BH Online
Ringkasan Berita

Lenguh selepas bersukan mungkin isyarat kecederaan

RAKYAT Malaysia semakin aktif bersukan. Selain badminton, bola sepak dan futsal yang kekal menjadi pilihan ramai, sukan baharu seperti pickleball, padel serta HYROX turut mencetuskan fenomena dalam kalangan masyarakat.
Lenguh selepas bersukan mungkin isyarat kecederaan

Foto hiasan

RAKYAT Malaysia semakin aktif bersukan. Selain badminton, bola sepak dan futsal yang kekal menjadi pilihan ramai, sukan baharu seperti pickleball, padel serta HYROX turut mencetuskan fenomena dalam kalangan masyarakat.

Trend itu sememangnya petanda positif kerana semakin ramai memilih gaya hidup aktif.

Namun, di sebalik keterujaan menyahut gaya hidup sihat, pakar ortopedik memberi amaran mengenai peningkatan kes kecederaan tisu lembut dan ligamen, khususnya dalam kalangan individu yang terlalu ghairah kembali bersukan tanpa persediaan fizikal mencukupi.

Lebih membimbangkan, ramai hanya mendapatkan rawatan apabila kecederaan sudah menjadi semakin serius.

Pakar Bedah Ortopedik Trauma, Sukan dan Pembedahan Robotik Pusat Perubatan Sunway Damansara, Dr Gan Eng Cheng, berkata ramai menganggap rasa lenguh selepas bersukan hanyalah kesan biasa aktiviti fizikal, sedangkan ia boleh menjadi petanda awal kecederaan yang lebih serius.

"Ramai memilih untuk menunggu sehingga sakit hilang sendiri. Hakikatnya, pemeriksaan awal mampu menentukan sama ada kecederaan boleh dirawat secara konservatif atau akhirnya memerlukan pembedahan," katanya.

Sukan baharu

Populariti pickleball, padel dan HYROX berkembang pesat kerana mudah diceburi serta sesuai untuk pelbagai peringkat umur.

Salah satu faktor yang menjadikan sukan-sukan ini semakin popular adalah persepsi ia mudah untuk diceburi dan "mesra pemula".

Namun, di sebalik tanggapan sukan berkenaan berimpak rendah, setiap satunya memberi tekanan biomekanikal yang berbeza kepada tubuh.

Pickleball dan padel misalnya, memerlukan banyak pergerakan sisi, perubahan arah secara mengejut serta pergerakan berulang yang memberi tekanan kepada bahu, siku dan lutut.

drgan
Dr Gan Eng Cheng

HYROX pula menggabungkan latihan ketahanan dan kekuatan dalam satu pertandingan, sekali gus meningkatkan beban terhadap otot, tendon serta ligamen.

Menurut Dr Eng Cheng, perubahan yang berlaku kini bukan hanya pada jenis kecederaan, malah turut membabitkan profil pesakit.

"Dahulu kecederaan lebih banyak berlaku dalam kalangan atlet atau individu yang sangat aktif. Kini, semakin ramai golongan yang baru berjinak-jinak dengan sukan mengalami kecederaan kerana terlalu cepat meningkatkan intensiti latihan," katanya.

Beliau berkata, pesakit muda lazimnya mengalami tendinitis bahu dan siku, terseliuh buku lali, koyakan ligamen lutut serta delayed onset muscle soreness (DOMS), iaitu sakit otot yang muncul satu hingga dua hari selepas bersenam.

Bagi individu lebih berusia pula, masalah seperti sakit belakang, sakit leher akibat spondilosis, saraf terhimpit dan osteoartritis lutut lebih kerap ditemui.

Dalam kalangan warga emas yang mengalami osteoporosis, risiko patah tulang akibat terjatuh juga lebih tinggi.

sukan2
Individu perlu beri ruang kepada tubuh menyesuaikan diri dengan beban latihan. - Foto hiasan

Kesilapan sering dilakukan

Dr Eng Cheng berkata, kebanyakan kecederaan sebenarnya berpunca daripada gabungan beberapa faktor, termasuk tidak melakukan pemanasan badan, kurang tidur, tekanan kerja, memakai kasut yang tidak sesuai serta terlalu memaksa diri ketika bersukan.

"Ramai mahu mencapai prestasi dengan cepat tanpa memberi ruang kepada tubuh menyesuaikan diri dengan beban latihan."

Akibatnya, kecederaan seperti koyakan otot betis, tendon Achilles, ligamen anterior cruciate ligament (ACL), selain kecederaan bahu dan siku semakin kerap ditemui.

Bezakan sakit otot dengan kecederaan

Sementara itu, Pakar Bedah Ortopedik Trauma, Sukan dan Pembedahan Robotik Pusat Perubatan Sunway Damansara, Dr Raymond Yeak Dieu Kiat, berkata ramai gagal membezakan antara sakit otot biasa dengan kecederaan sebenar.

Menurut beliau, DOMS biasanya berlaku antara 24 hingga 48 jam selepas bersenam, menyebabkan kesakitan yang menyeluruh dan akan beransur pulih apabila badan mula bergerak.

Sebaliknya, kecederaan sebenar menyebabkan kesakitan yang tajam, tertumpu pada satu kawasan dan bertambah sakit ketika melakukan pergerakan.

drraymond
Dr Raymond Yeak Dieu Kiat

"Jika anda boleh menunjukkan dengan tepat lokasi yang sakit menggunakan satu jari, itu petanda yang perlu diberi perhatian."

Beliau berkata, ramai juga mengabaikan kecederaan bahu kerana masih mampu menggerakkan tangan walaupun mengalami kesakitan.

Tanpa disedari, tubuh akan mengubah corak pergerakan bagi mengelakkan rasa sakit. Dalam jangka panjang, perubahan itu boleh menyebabkan tekanan kepada bahagian lain sehingga mencetuskan kecederaan baharu.

"Kecederaan buku lali yang tidak dirawat misalnya boleh menyebabkan masalah pada pinggul, manakala koyakan kecil pada meniskus boleh bertambah teruk sehingga memerlukan pembedahan," jelasnya.

Jangan terburu-buru kembali aktif

Menurut Dr Raymond, kes kecederaan berulang sering berlaku apabila individu kembali bersukan sebaik sahaja rasa sakit berkurangan walaupun proses pemulihan belum benar-benar selesai.

Beliau berkata, pencegahan perlu menjadi sebahagian daripada rutin bersukan, bukannya hanya diberi perhatian selepas kecederaan berlaku.

"Bagi mereka yang aktif bersukan tiga hingga empat kali seminggu, pastikan pemanasan badan dilakukan dengan betul, lakukan latihan kekuatan, beri tubuh masa berehat dan jangan abaikan kesakitan yang berpanjangan."

Katanya, perubahan paling penting bukan terletak pada teknik atau intensiti latihan, sebaliknya keupayaan mendengar isyarat yang diberikan tubuh.

Semangat rakyat Malaysia untuk bersukan sememangnya sesuatu yang wajar diraikan.

Namun, matlamat sebenar bukan sekadar mengejar prestasi atau mengikuti trend sukan baharu, sebaliknya memastikan tubuh kekal sihat agar aktiviti fizikal dapat diteruskan sepanjang hayat.

Kesakitan yang berlarutan selepas bersukan bukan sesuatu yang normal.

Rawatan awal, pemulihan yang teratur dan disiplin menjaga kesihatan adalah kunci untuk memastikan setiap langkah di gelanggang atau padang tidak berakhir dengan kecederaan yang boleh menjejaskan kualiti hidup.

INFO:

Amalan asas sebelum mula bersukan bagi mengelakkan kecederaan;

- Lakukan pemanasan badan sebelum bersukan.

- Sertakan latihan kekuatan otot dalam rutin senaman.

- Berikan tubuh masa untuk berehat dan pulih.

- Jangan abaikan kesakitan yang berlarutan.

- Tingkatkan intensiti latihan secara berperingkat.

Video Terkini

Berita Berkaitan