KUALA LUMPUR: Pada era yang menyaksikan penampilan awet muda menerima sanjungan, pakar perubatan berpendapat perbincangan berkenaan rawatan estetik seharusnya tidak lagi tertumpu pada usaha mengejar kesempurnaan, sebaliknya memberi penekanan kepada penuaan sihat, kesejahteraan dan keselamatan pesakit.
Perubatan estetik moden kini kian beralih kepada pendekatan lebih seimbang, dengan mengutamakan kesihatan kulit, keharmonian wajah dan keyakinan diri, berbanding sekadar menjadikan seseorang kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar.
Bagi Pakar Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif di Sunway Medical Centre, Sunway City (SMC), Dr Nur Shazwani Farah Md Mydin Siddik yang berpengalaman hampir dua dekad dalam bidang itu, matlamat utama rawatan estetik adalah untuk menyokong proses penuaan sihat sambil mengekalkan ciri serta ekspresi wajah semula jadi pada setiap fasa kehidupan.
Menurut beliau, istilah anti-ageing (antipenuaan), yang suatu ketika dahulu digunakan secara meluas bagi merujuk usaha membalikkan atau menghentikan proses penuaan, kini semakin dianggap tidak lagi sesuai dengan perkembangan bidang itu.
Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada usaha mengekalkan kesihatan kulit, keharmonian wajah dan ekspresi semula jadi agar seseorang dapat meniti usia dengan anggun.
Bukan untuk jadi lebih muda
Beliau menegaskan, matlamat rawatan estetik bukanlah untuk menjadikan seseorang kelihatan lebih muda, tetapi membantu mereka tampil lebih segar, seimbang dan yakin dengan usia serta penampilan semula jadi masing-masing.
Dr Nur Shazwani Farah berkata, pendekatan rawatan estetik pada masa kini tidak lagi bersifat seragam, sebaliknya disesuaikan mengikut usia, kualiti kulit, anatomi wajah, gaya hidup serta latar belakang budaya setiap individu.
Golongan muda berusia 30 tahun ke bawah biasanya mendapatkan rawatan membaiki tekstur kulit dan mengurangkan tanda-tanda awal wajah kelihatan lesu melalui terapi hidrasi topikal serta rawatan penyesuaian kulit, di samping meneruskan rutin penjagaan kulit harian.
Bagi individu berusia 30-an hingga 40-an pula, mereka mungkin menimbang prosedur yang bersesuaian dari segi perubatan untuk menangani masalah kulit kendur akibat penuaan, kehilangan isi padu wajah atau penampilan yang kelihatan letih, selepas menjalani penilaian oleh pakar.
Namun, matlamat utamanya tetap untuk mengekalkan penampilan semula jadi, bukannya mengubah ciri-ciri wajah secara ketara.
Beliau berkata, mereka yang berusia bawah 50 tahun lazimnya lebih cenderung memilih kaedah bukan invasif kerana prosedur itu menawarkan pengalaman rawatan dan pemulihan yang lebih selesa serta mudah diakses.
"Sama ada seseorang memilih kaedah invasif atau bukan invasif bergantung pada pilihan individu serta penilaian yang dibuat oleh pakar perunding," katanya.
Menurut beliau, ramai pesakit memilih rawatan yang memerlukan tempoh pemulihan yang minimum supaya mereka dapat kembali menjalani rutin harian dengan lebih cepat.
Pada masa sama, peningkatan kesedaran mengenai estetik pencegahan turut mendorong lebih ramai individu memulakan rawatan pada usia lebih awal.
Namun, Dr Nur Shazwani Farah menegaskan, prosedur bukan pembedahan bukanlah pengganti kepada pembedahan, sebaliknya sebahagian daripada strategi penjagaan jangka panjang yang lebih menyeluruh.

Bagi mereka yang berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an pula, beliau berkata golongan itu lebih cenderung memilih pendekatan lebih menyeluruh bagi mendapatkan rawatan pemulihan, seperti membentuk semula kontur bahagian bawah wajah dan leher untuk memperoleh hasil yang kelihatan semula jadi.
Beliau turut menjelaskan, perbezaan demografi juga mempengaruhi pelan rawatan kerana perkadaran wajah dan cita rasa estetik berbeza antara satu populasi dengan populasi yang lain.
Oleh itu, pendekatan yang direka khas serta mengambil kira latar belakang budaya adalah amat penting, tegas beliau.
Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap prosedur estetik, Dr Nur Shazwani Farah turut menegaskan, kepentingan mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan estetik bertauliah dan diperakui, khususnya bagi prosedur pembedahan yang hanya boleh dilakukan oleh pakar bedah plastik yang diperakui pihak berwajib.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap prosedur dijalankan dalam persekitaran klinikal yang selamat serta mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, sesi konsultasi yang menyeluruh juga amat penting bagi membantu pesakit memahami risiko, manfaat serta jangkaan hasil rawatan secara realistik sebelum membuat sebarang keputusan.
Seperti prosedur perubatan lain, rawatan estetik turut mempunyai risiko tertentu termasuk bengkak, lebam, jangkitan, ketidakseimbangan atau asimetri wajah, serta proses penyembuhan yang lebih lambat.
Bagaimanapun, katanya risiko berkenaan boleh diminimumkan menerusi pematuhan ketat protokol klinikal, penilaian pesakit yang teliti serta perancangan rawatan yang disesuaikan mengikut keperluan individu.
Selain perubahan fizikal, rawatan estetik juga berkait rapat dengan kesejahteraan emosi kerana, tanda-tanda penuaan atau masalah kulit yang ketara boleh mempengaruhi persepsi terhadap diri sendiri, tahap keyakinan dan kualiti hidup secara keseluruhan.
Utamakan aspek keselamatan
Dr Nur Shazwani Farah berkata, doktor memainkan peranan penting sebagai pendidik dan penasihat dengan membimbing pesakit membuat keputusan yang berasaskan maklumat serta sesuai dari sudut perubatan, termasuk menasihati mereka untuk tidak menjalani rawatan tidak perlu atau berlebihan.
Beliau menjelaskan, proses peremajaan wajah dan leher dilakukan secara berperingkat, bermula dengan sesi perundingan, diikuti rawatan mengikut fasa serta pemantauan susulan, bagi memastikan hasil yang semula jadi, seimbang dan menyokong proses penuaan sihat dalam jangka panjang.
Bagi yang ingin mendapatkan rawatan estetik buat kali pertama, beliau menasihati mereka supaya mengutamakan aspek keselamatan, memilih pakar dan pakar bedah berkelayakan, serta mengelakkan keputusan yang dipengaruhi trend media sosial atau standard kecantikan yang tidak realistik.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kelayakan pengamal menerusi National Specialist Registry dan Letter of Credentialing and Privileging sebelum bersetuju menjalani sebarang prosedur.
"Rawatan estetik perlu dilihat sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan, bukannya sekadar mengikut trend kecantikan atau perkhidmatan yang didorong media sosial," katanya, menambah apabila dilakukan secara bertanggungjawab, prosedur berkenaan dapat membantu seseorang meniti usia dengan lebih anggun, yakin dan sejahtera. – BERNAMA



















