BH Online
Ringkasan Berita

Tak berhenti fikir makanan

RAMAI pernah melalui situasi sukar menurunkan berat badan walaupun sudah mengurangkan pengambilan nasi, mengelakkan minuman manis dan rajin bersenam.
Tak berhenti fikir makanan

Jika fikiran mengenai makanan mengganggu kehidupan harian atau berkaitan makan berlebihan, dapatkan nasihat daripada doktor atau pakar diet. - Foto hiasan

RAMAI pernah melalui situasi sukar menurunkan berat badan walaupun sudah mengurangkan pengambilan nasi, mengelakkan minuman manis dan rajin bersenam.

Lebih mengecewakan apabila ada yang dilabel sebagai kurang berdisiplin atau tidak cukup kuat mengawal nafsu makan.

Hakikatnya, masalah berat badan jauh lebih kompleks daripada sekadar soal kemahuan diri.

Pakar Perunding Perubatan Endokrinologi, Sunway Velocity Medical Centre Dr Lim Kim Piow, berkata "food noise" atau kebisingan makanan ialah keinginan berterusan untuk makan walaupun tubuh tidak benar-benar lapar, yang dipengaruhi oleh hormon, genetik dan tekanan hidup.

"Obesiti bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia dipengaruhi gabungan faktor genetik dan persekitaran. Food noise membantu masyarakat memahami mengapa sesetengah individu sentiasa berfikir mengenai makanan walaupun tidak lapar," katanya kepada BH.

Beliau berkata, food noise bukan sekadar rasa lapar sebelum waktu makan, tetapi keadaan apabila seseorang sentiasa memikirkan makanan.

Katanya, individu yang mengalaminya cenderung tertarik kepada makanan tinggi gula, lemak dan kalori kerana memberi rasa lega sementara.

"Makanan manis seperti kek, ais krim dan minuman bergula merangsang sistem ganjaran otak, termasuk serotonin dan endorfin, yang membuatkan seseorang berasa tenang atau gembira. Namun kesan itu hanya sementara, dan keinginan makan akan muncul semula," katanya.

Beliau berkata, beberapa faktor boleh mencetuskan keadaan ini termasuk penyakit seperti hipotiroidisme dan penggunaan ubat steroid yang meningkatkan selera makan.

Mekanisme ini turut membabitkan hormon penting seperti ghrelin (merangsang lapar), leptin (memberi isyarat kenyang), insulin serta hormon incretin yang mengawal emosi dan tingkah laku pemakanan.

Wanita, hormon dan tekanan hidup

Walaupun boleh berlaku kepada sesiapa, Dr Kim Piow berkata wanita lebih cenderung mengalami gangguan selera makan dan kenaikan berat badan akibat perubahan hormon sepanjang hayat.

Beliau berkata, perubahan ini bermula daripada kitaran haid, kehamilan, tempoh selepas bersalin, hingga pramenopaus dan menopaus

"Setiap bulan, perubahan hormon mempengaruhi selera makan. Sebelum atau semasa haid, selera boleh meningkat. Kehamilan pula membawa pertambahan berat badan, diikuti cabaran selepas bersalin," katanya.

Beliau menambah, penurunan estrogen ketika menopaus turut memperlahankan metabolisme dan menggalakkan pengumpulan lemak, khususnya di bahagian abdomen.

Katanya, keadaan ini menjadikan wanita berdepan cabaran yang tidak dialami lelaki, walaupun gaya hidup mereka hampir sama.

Menurut Dr Kim Piow, gaya hidup wanita moden turut meningkatkan risiko "food noise" dan obesiti kerana tekanan pelbagai tanggungjawab.

"Ramai wanita perlu mengurus kerjaya, keluarga dan ibu bapa dalam masa sama. Tekanan berpanjangan ini menyebabkan tubuh menghasilkan kortisol yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, kortisol yang tinggi meningkatkan keperluan tenaga, menyebabkan individu cenderung makan lebih banyak, terutama makanan tinggi gula dan lemak.

Katanya, tekanan kronik juga mengganggu tidur. Apabila tidak cukup tidur, badan lebih cenderung mencari makanan berkalori tinggi dan keinginan terhadap makanan manis meningkat kerana otak mencari tenaga segera.

Pengaruh persekitaran

Selain faktor biologi, persekitaran moden juga menyumbang kepada peningkatan obesiti.

Pendedahan berterusan kepada makanan tinggi kalori melalui pusat beli-belah, media sosial, aplikasi penghantaran makanan dan promosi agresif merangsang selera makan.

"Makanan kini bukan sahaja sedap, tetapi mudah diperoleh, menarik secara visual dan sentiasa tersedia. Gabungan ini, ditambah kecenderungan genetik, meningkatkan risiko food noise," katanya.

Dr Kim Piow turut menegaskan, obesiti bukan berpunca daripada kurang disiplin atau kelemahan diri.

"Obesiti ialah penyakit kronik yang membabitkan genetik, hormon dan persekitaran. Tidak semua orang yang makan jumlah sama akan mengalami kesan yang sama," katanya.

Beliau berkata, sesetengah individu juga mempunyai metabolisme lebih rendah, menyebabkan lebihan tenaga lebih mudah disimpan sebagai lemak walaupun berusaha mengawal pemakanan.

SVC_dr-lim-kin-piow
Dr Lim Kim Piow.

Ramai pesakit, katanya, sudah bersungguh-sungguh mengubah gaya hidup tetapi mengalami penurunan berat badan yang perlahan atau kembali meningkat, lalu berasa putus asa.

"Kajian juga menunjukkan kaitan rapat antara obesiti dan kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan dan gangguan pemakanan, yang boleh saling memburukkan keadaan," katanya.

Beliau berkata, langkah pertama ialah mengiktiraf obesiti sebagai penyakit kronik, bukan kegagalan peribadi.

Perubahan gaya hidup kekal menjadi asas rawatan melalui pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, tidur mencukupi dan pengurusan stres, di samping mengurangkan pencetus "food noise".

Bagi sesetengah pesakit, rawatan ubat atau pembedahan boleh dipertimbangkan mengikut penilaian doktor.

"Tiada satu kaedah sesuai untuk semua. Rawatan perlu disesuaikan mengikut individu," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mendapatkan bantuan lebih awal kerana semakin tinggi berat badan, semakin sukar untuk menurunkannya.

"Obesiti bukan kelemahan diri, tetapi dipengaruhi faktor genetik, hormon, tekanan hidup dan persekitaran. Apabila difahami sebagai penyakit yang boleh dirawat, lebih ramai akan tampil mendapatkan bantuan sebelum komplikasi berlaku," katanya.

INFO:

Antara cara memastikan selera makan berada pada tahap yang mudah dikawal:

1.Kenal pasti punca keinginan makan – Bezakan sama ada anda benar-benar lapar, mengidam makanan tertentu atau hanya dipengaruhi rangsangan di sekeliling.

2. Kurangkan pencetus makanan – Simpan snek di luar pandangan dan rancang hidangan sebelum membeli-belah bagi mengelakkan godaan.

3. Kenali emosi anda – Tekanan, kebimbangan, keletihan atau kesunyian boleh menyebabkan food noise. Ada kalanya badan dan minda memerlukan rehat, bukan makanan.

4. Kekal aktif – Aktiviti fizikal membantu mengurangkan keinginan terhadap makanan tidak sihat, mengurangkan tekanan serta memudahkan anda mengenali isyarat lapar dan kenyang.

5. Dapatkan bantuan jika perlu – Jika fikiran mengenai makanan mengganggu kehidupan harian atau berkaitan makan berlebihan, dapatkan nasihat daripada doktor, pakar diet atau ahli psikologi.

Video Terkini

Berita Berkaitan