BH Online
Ringkasan Berita

Tuduh zina tanpa bukti, isteri boleh heret suami ke mahkamah

TUDUHAN zina terhadap pasangan di media sosial bukan sekadar luahan emosi atau gurauan ketika marah, sebaliknya boleh membawa implikasi besar dari sudut undang-undang syariah dan sivil.
Tuduh zina tanpa bukti, isteri boleh heret suami ke mahkamah

Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. - Foto NSTP

TUDUHAN zina terhadap pasangan di media sosial bukan sekadar luahan emosi atau gurauan ketika marah, sebaliknya boleh membawa implikasi besar dari sudut undang-undang syariah dan sivil.

Realitinya, ramai wanita memilih untuk berdiam diri ketika menghadapi kemelut rumah tangga demi menjaga aib keluarga.

Namun, perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial semakin meluas menyaksikan ada pihak menjadikan platform digital sebagai tempat meluahkan konflik suami isteri.

Lebih membimbangkan apabila ada isteri dituduh berlaku curang atau berzina hanya kerana kerap berada di tempat kerja demi mencari rezeki untuk keluarga. Tidak kurang juga suri rumah menjadi mangsa syak wasangka suami tanpa asas.

Tuduhan seperti itu bukan sahaja mencemarkan maruah dan reputasi wanita, malah boleh memberi kesan emosi mendalam kepada pasangan serta anak-anak.

Dalam Islam, tuduhan zina tanpa bukti adalah perkara berat kerana ia membabitkan soal kehormatan dan maruah individu.

Peguam Syarie, Hafiz Roslan, berkata tindakan undang-undang tetap boleh diambil walaupun tuduhan zina tanpa empat orang saksi itu dibuat menerusi media sosial.

Katanya, kecanggihan teknologi dan penggunaan medium digital tidak menghapuskan tanggungjawab undang-undang terhadap individu menyebarkan tuduhan berunsur fitnah atau qazaf terhadap isteri.

"Dalam konteks syariah, perbuatan menuduh seseorang melakukan zina tanpa membawa empat saksi memenuhi syarat diklasifikasikan sebagai kesalahan qazaf.

"Selain implikasi di Mahkamah Syariah, mangsa boleh mengambil tindakan sivil melalui saman fitnah jika tuduhan itu mencemarkan reputasi dan nama baik mereka," katanya.

Beliau berkata, proses tindakan di Mahkamah Syariah lazimnya bermula apabila individu mendakwa dirinya difitnah membuat aduan kepada pihak berkuasa agama Islam negeri.

Mangsa disarankan hadir ke jabatan agama Islam negeri (JAIN), bahagian penguatkuasaan agama Islam atau pejabat agama berkaitan dengan membawa bukti seperti tangkap layar, rakaman video, mesej aplikasi, hantaran media sosial dan saksi berkaitan.

Katanya, penguat kuasa agama kemudian akan meneliti aduan, menilai bukti dan menentukan sama ada wujud unsur kesalahan syariah sebelum kes dirujuk kepada pendakwa syarie.

"Sekiranya siasatan mendapati terdapat asas kukuh, kes akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut Hafiz, individu disabitkan kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 berkaitan kesalahan qazaf.

Peruntukan itu menetapkan kesalahan kepada individu menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki mengikut hukum syarak atau pengakuan daripada individu dituduh melakukan kesalahan.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, bahan digital seperti rakaman video, audio, mesej WhatsApp dan tangkap layar boleh digunakan sebagai bukti sokongan bagi menunjukkan sesuatu tuduhan benar-benar dibuat dan disebarkan.

Bagaimanapun, bukti digital bukan digunakan membuktikan berlakunya zina, sebaliknya bagi membuktikan kewujudan tuduhan, unsur fitnah dan penyebaran kenyataan pihak menuduh.

Katanya, tafsiran 'dokumen' dalam Mahkamah Syariah adalah luas sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 3 Tafsiran Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

"Ia merangkumi apa juga bentuk rakaman, termasuk audio, video, data elektronik, imej pegun atau bergerak, rakaman bunyi serta bahan digital lain yang boleh digunakan bagi menggambarkan sesuatu perkara.

"Namun, mahkamah tidak menerima bukti digital secara sewenang-wenangnya. Kesahihan sesuatu bahan akan dinilai berdasarkan sumber asal rakaman, pihak menyimpan bahan berkenaan dan identiti individu terbabit," katanya.

Simpan semua bukti

Sehubungan itu, Hafiz menasihatkan mangsa supaya bertindak segera dengan menyimpan semua bukti berkaitan dan tidak memadam sebarang komunikasi mempunyai kaitan tuduhan berkenaan.

"Mangsa juga digalakkan membuat laporan polis sekiranya tuduhan itu disebarkan secara meluas atau membabitkan ancaman.

"Tindakan pantas penting kerana bukti digital mudah dipadam atau diubah. Walaupun sesuatu hantaran sudah dipadam, jejak digital masih boleh dikesan jika sempat direkodkan lebih awal," katanya.

Dalam hukum syariah, qazaf dianggap kesalahan serius kerana membabitkan maruah seseorang. Hukuman asal bagi qazaf ialah 80 sebatan terhadap pihak gagal membawa empat saksi, selain kesaksiannya juga boleh ditolak.

Bagaimanapun di Malaysia, pelaksanaan hukuman tertakluk kepada enakmen negeri dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hafiz berkata, masih ramai masyarakat memandang ringan tuduhan di media sosial dengan menganggap ia sekadar luahan marah atau gurauan.

"Undang-undang tidak melihat alasan sama ada kenyataan dibuat ketika marah atau bergurau. Apa yang dinilai ialah kandungan kenyataan dan kesannya terhadap maruah seseorang," katanya.

Beliau turut menjelaskan masyarakat sering salah faham mengenai konsep li'an kerana ia tidak berlaku secara automatik hanya kerana seseorang membuat tuduhan terhadap pasangan di media sosial.

Sebaliknya, ia adalah proses khusus di Mahkamah Syariah membabitkan suami isteri dengan lafaz dan prosedur tertentu di hadapan hakim.

"Jika sekadar membuat hantaran atau sindiran di media sosial, ia belum dianggap sebagai li'an dari sudut undang-undang syariah.

"Li'an ialah sumpah suami apabila dia menuduh isterinya berzina tetapi gagal membawa empat saksi. Jika proses li'an dilakukan mengikut hukum syarak, implikasinya amat besar kerana pasangan akan dipisahkan buat selama-lamanya," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 50A Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, hakim syarie boleh memerintahkan pasangan difarakkan dan hidup berasingan selama-lamanya selepas sumpah li'an dilakukan.

Namun, li'an bukan 'lesen' membuat tuduhan sewenang-wenangnya kerana ia jalan terakhir yang berat dari sudut hukum agama.

Hafiz berkata, ketegasan undang-undang Islam dalam isu qazaf dan li'an bertujuan menjaga maruah, keturunan serta institusi keluarga.

"Tuduhan melulu bukan sahaja boleh meruntuhkan rumah tangga, malah memberi kesan besar terhadap emosi anak-anak, maruah keluarga dan reputasi semua pihak," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan