BH Online
Ringkasan Berita

Ilmu 'tercabut' jika ulama, ilmuwan dihalang tunai tanggungjawab

ILMU diangkat daripada manusia menjadi antara ciri-ciri akhir zaman disebut Rasulullah SAW, tetapi ia bukan dengan menghilangkan pengetahuan secara tiba-tiba daripada otak manusia, sebaliknya mengambil nyawa ulama, ilmuwan dan sarjana yang benar.
Ilmu 'tercabut' jika ulama, ilmuwan dihalang tunai tanggungjawab

Wan Mohd Nor (kiri) semasa menyampaikan Syarahan Malam Sabtu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. Foto NSTP/Rohanis Shukri

ILMU diangkat daripada manusia menjadi antara ciri-ciri akhir zaman disebut Rasulullah SAW, tetapi ia bukan dengan menghilangkan pengetahuan secara tiba-tiba daripada otak manusia, sebaliknya mengambil nyawa ulama, ilmuwan dan sarjana yang benar.

Realiti ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya daripada manusia, tetapi Allah mencabut ilmu dengan mewafatkan ulama. Sehingga apabila tidak lagi tinggal seorang alim, manusia akan mengambil orang jahil sebagai pemimpin. Lalu mereka ditanya, mereka berfatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, jika diperhatikan secara mendalam, 'kematian' seseorang ahli ilmu yang benar bukan sahaja dengan meninggal dunia, sebaliknya ia juga boleh berlaku apabila individu berkenaan tidak dibenarkan melaksanakan tanggungjawab dan amanah sepatutnya seperti mengajar dan mendidik atau diberikan peranan sewajarnya.

Apabila individu yang tepat tidak dibenarkan berbuat demikian, maka orang yang menggantikannya tidak mempunyai keilmuan yang diperlukan untuk meneruskan tugas yang sepatutnya dilakukan ahli yang memiliki autoriti lebih besar.

Akhirnya, apabila pengganti yang sebenarnya tidak layak itu berperanan dengan mengajar, menulis atau mengamalkannya, individu berkenaan akan menyesatkan dan mengelirukan ummah, sekali gus menimbulkan keraguan serta kerosakan.

Ingatan itu disampaikan Penyandang Kursi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas (SMNA) di Pusat Pengajian Lanjutan Islam, Sains dan Ketamadunan Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam syarahannya pada Saturday Night Lecture 17th Series di UTM, Kuala Lumpur.

Wan Mohd Nor yang juga antara anak murid terdekat Almarhum Prof Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas berkata, golongan ulama, ilmuwan dan sarjana sejati adalah pewaris Nabi. Justeru, mereka berhadapan dengan cabaran seperti Nabi dan Rasul yang bukan sahaja diabaikan, malah ditentang sebahagian kaum mereka.

Beliau memetik hadis yang diriwayatkan Imam Tirmizi dan al-Bazzar: "Orang yang paling berat ujiannya ialah nabi, kemudian yang selepas mereka, kemudian yang selepas mereka."

Ungkapan Said Nursi timbul tanda tanya

Dalam mengenal golongan ahli ilmu sejati itu, Wan Mohd Nor memetik ungkapan yang disebut ulama besar dunia Turkiye, Sheikh Bediuzzaman Said Nursi: "Celakalah bagi orang beramal tanpa ilmu. Celakalah bagi orang mempunyai ilmu tetapi tidak beramal. Dan celakalah bagi orang mempunyai ilmu dan beramal, tetapi tidak ikhlas. Namun, mereka yang mempunyai ilmu, beramal serta ikhlas akan paling banyak menghadapi kesusahan, berada dalam kesukaran besar dan paling banyak dicabar."

Wan Mohd Nor berkongsi pengalaman ketika mula menemukan ungkapan itu dalam karya Said Nursi, tetapi mengambil masa agak lama untuk memikirkan makna dalam ayat terakhir berkenaan, tetapi segan bertanya dengan al-Attas walaupun bertemu dengannya setiap hari di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

"Sudah menjadi rutin al-Attas tiba di pejabat awal pagi dan mula-mula menyelesaikan urusan pentadbiran serta kewangan bersama pendaftarnya yang amanah dan baik, Haji Mat Ali dibantu Wan Nasaruddin.

"Namun, selepas itu dari jam 11 pagi hingga jam 2 petang, saya bertemu dengannya sambil minum kopi, menjawab surat dan berbincang tetapi saya segan bertanya mengenai persoalan ungkapan itu kepadanya.

"Semasa di Persidangan Ahli Falsafah Timur-Barat East West di Hawaii, saya mengumpulkan keberanian dan berkata sudah lama saya memikirkannya mengapa seseorang yang mempunyai ilmu, beramal dan ikhlas lebih banyak menghadapi kesusahan," katanya.

Al-Attas terus ketawa ketika itu sambil mengatakan 'seperti kita yang dicabar', kata Wan Mohd Nor, tetapi beliau menyambung maksudnya adalah ahli ilmu yang menepati ketiga-tiga syarat itu (berilmu, beramal dan ikhlas) ditentang oleh tiga golongan terbabit.

"Pertama, golongan jahil atau juhhal menentang kerana mereka tidak faham dan keliru, manakala kumpulan kedua pula mengetahui sesuatu, tetapi tidak beramal pula menentang disebabkan kerana malu serta tidak mahu orang melihat bahawa mereka adalah balikan kepada ahli ilmu yang beramal.

"Golongan kedua ini menentang ahli ilmu yang beramal kerana jika tidak berbuat demikian, orang akan mengabaikan mereka dan merujuk serta belajar dengan ilmuwan sebenar.

"Kelompok ketiga pula mempunyai ilmu dan beramal tetapi tidak ikhlas. Mereka sebenarnya mahukan sesuatu yang lain, iaitu pengaruh, kemasyhuran, kedudukan, harta dan kuasa," katanya.

Jawapan al-Attas tanda kecerdasan, keilmuan

wannor2
Peserta Syarahan Malam Sabtu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. Foto NSTP/Rohanis Shukri

Menyentuh pengalaman itu juga, Wan Mohd Nor berkata, jawapan pantas al-Attas itu juga menunjukkan tanda kecerdasan akal, kedalaman ilmu dan kefahaman ilmuwan besar itu sedangkan individu lain terpaksa mengambil masa berbulan-bulan untuk memahami makna di sebalik ungkapan berkenaan.

Al-Attas yang mengasaskan dan membangunkan ISTAC meninggal dunia pada 17 Ramadan lalu yang disifatkan Wan Mohd Nor sebagai kehilangan yang tidak mudah untuk diganti.

Bagaimanapun, Wan Mohd Nor mengingatkan bahawa tugas kita bukan untuk menggantikan ilmuwan berkenaan, sebaliknya untuk mempelajari dan menganalisis idea besar serta sumbangan mereka, sekali gus meniru akhlak dan etika yang layak diteladani.

"Ini termasuk dengan mengembangkan idea mereka kerana ilmuwan dan sarjana yang benar adalah pewaris Nabi yang apabila wafat, tidak mewariskan emas dan perak, tetapi ilmu yang tinggi nilainya.

"Ilmu mengenai realiti hakiki seperti siapakah Allah SWT, insan, hakikat dunia, apa yang benar dan salah serta bagaimana kita perlu berkelakuan secara Islam dalam zaman ini? Apakah ilmu perlu diajar atau sepatutnya ditolak serta diasimilasikan dan seterusnya.

Video Terkini

Berita Berkaitan