CUBA imbau kembali detik 1 Januari lalu. Dengan penuh semangat, ada yang memuat naik status di media sosial 'new year, new me'. Azamnya gah, mahu simpan RM10,000, turunkan berat badan atau khatam al-Quran dalam masa setahun.
Namun, mari kita jujur. Selepas beberapa bulan berlalu, berapa banyak daripada azam itu masih 'bernyawa' dan berapa banyak pula sudah selamat dikebumikan tanpa nisan.
Jika anda berasa bersalah, anda berada dalam kelompok majoriti. Kajian global Strava menunjukkan kebanyakan azam tahun baharu gagal seawal minggu kedua Januari.
Data daripada Laporan Dunia dan Berita Amerika Syarikat (AS) mendedahkan hampir 80 peratus azam gagal dicapai menjelang Februari. Adakah kita ditakdirkan untuk gagal atau sebenarnya hanya perlukan satu titik baharu untuk bangkit semula.
Di tengah-tengah keghairahan tahun Masihi mungkin mula hambar, muncul satu peluang keemasan iaitu, Tahun Baharu Muharam. Bagi tahun ini, 1 Muharam 1448 jatuh pada pertengahan tahun.
Tarikh ini hadir tepat pada masanya sebagai penanda aras separuh tahun. Ia seolah-olah satu isyarat langit untuk kita berhenti sejenak, menarik nafas panjang dan menilai semula haluan hidup sebelum melangkah ke baki enam bulan terakhir.
Semangat Muharam bukan sekadar soal cuti umum. Ia membawa simbolik Hijrah, peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah.
Dalam konteks pembangunan diri moden, hijrah adalah definisi sebenar kepada sebuah 'life reset' atau penetapan semula hala tuju kehidupan.
Hijrah yang paling besar bukan sejauh mana berpindah koordinat geografi, tetapi seberapa kuat tekad untuk meninggalkan tabiat lama merosakkan diri demi masa depan lebih bermakna.
Ada sebab saintifik mengapa azam Muharam selalunya lebih realistik berbanding Januari. Pada awal tahun, kita sering dipengaruhi euforia dan sekadar mengikut trend.
Namun, menjelang pertengahan tahun, kita mempunyai aset berharga, iaitu data prestasi. Sesiapa melalui pengalaman sebenar selama hampir enam bulan pertama 2026, kini lebih sedar.
Kenapa diet gagal. Mungkin sasaran turun lima kilogram seminggu itu tidak masuk akal. Kenapa simpanan tidak bertambah. Mungkin nafsu beli dalam talian tidak terkawal atau bajet tidak realistik.
Mengapa ibadah tidak konsisten. Mungkin kerana mahu berubah secara drastik dalam sekelip mata. Pengalaman pahit separuh tahun pertama inilah menjadikan azam Muharam kita lebih berpijak di bumi nyata.
Ambil masa, letakkan telefon di tepi dan jawab soalan ini dengan penuh kejujuran dalam hati.
● Apa satu perkara paling kerap menggagalkan azam kita.
● Adakah malas, ketiadaan pelan jelas atau sekadar ikut-ikutan.
● Jika diberi peluang bermula semula, apa tindakan paling kecil mampu kita lakukan secara konsisten setiap pagi
Usah ambil mudah kegagalan untuk berubah
Ramai antara kita gagal mencapai azam bukan disebabkan lemah semangat, tetapi kerana azam itu terlalu umum. Sebagai contoh, hasrat hendak kurus adalah matlamat sangat kabur kerana otak tidak dapat memproses tindakan spesifik perlu diambil.
Sebaliknya, azam akan lebih praktikal jika diubah kepada tindakan jelas seperti 'saya mahu berjalan kaki selama 30 minit selepas pulang bekerja, tiga kali seminggu'.
Dengan cara ini, sasaran kita bukan lagi sekadar angan-angan, tetapi pelan harian nyata dan mudah diukur.
Fahami maksud ayat al-Quran pada Surah an-Najm ayat 39 bermaksud: "Dan manusia tidak memperoleh selain apa yang diusahakannya".
Perubahan besar tidak berlaku dalam semalam. Ia himpunan ribuan tindakan kecil dilakukan berulang-ulang. Jika azam Januari hancur, jangan meratapinya. Gunakan semangat Hijrah untuk reset semula dengan langkah lebih kecil.
Namun, usah ambil mudah kegagalan untuk berubah. Membiarkan diri dalam tabiat buruk membawa kos tinggi. Dari sudut kesihatan, kegagalan menjaga pemakanan menyumbang peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), gaya hidup tidak sihat adalah pembunuh senyap boleh dicegah.
Dari sudut emosi pula, kegagalan berulang akan menghakis keyakinan diri. Kita akan mula percaya pada suara negatif 'aku memang tak boleh berubah'. Inilah sebabnya kita perlukan titik baharu Muharam untuk memecahkan kitaran rasa bersalah ini.
Bagi membolehkan azam Muharam ini lebih 'melekat', gunakan formula ringkas antaranya mengecilkan sasaran. Bermakna usah terus mahu lari maraton jika berjalan kaki pun jarang. Mulakan dengan 1,000 langkah sehari atau sekadar senaman ringan 10 minit.
Kita perlu menjelaskan tindakan, bukan sekadar kata 'mahu simpan duit' sebaliknya kata dengan tegas 'saya akan asingkan RM5 ke dalam tabung setiap kali selepas Subuh'.
Paling penting adalah konsisten atau istiqamah. Biar sedikit, asalkan jangan berhenti. Rahsianya bukan pada kekuatan, tetapi pada kekerapan.
Dalam Islam, amalan paling dicintai Allah SWT adalah amalan sedikit, tetapi berterusan seperti dinyatakan Rasulullah SAW bermaksud: "Amalan paling dicintai Allah ialah paling berterusan, walaupun sedikit'. (HR Bukhari dan Muslim)
Tahun Baharu Hijrah pada 1 Muharam ini isyarat pintu peluang berubah sentiasa terbuka tanpa perlu menunggu 1 Januari berubah. Masa yang sempurna tidak akan pernah wujud, apa yang kita miliki hanya waktu sekarang.
Renungi maksud Surah ar-Ra'd ayat 11 bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".
Oleh itu, gunakan momentum 1 Muharam untuk berhenti menyesali kegagalan lalu dan mulakan langkah berani untuk menetapkan semula hala tuju kehidupan dengan tindakan nyata, bukan sekadar angan-angan.
Renungi maksud Surah Ali Imran ayat 159: "...Kemudian apabila engkau berazam, maka bertawakallah kepada Allah...".
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
























