BH Online
Ringkasan Berita

Jangan biar ego jadi penyumbang statistik kemalangan jalan raya

BENAR ajal maut di tangan Tuhan dan tiada siapa mengetahui bilakah seseorang itu akan pergi buat selama-lamanya menemui Pencipta. Namun sebagai manusia dikurniakan akal fikiran, kita perlu sentiasa berfikir dengan lebih mendalam sebelum bertindak melakukan sesuatu perkara.
Jangan biar ego jadi penyumbang statistik kemalangan jalan raya

BENAR ajal maut di tangan Tuhan dan tiada siapa mengetahui bilakah seseorang itu akan pergi buat selama-lamanya menemui Pencipta. Namun sebagai manusia dikurniakan akal fikiran, kita perlu sentiasa berfikir dengan lebih mendalam sebelum bertindak melakukan sesuatu perkara.

Apabila kita melihat, mendengar dan membaca banyak kes kemalangan yang meragut nyawa, pastinya terdetik pelbagai perkara bermain di minda. Bagaimanakah kemalangan itu boleh berlaku? Siapakah yang bersalah? Apakah hukuman diberikan? Sudah tentu perkhabaran sebegini bukan sesuatu menggembirakan untuk didengar. Apatah lagi kes kemalangan jalan raya kini banyak berlaku di negara kita sama ada membabitkan nyawa mahupun tidak.

Kadangkala ada mangsa berhati-hati di jalan raya, tetapi tetap menjadi sasaran mereka yang lalai dan cuai. Ada juga yang memang sambil lewa ketika memandu seperti tidak mendapat rehat secukupnya, berada dalam keadaan mengantuk, memandu secara berbahaya dan sebagainya.

Janganlah kita 'memilih' untuk menamatkan riwayat hidup sendiri atau orang lain di jalan raya dengan tidak berhati-hati di jalan raya dan enggan memikirkan keselamatan orang lain hingga menjadi punca kepada kemalangan jalan raya.

Amalkan tolak ansur di jalan raya

Ketika berada di atas jalan raya, sifat bertolak ansur dan bersabar itu perlu diletakkan pada tahap yang tertinggi. Ini kerana, jika tiada kedua-dua sifat ini, maka kita akan merasakan seperti jalan raya itu adalah milik kita sahaja tanpa memikirkan orang lain.

Sifat mulia seperti ini akan mendidik diri kita agar lebih berhati-hati serta berwaspada di jalan raya. Banyak perkara perlu kita fikirkan ketika berada di atas jalan raya. Apatah lagi kesan jangka panjang apabila tiada kesedaran dalam diri kita ketika memandu mahupun menunggang kenderaan. Jangan ada sifat pentingkan diri kerana kelak akan memakan diri sendiri.

Sebelum kita memulakan perjalanan ke sesebuah destinasi, pastikan kita dalam keadaan bersedia dan mempunyai rehat cukup untuk memulakan perjalanan. Lebih-lebih lagi perjalanan panjang mengambil masa lama untuk tiba ke destinasi.

Seandainya kita kurang sihat, maka tangguhkan seketika perjalanan kerana dikhuatiri akan menjejaskan pemanduan di jalan raya akibat kesan ubat dan masalah kesihatan yang dialami. Jika ubat yang dimakan pun boleh memberi kesan kepada fokus di jalan raya, apatah lagi sekiranya mengambil minuman beralkohol, risikonya amat tinggi dan sangat bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Perkara sedemikian yang kita sebut tidak memikirkan orang lain dan juga kesan yang panjang jika kita mengabaikannya. Bagi umat Islam, minuman arak adalah haram seperti firman Allah SWT: "Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan merenung nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu berjaya." (Al-Maa'idah: 90)

Selain persiapan diri sendiri, kenderaan juga perlu diperiksa dan diperbaiki sekiranya terdapat sebarang kerosakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. Jangan kerana terlalu ingin berjimat, akhirnya kenderaan kita menjadi punca kepada berlaku kemalangan akibat tidak diselenggara dengan sebaiknya.

Benar, kadangkala kita sudah bersedia dan membuat persiapan sebaiknya, tetapi malang tetap tidak berbau. Takdir Allah SWT itu tidak ada siapa yang boleh nafikan. Tidak dinafikan jika Allah SWT menginginkan sesuatu, maka tetaplah akan berlaku. Namun dengan usaha yang kita lakukan itu, mencerminkan kita bukan sengaja untuk mengundang sesebuah kemalangan itu berlaku.

Doa, tawakal mohon perlindungan

Jika kita berusaha ke arah kebaikan, pasti hasilnya juga adalah sesuatu yang baik. Sebagai Muslim juga, kita boleh bersedia dengan amalan doa sebelum memulakan perjalanan. Ini dikira sebagai satu usaha dengan bertawakal kepada Ilahi agar memberi perlindungan sepanjang perjalanan dari mula hingga akhirnya. Mulakan sesuatu dengan menyebut nama Allah SWT agar sentiasa dirahmati dan diberkati oleh-Nya.

Di samping itu juga, buanglah ego masing-masing ketika berada di atas jalan raya. Jangan disebabkan tidak mahu mengalah atau menunjukkan siapa lebih hebat, orang lain yang menjadi mangsa. Tidakkah kita terfikir mengenai nasib ahli keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang disebabkan kecuaian kita? Bagaimana sekiranya perkara itu berlaku kepada diri kita? Sebab itu, sentiasa berhati-hati di jalan raya tidak mengira dalam keadaan apa sekalipun agar kita tidak menjadi penyebab kepada kemalangan.

Oleh itu, sama-samalah kita ingat mengingati antara satu sama lain mengenai pentingnya kesedaran di atas jalan raya. Jangan jadi pembuli jalan raya yang boleh mengakibatkan berlakunya pertelingkahan mahupun sesebuah kemalangan yang pada awalnya boleh dielakkan sekiranya kita menanamkan dalam diri sifat bertolak ansur antara satu sama lain.

Fikirkan kesan jangka panjang sebelum kita menyesal hingga tiada kesudahannya akibat kesilapan yang kita sendiri mulakan. Jangan suka menuding jari ke arah orang lain, sebaliknya perbaiki diri sendiri terlebih dahulu, Jika kita semua mempunyai kesedaran sama, Insya-Allah pastinya jalan raya bukan menjadi tempat tamatnya riwayat hidup seseorang.

Penulis adalah Penolong Pendaftar Kanan (Hal Ehwal Islam), Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Video Terkini

Berita Berkaitan