BH Online
Ringkasan Berita

Dasar penggunaan ubat PrEP perlu ambil kira pandangan institusi agama

TULAR di media sosial galakan daripada sebahagian doktor perubatan supaya individu tertentu mengambil ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sebelum melakukan ‘aktiviti’ merujuk kepada hubungan seks songsang sesama jantina lelaki.
Dasar penggunaan ubat PrEP perlu ambil kira pandangan institusi agama

TULAR di media sosial galakan daripada sebahagian doktor perubatan supaya individu tertentu mengambil ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sebelum melakukan 'aktiviti' merujuk kepada hubungan seks songsang sesama jantina lelaki.

PrEP ialah ubat pencegahan diambil individu belum dijangkiti, HIV tetapi berisiko tinggi terdedah kepada virus berkenaan. Ia termasuk melalui seks songsang atau perkongsian jarum suntikan.

Dalam membincangkan isu ini, umat Islam perlu berhati-hati supaya usaha mencegah jangkitan HIV tidak bercanggah dengan hukum syarak yang diputuskan pihak berkuasa agama.

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Kali Ke-122 pada Oktober 2023 memutuskan PrEP harus diberikan kepada pasangan suami isteri sah bagi mengelakkan penularan HIV kepada pasangan belum dijangkiti.

Pada masa sama, muzakarah turut menegaskan pemberian dan pengambilan PrEP untuk tujuan maksiat adalah dilarang dan diharamkan.

Muzakarah juga menyeru semua pihak memainkan peranan membendung gejala sosial seperti penagihan dadah, seks bebas dan hubungan sejenis, di samping memperkukuh pendekatan abstinen, program kerohanian, psikospiritual dan runding cara.

Negara juga perlu menzahirkan pendirian jelas menentang seks songsang supaya pemberian PrEP tidak dilihat sebagai bentuk kompromi atau promosi terhadap perlakuan berkenaan.

Berdasarkan keputusan itu, isu PrEP tidak boleh dilihat hanya dari sudut perubatan semata-mata. Walaupun HIV penyakit sangat berbahaya, pertimbangan hukum dalam isu ini perlu mengambil kira pemeliharaan agama di samping menjaga nyawa.

Tiada siapa menafikan bahaya HIV. Virus HIV menyerang sel CD4 berfungsi membantu sistem imun melawan jangkitan. Sehingga kini, sains perubatan belum menemukan penawar mampu menghapuskan virus HIV sepenuhnya daripada tubuh manusia. Oleh itu, usaha pencegahan sememangnya penting dan wajar diberi perhatian.

Punca utama penularan HIV

Namun, pemberian PrEP secara meluas kepada pengamal seks songsang berpotensi mengekalkan punca utama penularan HIV.

Walaupun statistik jangkitan mungkin menurun melalui penggunaan PrEP, amalan menjadi faktor utama risiko HIV masih diteruskan. Keadaan ini jika 'dibenarkan' akan membawa kepada normalisasi gaya hidup bercanggah agama, moral dan fitrah manusia.

Individu mendapatkan PrEP di premis kerajaan kebanyakannya bukan pasangan suami isteri sah, sebaliknya golongan mengamalkan seks songsang sebagai langkah perlindungan sebelum melakukan aktiviti berkenaan.

Dalam konteks ini, timbul persoalan sama ada penurunan statistik HIV semata-mata memadai untuk dianggap sebagai kejayaan tanpa menilai kesan sosial dan moral yang lebih luas.

Malaysia mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan melalui Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, nilai dan prinsip Islam sewajarnya diterapkan dalam pelbagai bidang, termasuk kesihatan awam.

Usaha Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan menangani HIV melalui pelbagai program dan dasar kesihatan. Sebaliknya, pelaksanaan dasar berkaitan PrEP perlu mengambil kira pandangan institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya pendekatan diambil lebih menyeluruh. Dengan cara ini, objektif menjaga nyawa dapat dicapai tanpa mengabaikan tuntutan agama.

Isu ini juga menimbulkan dilema kepada sebahagian doktor Muslim. Garis panduan Program HIV PrEP Kebangsaan menggalakkan petugas kesihatan mengelakkan penggunaan bahasa boleh dianggap bersifat stigma atau moral ketika berinteraksi dengan pesakit.

Dari sudut kesihatan awam, pendekatan ini mungkin bertujuan memastikan golongan berisiko tidak menjauhkan diri daripada rawatan dan kaunseling.

Namun, dari sudut agama, timbul persoalan soal tanggungjawab menasihati masyarakat supaya menjauhi perkara dilarang Allah SWT.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman". (HR Muslim)

Rasional pendekatan kesihatan awam ini adalah mahu memastikan golongan berisiko terus berada dalam sistem rawatan dan pemantauan.

Namun pemberian PrEP secara percuma tanpa kawalan boleh menyebabkan punca utama HIV terus kekal dalam masyarakat. Justeru, pencegahan HIV seharusnya membabitkan pendekatan lebih menyeluruh melalui pencegahan daripada aktiviti berisiko, pengukuhan program kerohanian dan psikospiritual serta advokasi berterusan.

Dari sudut hukum Islam, terdapat kaedah fiqh menyebut 'apa yang membawa kepada haram maka ia haram'. Kaedah ini dijadikan sandaran jika sesuatu tindakan menjadi jalan menggalakkan atau memudahkan kemaksiatan, maka ia turut dihukum sebagai haram.

Begitu juga kaedah 'kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan'. Bermakna usaha mengurangkan mudarat HIV tidak seharusnya membawa kepada mudarat lain seperti normalisasi seks songsang, keruntuhan institusi keluarga dan kegagalan mencapai objektif pemeliharaan keturunan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 2 bermaksud: "Dan jangan kamu bantu-membantu di atas perkara dosa dan permusuhan'.

Berdasarkan prinsip ini, segala ruang boleh membawa penggalakan seks songsang perlu ditutup selaras dengan konsep 'Sadd al-Dhariah' iaitu menutup jalan membawa kepada kemungkaran.

Oleh itu, isu penggunaan PrEP dalam kalangan pengamal seks songsang perlu ditangani secara holistik dengan mengimbangi aspek kesihatan awam, agama, moral dan kesejahteraan masyarakat supaya usaha membendung HIV tidak terpisah daripada tanggungjawab memelihara nilai dan prinsip menjadi asas kehidupan masyarakat.

Penulis adalah Setiausaha Kumpulan Penyelidikan Gender Identity Through Fitrah Reinforcement (MyGift), Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Video Terkini

Berita Berkaitan