LEKANG saraf mata atau retinal detachment adalah keadaan kecemasan mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan kekal jika tidak dirawat dengan segera.
Retina ialah lapisan saraf yang terletak di bahagian belakang mata dan berfungsi menukarkan cahaya kepada isyarat yang dihantar ke otak untuk menghasilkan penglihatan.
Apabila retina terpisah daripada dinding belakang mata, bekalan oksigen dan nutrien akan terganggu, sekali gus menjejaskan fungsi penglihatan.
Menurut satu kajian hospital di Kuala Lumpur, kejadian lekang saraf mata dianggarkan sekitar 0.6 peratus iaitu kira-kira 600 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM), pembedahan bagi kes lekang saraf mata pula merangkumi sekitar 25 peratus daripada keseluruhan kes vitreo-retina yang dirawat sepanjang tahun 2024 hingga 2025.
Siapakah yang berisiko?
Lekang saraf mata paling kerap berlaku dalam kalangan individu berusia lebih daripada 50 tahun, dengan risiko tertinggi antara umur 40 hingga 70 tahun.
Lelaki didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding wanita. Kajian tempatan juga menunjukkan kadar kejadian berbeza mengikut kaum, di mana individu berbangsa Cina mempunyai risiko yang lebih tinggi, diikuti oleh Melayu dan India.
Penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus) turut menyebabkan lekang retina terutamanya melalui komplikasi serius yang dikenali sebagai retinopati diabetik proliferatif (Proliferative Diabetic Retinopathy, PDR).
Paras gula darah yang tinggi dan kronik merosakkan salur darah retina menyebabkan mata membentuk salur darah baharu yang rapuh dan tidak normal. Salur darah ini mudah bocor dan berdarah ke dalam gel vitreus di dalam mata.
Lama-kelamaan, pendarahan dan proses penyembuhan akan menyebabkan pembentukan tisu parut.
Tisu parut ini boleh menarik retina secara fizikal sehingga terpisah daripada dinding belakang mata, lalu menyebabkan lekang saraf mata.
Miopia tinggi (rabun jauh yang teruk) meningkatkan risiko sebanyak lima hingga enam kali ganda berbanding individu yang mempunyai miopia rendah. Malah, miopia tinggi menjadikan faktor risiko utama bagi keadaan ini.
Rata-rata pesakit rabun jauh mempunyai bola mata yang lebih panjang berbanding orang lain. Ukuran panjang aksial bola mata normal adalah sekitar 23-25 milimeter (mm).
Apabila bola mata menjadi lebih panjang, retina menjadi lebih nipis dan mudah mengalami koyakan sehingga menyebabkan lekangan saraf mata.
Selain itu, pertambahan usia juga salah satu risiko. Gel Vitrus (Vitreous Humor) di dalam mata secara semula jadi akan menjadi lebih cair dan boleh terpisah daripada retina dalam proses yang dikenali sebagai pelepasan vitreus posterior (posterior vitreous detachment).
Jika gel vitreus menarik retina dengan kuat, koyakan retina boleh berlaku dan seterusnya menyebabkan lekang saraf mata.
Faktor lain yang boleh menyebabkan lekang saraf mata ialah kecederaan mata, sejarah keluarga yang mempunyai masalah lekang saraf mata, serta sejarah lekang saraf mata pada mata sebelah lagi.
Jika mempunyai risiko-risiko ini, pesakit perlu lebih berhati-hati kerana risiko untuk berlaku lekang saraf mata adalah lebih tinggi.
Gejala awal akan dialami
Apabila retina terkoyak, salur darah halus boleh bocor dan melepaskan sel darah merah dan pigmen ke dalam ruang mata.
Akibatnya, pesakit mungkin mengalami simptom yang dikenal pasti sebagai (floaters).
Pesakit akan nampak tompok-tompok hitam dalam pandangan. Kadangkala pesakit beritahu mereka seakan-akan nampak nyamuk atau sampah berterbangan. Inilah yang dipanggil masalah floaters.
Selain itu, pesakit juga mungkin melihat flashes atau kilatan cahaya dalam medan pandangan. Penglihatan juga boleh menjadi semakin kabur.
Jika mengalami mana-mana gejala ini, pemeriksaan mata secara segera amat penting kerana rawatan awal boleh mencegah kehilangan penglihatan kekal.
Individu yang mengalami Retinal Detachment tidak dapat dikenal pasti hanya dengan melihat mata mereka dari luar. Secara am, doktor mata akan menggunakan kanta khas dan mesin yang dipanggil slit lamp untuk melihat masalah ini di klinik.
Oleh itu, jika mengalami tanda-tanda ini adalah penting pesakit berjumpa klinik pakar mata dengan segera.
Adakah Retinal Detachment berbahaya?
Masalah lekang saraf mata boleh menyebabkan kebutaan kekal jika tidak dirawat dengan segera.
Rawatan untuk masalah ini ialah pembedahan mata bagi memastikan saraf ditampal semula dan mengelakkan berlaku semula.
Sekiranya makula (bahagian retina yang bertanggungjawab terhadap penglihatan pusat) masih belum terlibat, pembedahan sebaiknya dilakukan dalam tempoh seawal 24-72 jam bagi mengekalkan penglihatan.
Pembedahan perlu dilakukan sebelum makula terbabit. Saraf lekang yang berlaku pada bahagian atas retina cenderung berkembang dengan lebih cepat kerana graviti menyebabkan cecair atau gel mata bergerak ke arah pusat retina.
Terdapat beberapa pilihan pembedahan untuk melekatkan semula retina.
1. Pneumatic Retinopexy
Dalam prosedur ini, gelembung disuntik ke dalam mata menggunakan jarum halus. Gelembung itu akan menekan kawasan koyakan retina pada dinding belakang mata, membolehkan retina melekat semula dan sembuh.
Namun, kaedah ini lebih sesuai kepada golongan muda. Hal ini disebabkan, selepas pembedahan, pesakit perlu melakukan beberapa posisi yang dipanggil teknik steam rolling serta mengekalkan posisi meniarap atau dalam sesetengah kes mengiring dalam tempoh yang panjang.
Kedudukan ini membolehkan gelembung gas terapung dan menekan retina dengan berkesan.
Pesakit juga diberitahu untuk tidak menaiki kapal terbang dalam tempoh rawatan kerana tekanan udara boleh menyebabkan peningkatan tekanan intraokular yang serius dan berisiko menjejaskan penglihatan.
Bergantung kepada jenis gas yang digunakan, tempoh mengekalkan posisi ini boleh berkisar antara dua hingga lapan minggu.
2. Scleral Buckling
Dalam prosedur ini, jalur silikon yang dikenali sebagai scleral buckle dipasang mengelilingi bola mata yang bertindak sebagai tali pinggang untuk membantu retina melekat semula.
Pembedahan ini lebih sesuai untuk kes koyakan retina yang terhad, khususnya pada bahagian atas retina.
3. Vitrektomi (Vitrectomy)
Pembedahan ini bertujuan membuang gel vitreus yang telah memasuki ruang di belakang koyakan retina serta melekatkan semula retina pada kedudukan asalnya.
Selepas itu, mata diisi dengan gelembung gas yang bertindak sebagai "pembalut dalaman" bagi menekan retina ke dinding mata. Rawatan laser kemudiannya digunakan untuk menutup sebarang lubang retina (retinal hole) dan menampal semula kawasan koyakan retina ke dinding mata.
Selain gas, minyak silikon (silicon oil) juga boleh digunakan bergantung kepada pemilihan pakar mata dan keadaan pesakit.
INFO:
Bolehkah Retinal Detachment berulang?
Masalah ini boleh berulang dalam kira-kira lima hingga 15 peratus kes. Punca berulang termasuk:
• Koyakan retina baharu.
• Kedudukan kepala yang tidak optimum selepas pembedahan.
• Tarikan berterusan pada retina.
• Pembentukan tisu parut di dalam mata.
• Kes berulang biasanya memerlukan pembedahan semula.
Dr Muhammad Adri adalah Pensyarah Pelatih Oftalmologi Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin manakala Dr Henry, Pakar Mata Vitreoretina Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) & Pensyarah Fakulti Perubatan USM
























