PENGAMBILAN vitamin C pada paras yang mencukupi berpotensi membantu memperlahankan proses penuaan otak dan mengekalkan fungsi kognitif apabila usia meningkat, menurut satu kajian baharu.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS One itu mendapati, individu warga emas yang mempunyai paras vitamin C lebih rendah dalam darah cenderung memiliki jumlah bahan kelabu (grey matter) yang lebih sedikit.
Selain hubungan yang lebih lemah dalam Default Mode Network (DMN), iaitu rangkaian otak yang penting untuk fungsi memori, perhatian dan pemikiran.
Penyelidik menganalisis imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan sampel plasma darah daripada 2,044 rakyat Jepun berusia 64 tahun ke atas bagi menilai hubungan antara paras vitamin C dengan struktur otak.
Selepas mengambil kira faktor lain yang boleh mempengaruhi kesihatan otak seperti umur, tahap pendidikan dan aktiviti fizikal, penyelidik mendapati, peserta yang mempunyai paras vitamin C lebih rendah menunjukkan pengurangan isipadu bahan kelabu serta tahap hubungan DMN yang lebih lemah.
Penulis utama kajian, Tomohiro Shintaku, berkata dapatan itu menunjukkan paras vitamin C yang lebih tinggi dalam darah dikaitkan dengan pemeliharaan struktur rangkaian otak yang lebih baik.
"Penemuan ini menyokong hipotesis bahawa diet yang kaya dengan vitamin C mungkin membantu mengekalkan kesihatan otak serta mengurangkan kemerosotan fungsi kognitif berkaitan penuaan dalam kalangan warga emas," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kajian itu bersifat pemerhatian dan tidak dapat membuktikan bahawa vitamin C secara langsung menyebabkan perubahan terhadap struktur atau fungsi otak.
Menurut penyelidik, kajian lanjut diperlukan bagi mengenal pasti mekanisme biologi yang menerangkan hubungan antara paras vitamin C dengan kesihatan otak.
Kajian terdahulu turut menunjukkan individu yang mengambil vitamin C dalam jumlah lebih tinggi mempunyai risiko lebih rendah mengalami kemerosotan kognitif apabila meningkat usia.
Antara sumber semula jadi vitamin C ialah buah sitrus seperti oren, lada benggala, strawberi, blackcurrant, brokoli, kubis Brussels dan kentang. - AGENSI
























