BH Online
Ringkasan Berita

Taat, hormat institusi Raja bersama pemimpin teras perpaduan

AGAMA Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem perundangan negara. Islam diiktiraf agama Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam.
Taat, hormat institusi Raja bersama pemimpin teras perpaduan

AGAMA Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem perundangan negara. Islam diiktiraf agama Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam.

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil perakuan Suruhanjaya Reid merangka Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan jawatan Yang di-Pertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union dilihat cuba menghapuskan Institusi Raja-raja Melayu.

Agama Islam sangat menitik beratkan soal perpaduan dan menolak sebarang bentuk perpecahan, perselisihan serta permusuhan.

Institusi eaja dan perpaduan sesama umat Islam boleh digambarkan sebagai satu binaan kukuh sebagaimana hadis diriwayatkan Abu Musa al-Asy'ari RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Orang mukmin dengan mukmin lain seperti satu bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian lain". (HR Bukhari).

Perpaduan ummah dapat diambil iktibar dalam sejarah peperangan Badar yang berlaku pada tahun kedua hijrah.

Umat Islam berjumlah 313 orang mampu menewaskan tentera musyrikin berjumlah 1,000 orang. Ini membuktikan kukuhnya perpaduan antara umat Islam walaupun bilangan mereka dalam jumlah kecil.

Perpaduan itu didasari keteguhan kepercayaan kepada kepemimpinan diketuai Rasulullah SAW sebagai tunggak utama.

Dalam konteks pembinaan sesebuah negara berdaulat, semangat perpaduan seperti terkandung dalam Piagam Madinah boleh dijadikan asas dan panduan menegakkan sesebuah negara.

Paling penting, hak dan keistimewaan penduduk asal dijamin sepenuhnya tanpa kompromi, namun pada masa masa perlembagaan negara turut menjamin dan memelihara hak semua bangsa serta agama lain atas dasar kemanusiaan sejagat.

Peranan kepemimpinan utama negara sangat signifikan dalam memastikan perpaduan dalam sesebuah negara dicapai.

Dalam konteks Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu memainkan peranan amat besar bagi memastikan kestabilan politik terjaga sekali gus memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat jelata.

Tonggak utama negara terpenting ini menjadi teras dalam memastikan usaha perpaduan dilaksanakan dengan tegas, sesuai dengan jaminan termaktub di Perlembagaan negara.

Perpaduan boleh mendatangkan banyak manfaat

Asas kepada semua ini ialah kesediaan semua pihak bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka serta saling menghormati antara satu dengan lain.

Perpaduan boleh mendatangkan banyak manfaat. Peribahasa Melayu mengatakan dengan perpaduan, 'gunung tinggi dapat diratakan', begitu juga 'bersatu teguh bercerai roboh' dan 'bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat'.

Ini semua menunjukkan perpaduan menyebabkan kerja berat menjadi ringan dan masalah rumit akan berjaya dirungkai.

Sejarah Islam membuktikan umat Islam berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi. Mereka bukan menjatuhkan dua kuasa besar dengan menggunakan senjata lebih canggih daripada senjata musuh mereka, sebaliknya berbekalkan semangat perpaduan.

Ini menunjukkan pentingnya perpaduan kerana dengan bersatu-padu umat Islam boleh menjadi kuat walaupun jumlah mereka sedikit.

Perpaduan seperti ini perlu ada dalam kalangan rakyat supaya Raja dapat melaksanakan peranannya sebagai ketua agama dan melindungi rakyat jelata.

Allah SWT mengingatkan kita bahaya perselisihan dan perpecahan menerusi Firman-Nya pada Surah al-Anfal ayat 46 bemaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan kamu berbantah-bantahan; jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah berserta orang sabar".

Ajaran Islam dengan tegas mewajibkan penganutnya supaya bersatu-padu dan mengelakkan perpecahan. Sekiranya umat Islam berpecah belah dan bercerai berai, ini menunjukkan mereka mengabaikan ajaran agama.

Perpaduan terjalin perlu berdiri melalui kepemimpinan teguh dan utuh. Kombinasi antara keduanya mampu membantu negara mengorak langkah dan melonjak menjadi semakin maju.

Justeru, umat Islam wajib bersatu padu dan mentaati Raja atau pemimpin dalam perkara tidak bertentangan hukum syarak.

Segala sifat mengundang perpecahan hendaklah dijauhi, antaranya berpunca daripada sikap suka berhasad dengki, buruk sangka, mengadu domba, saling memfitnah yang akibatnya sangat buruk.

Tanggungjawab mentaati institusi Raja di Malaysia bukan hanya terpikul di pundak orang Melayu dan Islam sahaja, malah menjadi kewajipan kepada semua bangsa dan agama seperti termaktub dengan tegas dan jelas dalam Rukun Negara.

Jangan jadi seperti 'kaduk naik junjung' dengan bersikap biadab terhadap titah dan nasihat diberikan. Sistem Raja Berperlembagaan diamalkan di Malaysia adalah tunjang keharmonian dan perpaduan, manakala sikap angkuh dan biadab akan merosakkan kesejahteraan dikecapi sekian lama.

Hubungan dan ikatan mesra antara Raja dan rakyat jelata sudah sekian lama terjalin ini perlu dikekalkan serta diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu adalah tonggak serta lambang perpaduan serta keharmonian masyarakat manakala di samping berfungsi sebagai Ketua Negara dan Ketua Agama Islam.

Kedudukan khusus ini wajib dipertahankan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Di bumi berdaulat ini, Raja dan rakyat berpisah tiada serta kewajipan mempertahankannya adalah tanggungjawab bersama.

Allah SWT pasti akan membantu dengan taufiq dan inayah-Nya kepada pemimpin serta ketua agama bagi negara ini bagi memastikan perpaduan antara rakyat sentiasa terpelihara, sebagaimana firman-Nya pada Surah al-Anfal ayat 62-63 bermaksud: "Dialah menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang beriman. Dan (Dialah) menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalau Engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Penulis di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Video Terkini

Berita Berkaitan