggi dan rapat dengan Firaun jika berjaya mengalahkan Nabi Musa AS.

Saat memulakan pertandingan, tukang sihir tidak terus bertindak angkuh dan tergesa-gesa. Sebaliknya, mereka bertanya Nabi Musa AS dengan penuh tertib, "Mereka berkata: "Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu terlebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?" (Al-A'raf: 115)

Pertanyaan ini mungkin kelihatan ringkas, tetapi sebenarnya menggambarkan satu nilai adab yang tinggi. Mereka bertanya dan memberikan pilihan kepada Nabi Musa AS untuk memulakan serta tidak menunjukkan sikap biadab atau merendahkan-rendahkan lawan.

Baginda kemudian menjawab agar merekalah memulakan terlebih dahulu. Maka, tukang sihir itupun mencampakkan tongkat dan tali mereka sehingga kelihatan seolah-olah bergerak seperti ular hidup.

Setelah itu, apabila tiba giliran Nabi Musa AS, tongkat Baginda menjadi seekor ular sebenar lalu menelan semua yang dilemparkan tukang sihir Firaun.

Pada saat itu, tukang sihir terbabit segera menyedari apa yang berlaku pada tongkat Nabi Musa AS bukanlah sihir, sebaliknya suatu mukjizat. Tanpa ragu-ragu atau bersifat ego, mereka terus sujud dan mengisytiharkan keimanan mereka terhadap Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Perubahan ini amat luar biasa kerana mereka datang sebagai pencabar Nabi Musa AS, namun akhirnya pulang sebagai orang beriman dan sanggup menanggung ancaman serta hukuman daripada Firaun demi mempertahankan kebenaran diyakini.

Kisah ini memberikan pengajaran besar, antaranya adab membuka pintu kepada hidayah. Meskipun tukang sihir berkenaan pada awalnya berada di pihak salah, namun sikap mereka yang tidak sombong dan masih memiliki adab ketika berhadapan dengan Nabi Musa AS, menjadikan hati mudah menerima kebenaran apabila terserlah.

Justeru, dapat difahami bahawa adab dan ilmu wajar bergerak beriringan untuk membawa seseorang kepada kebenaran, keadilan dan kebahagiaan. Prinsip ini selari dengan pengajaran daripada kisah Surah al-A'raf berkaitan tukang sihir Firaun yang akhirnya menerima kebenaran.

Penulis adalah Penolong Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)

Video Terkini

Berita Berkaitan