BH Online
Ringkasan Berita

'Suplemen minyak ikan tidak bantu cegah Alzheimer'

RAMAI orang mengambil suplemen minyak ikan setiap hari dengan harapan ia dapat meningkatkan daya ingatan dan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.
'Suplemen minyak ikan tidak bantu cegah Alzheimer'

Foto hiasan

RAMAI orang mengambil suplemen minyak ikan setiap hari dengan harapan ia dapat meningkatkan daya ingatan dan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.

Namun, satu kajian baharu mendapati, suplemen yang sering dikaitkan dengan manfaat terhadap kesihatan otak itu didapati tidak memberi kesan ketara dalam mencegah penyakit Alzheimer.

Penyelidikan selama dua tahun oleh Keck Medicine, University of Southern California (USC) menunjukkan, peningkatan paras omega-3 melalui pengambilan suplemen mungkin tidak memberikan manfaat kepada otak seperti yang diharapkan ramai.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal eBioMedicine itu mendapati, walaupun asid lemak omega-3 daripada suplemen minyak ikan berjaya sampai ke otak, ia tidak meningkatkan tahap kesihatan otak dalam kalangan warga emas yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit Alzheimer.

Bagaimanapun, penyelidik mendapati suplemen berkenaan berjaya meningkatkan paras asid lemak omega-3 di dalam otak.

Namun, peningkatan ini tidak diterjemahkan kepada sebarang penambahbaikan dalam kesihatan otak bagi warga emas yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap Alzheimer.

Ketua penyelidik, Dr Hussein Naji Yassine, berkata penemuan itu menunjukkan suplemen minyak ikan bukanlah penyelesaian untuk mencegah penyakit berkenaan.

"Kita semua berharap terdapat kaedah yang berkesan untuk mencegah Alzheimer, namun dapatan kajian kami menunjukkan bahawa suplemen minyak ikan tidak kelihatan mampu melindungi kesihatan otak.

"Walaupun omega-3 memainkan peranan penting dalam pembentukan hubungan antara sel otak yang menyokong fungsi kognitif, keputusan kajian ini tidak menyokong penggunaannya sebagai langkah pencegahan Alzheimer," katanya.

Dr Yassine turut menekankan, mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang hayat masih menjadi cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko Alzheimer.

Ini termasuk melakukan senaman secara berkala, mendapatkan tidur berkualiti dan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Beliau mengibaratkan penjagaan kesihatan otak seperti penyelenggaraan sebuah kereta.

"Mengamalkan gaya hidup sihat adalah seperti melakukan penyelenggaraan berkala dan menukar minyak enjin berkualiti tinggi.

"Sama seperti enjin kereta yang boleh rosak jika tidak diselenggara, otak juga lebih mudah kehilangan fungsinya apabila masalah kesihatan lain tidak diuruskan dengan baik," katanya.

Kajian itu membabitkan 365 individu berusia antara 55 hingga 80 tahun yang jarang mengambil ikan dalam diet harian mereka.

Hampir separuh daripada peserta memiliki gen APOE4, iaitu faktor genetik utama yang dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit Alzheimer pada usia lanjut.

Peserta dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan, dengan satu kumpulan menerima suplemen omega-3 dos tinggi manakala satu lagi diberikan plasebo.

Susulan dapatan itu, penyelidik bercadang menjalankan kajian lanjut bagi memahami mengapa omega-3 yang berjaya memasuki otak tidak menghasilkan manfaat klinikal yang diharapkan.

Penyelidik berpendapat, omega-3 mungkin lebih berkesan apabila diperoleh melalui pengambilan makanan semula jadi seperti ikan berlemak sebagai sebahagian daripada corak pemakanan sihat, termasuk diet Mediterranean, berbanding diambil dalam bentuk suplemen.- AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan