BH Online
Ringkasan Berita

Pelihara fitrah insan dalam arus perubahan zaman

FITRAH adalah anugerah agung dikurniakan Allah SWT kepada setiap insan. Ia merujuk kepada kecenderungan semula jadi manusia terhadap kebenaran, kesucian dan keseimbangan antara keperluan jasmani serta rohani.
Pelihara fitrah insan dalam arus perubahan zaman

FITRAH adalah anugerah agung dikurniakan Allah SWT kepada setiap insan. Ia merujuk kepada kecenderungan semula jadi manusia terhadap kebenaran, kesucian dan keseimbangan antara keperluan jasmani serta rohani.

Dalam kerangka Islam, fitrah mencakupi pengiktirafan terhadap peranan lelaki dan perempuan dalam kehidupan, khususnya dalam pembentukan keluarga serta masyarakat sejahtera.

Namun, dalam era globalisasi yang pesat, pelbagai nilai dan gaya hidup baharu turut mempengaruhi cara berfikir serta bertindak masyarakat.

Antara isu sering dibincangkan ialah perubahan pemahaman identiti dan orientasi seksual, termasuk fenomena dikaitkan dengan kelompok lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) dan aliran seumpamanya.

Perbincangan mengenai isu ini semakin mendapat perhatian termasuk dalam kalangan generasi muda dan warga institusi pengajian tinggi (IPT).

Dari perspektif psikologi Islam, fitrah manusia boleh dilihat melalui beberapa dimensi utama. Antaranya kecenderungan beragama iaitu mengakui keesaan Tuhan, kecenderungan berkeluarga dengan membina hubungan berasaskan pasangan lelaki dan perempuan serta kecenderungan bermasyarakat menerusi hidup dalam norma harmoni dan seimbang.

Sebarang perubahan memahami atau mengamalkan dimensi ini sering menjadi perbahasan dalam kalangan sarjana dan masyarakat.

Beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada perubahan cara pandang terhadap isu ini. Antaranya pengaruh media sosial dan budaya global memaparkan pelbagai bentuk ekspresi identiti sebagai sesuatu yang diterima.

Selain itu, kekurangan pendidikan seksual komprehensif dan berteraskan nilai agama boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan remaja.

Faktor lain termasuk pengalaman hidup seperti konflik keluarga, tekanan emosi serta pencarian identiti diri khususnya dalam fasa kehidupan.

Dari sudut kesan, isu ini lazimnya dikaitkan dengan cabaran terhadap kesejahteraan individu dan sosial. Dalam kalangan pakar kesihatan mental, terdapat perbincangan kepentingan sokongan emosi, penerimaan diri dan bimbingan sesuai bagi individu berhadapan dengan kekeliruan identiti.

Pada masa sama, institusi keluarga turut berperanan penting menyediakan persekitaran stabil dan menyokong perkembangan psikologi anak-anak.

Dalam Islam, kisah Nabi Lut AS disebut dalam beberapa ayat al-Quran sering dijadikan rujukan dalam membincangkan isu ini. Antaranya Surah al-A'raf ayat 80–81 mafhumnya menegaskan larangan terhadap perbuatan dianggap menyimpang daripada fitrah. Kisah ini memberi peringatan pentingnya menjaga nilai moral dan keseimbangan dalam kehidupan.

Ia bermaksud: 'Dan (Kami utuskan) Nabi Lut (ketika ia berkata kepada kaumnya); Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, tidak pernah dilakukan seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu kaum melampaui batas".

Bagaimanapun, pendekatan menangani isu ini perlu bersifat hikmah dan berhemah. Islam menekankan setiap manusia berhak mendapat bimbingan dan kasih sayang.

Rasulullah SAW mengajar umatnya mendekati manusia dengan kelembutan bukan cepat menghukum. Prinsip ini penting supaya usaha dakwah dan pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Keluarga institusi pendidikan pertama

Sehubungan itu, pendekatan holistik amat diperlukan. Keluarga perlu memainkan peranan sebagai institusi pendidikan pertama menyediakan asas agama dan nilai kukuh.

Institusi pendidikan pula boleh memperkukuh modul pembangunan sahsiah seimbang antara ilmu, akhlak dan kesejahteraan emosi. Agensi kerajaan dan pebadan bukan kerajaan juga boleh bekerjasama dalam menyediakan program kesedaran, sokongan psikologi serta panduan yang berteraskan nilai tempatan dan agama.

Apa yang lebih penting ialah membezakan antara menilai sesuatu perbuatan dan menghukum individu. Setiap insan mempunyai ruang untuk berubah dan memperbaiki diri. Firman Allah dalam Surah az-Zumar ayat 53 maksudnya secara umum iaitu mengingatkan bahawa rahmat Allah sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada-Nya.

Kesimpulannya, perbincangan mengenai isu ini memerlukan keseimbangan antara prinsip dan hikmah. Dalam menghadapi cabaran semasa, masyarakat perlu memperkukuh kefahaman tentang fitrah insan sambil memastikan pendekatan yang diambil tidak menyinggung, sebaliknya membina dan membimbing. Dengan gabungan pendidikan, sokongan sosial dan nilai keagamaan yang kukuh, diharapkan generasi akan datang mampu menjalani kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Bahasa & Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Video Terkini

Berita Berkaitan