BH Online
Ringkasan Berita

Elak mudarat ketika pilih pemimpin, wakil rakyat

SISTEM demokrasi diamalkan di Malaysia memberikan hak dan kuasa kepada rakyat untuk menentukan hala tuju negara melalui kertas undi.
Elak mudarat ketika pilih pemimpin, wakil rakyat

Pengundi perlu memilih pemimpin yang sentiasa meletakkan keadilan di tempat tertinggi. - Foto hiasan

SISTEM demokrasi diamalkan di Malaysia memberikan hak dan kuasa kepada rakyat untuk menentukan hala tuju negara melalui kertas undi.

Bagi seorang Muslim, proses mengundi bukan sekadar menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara, malah ia satu amanah besar berkait rapat dengan tuntutan syariat Islam.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan, Dr Muhammad Firdaus Abdul Manaf berkata, ”‹dalam kerangka Islam, politik dan agama tidak pernah dipisahkan.

Ia dijelaskan menerusi firman Allah dalam Surah an-Nisa, ayat 59 bermaksud: "Wahai orang beriman. Taatlah Allah, taatlah Rasul dan Ulil Amri (pemimpin) dalam kalangan kamu".

Katanya, ayat ini menunjukkan kewujudan kepemimpinan sah, adil dan berwibawa adalah tuntutan syarak bagi menjamin kestabilan agama serta urusan kehidupan manusia.

"Oleh sebab itu, memilih pemimpin yang baik adalah sebahagian daripada usaha merealisasikan perintah Allah SWT seperti ditegaskan dalam ayat berkenaan.

"Urusan memilih pemimpin sebahagian maqasid syariah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Memilih pemimpin bakal mencorakkan dasar negara bermakna kita menyerahkan mandat untuk menguruskan hal ehwal umat Islam dan memelihara kesucian agama ini," katanya.

Tambahnya lagi ”‹Allah SWT tegas mengingatkan hamba-Nya mengenai kewajipan menyerahkan amanah kepemimpinan kepada mereka yang benar-benar layak.

Hal ini termaktub menerusi firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada bagi yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil". (Surah an-Nisa, ayat 58)

”‹Ayat ini menjelaskan kepemimpinan adalah amanah berat tidak boleh dipandang remeh atau diserahkan secara sewenang-wenangnya.

Muhammad Firdaus berkata, kegagalan menyerahkan amanah ini kepada individu layak akan mengundang kerosakan sistemik kepada seluruh masyarakat dan negara.

Katanya, ”‹Rasulullah SAW memberikan amaran keras mengenai kesan buruk sekiranya urusan kepemimpinan diserahkan kepada pihak salah bermaksud:

"Apabila amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: Bagaimanakah ia disia-siakan? Baginda menjawab: Apabila urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran".

Berdasarkan nas al-Quran dan hadis itu, Muhammad Firdaus berkata, ulama bersepakat proses memilih pemimpin atau mengundi dalam konteks moden hari ini dikategorikan sebagai syahadah (penyaksian).

"Apabila seorang Muslim memangkah sekeping kertas undi, dia sedang membuat kesaksian di hadapan Allah SWT calon dipilihnya individu paling layak, adil dan mampu memikul bebanan rakyat.

"”‹Oleh itu, sengaja memberikan undi kepada calon tidak layak, rasuah atau zalim dikhuatiri boleh menjerumuskan seseorang ke dalam dosa Syahadah al-Zur (saksi palsu).

"Perkara ini wajib dielakkan kerana setiap undi diterjemahkan akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai asas dan niat pemilihan itu," katanya.

Beliau berkata, sarjana Islam seperti Imam Nawawi menyimpulkan teras kepemimpinan terletak pada dua sifat utama, iaitu al-Qawiy (kompetensi dan kekuatan) dan al-Amin (berintegriti dan amanah).

”‹Kriteria ini diambil bersempena dengan kisah Nabi Musa AS diceritakan dalam Surah al-Qasas, ayat 26 bermaksud: "Sesungguhnya orang paling baik untuk kamu ambil bekerja ialah orang kuat, lagi amanah".

Sifat al-Qawiy atau kekuatan dalam konteks kepemimpinan moden merujuk kepada keupayaan mental, fizikal, kebijaksanaan politik, kepakaran dalam pentadbiran serta kebolehan membuat keputusan strategik demi maslahat umum.

Sifat al-Amin pula merujuk kepada ketinggian akhlak, ketakwaan, kejujuran dan keluhuran integriti menghalang diri pemimpin daripada amalan rasuah, salah guna kuasa serta pecah amanah.

"Gabungan dua elemen ini amat penting kerana pemimpin kuat tetapi tidak amanah akan menjadi zalim, manakala pemimpin amanah tetapi lemah akan membawa kepada kegagalan tadbir urus," katanya.

Muhammad Firdaus berkata, pemimpin juga perlu memiliki sifat rahmah dan keprihatinan tinggi terhadap kesusahan rakyat.

Katanya, Rasulullah SAW sentiasa mendoakan kebaikan pemimpin memudahkan urusan rakyat dan mendoakan kesusahan mereka yang menyusahkan rakyat, sebagaimana hadis riwayat Muslim:

"Ya Allah, sesiapa memegang kuasa urusan umatku lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkan dia. Sesiapa memegang kuasa urusan umatku lalu dia berlaku lemah-lembut (memudahkan) mereka, maka berlemah-lembutlah (permudahkanlah) kepadanya".

Jika berlaku pertembungan antara calon Muslim ”‹dalam pilihan raya, Muhammad Firdaus berkata ia menuntut kebijaksanaan dan kematangan berfikir tinggi berasaskan neraca syariat bagi memilih yang terbaik.

"Pengundi tidak boleh bersikap semberono atau mengikut emosi, sebaliknya menilai setiap calon berdasarkan merit keupayaan, rekod perkhidmatan dan komitmen mereka terhadap keadilan serta syiar Islam.

"Jika salah seorang calon Muslim mempunyai kecenderungan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat atau keutuhan agama, pengundi wajib memilih calon lebih bersih dan selamat," katanya.

Namun persoalan sering menjadi polemik dalam kalangan pengundi ialah adakah perlu memilih berdasarkan peribadi calon atau ideologi serta dasar parti diwakilinya.

"Dalam sistem pilihan raya kedua-dua elemen ini saling berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. ”‹Seorang calon mempunyai peribadi baik, jujur dan berakhlak mulia tetap memerlukan sokongan parti kukuh untuk menterjemahkan visinya menjadi dasar negara.

"Tanpa sokongan parti, seorang wakil rakyat yang baik akan menghadapi kesukaran amat besar untuk meluluskan undang-undang adil atau membawa pembangunan berkesan," katanya.

Apa yang penting katanya, memilih parti mempunyai dasar baik tetapi meletakkan calon korup, tidak kompeten dan rosak moralnya juga satu kesilapan besar.

"Calon yang rosak peribadinya akan menjadi liabiliti kepada parti dan akhirnya merosakkan sistem penyampaian khidmat kepada masyarakat setempat," katanya.

Muhammad Firdaus berpendapat”‹, pengundi perlu memilih pemimpin yang takutkan Allah SWT kerana akan gerun mengkhianati hak rakyat selain sentiasa meletakkan keadilan di tempat tertinggi.

Video Terkini

Berita Berkaitan