BH Online
Ringkasan Berita

Saringan awal ubah landskap rawatan kanser tiroid

KANSER tiroid sering dianggap sebagai ‘ancaman senyap’ kerana kebanyakan pesakit tidak mengalami gejala yang jelas pada peringkat awal.
Saringan awal ubah landskap rawatan kanser tiroid

Sebahagian besar kes tiroid dikesan pada tahap satu melalui pemeriksaan dan saringan kesihatan, ini perkembangan amat baik. - Foto hiasan

KANSER tiroid sering dianggap sebagai 'ancaman senyap' kerana kebanyakan pesakit tidak mengalami gejala yang jelas pada peringkat awal.

Namun, perkembangan teknologi saringan kesihatan dan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat, membolehkan lebih banyak kes dikesan lebih awal berbanding sedekad lalu.

Pakar Perunding Perubatan Nuklear Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway, Dr Tan Teik Hin, berkata salah satu perkembangan paling positif dalam pengurusan kanser tiroid di Malaysia ialah peningkatan pengesanan awal penyakit itu.

Katanya, berbanding 10 tahun lalu, kebanyakan kes kanser tiroid hanya dikesan pada tahap akhir, terutamanya tahap tiga atau empat.

Dr Tan Teik Hin
Dr Tan Teik Hin

"Hari ini, sebahagian besar kes dikesan pada tahap satu melalui pemeriksaan dan saringan kesihatan dan ini perkembangan amat baik," katanya.

Jelas beliau, kira-kira 85 peratus kes kanser tiroid terdiri daripada jenis papilari dan folikel yang lazimnya berkembang secara perlahan serta memberikan tindak balas yang baik terhadap rawatan.

Namun katanya, keadaan boleh menjadi lebih serius apabila kanser dikesan pada peringkat lewat.

"Apabila kanser sudah mencapai tahap empat dan merebak ke paru-paru atau tulang, kadar kelangsungan hidup boleh menurun kepada bawah 50 peratus.

"Oleh sebab itu pengesanan awal sangat penting," katanya.

Dr Teik Hin mengakui, masih ramai yang keliru antara kanser tiroid dan penyakit tiroid lain seperti hipertiroidisme atau hipotiroidisme.

Katanya, kebanyakan pesakit kanser tiroid sebenarnya mempunyai fungsi tiroid yang normal.

"Kanser tiroid pula biasanya hadir sebagai ketumbuhan atau nodul dalam kelenjar tiroid. Ia tidak menyebabkan hipertiroidisme atau hipotiroidisme dan penyakit tiroid itu sendiri tidak semestinya membawa kepada kanser," katanya.

Dalam kebanyakan kes katanya, rawatan bermula dengan pembedahan untuk membuang tumor, kemudian doktor akan menilai tahap risiko dan sifat agresif kanser sebelum menentukan sama ada pesakit memerlukan rawatan susulan.

"Jika tumor berisiko tinggi, doktor biasanya akan meneruskan rawatan dengan terapi iodin radioaktif atau Radioactive Iodine (RAI).

"Rawatan ini bukan sahaja membantu memusnahkan baki sel kanser, malah membolehkan doktor mengesan sama ada terdapat penyebaran tersembunyi di bahagian lain anggota badan.

"Bagaimanapun, bagi tumor bersaiz kecil di bawah satu sentimeter, pembedahan sahaja mungkin sudah mencukupi," katanya.

Harapan baharu

Dr Teik Hin berkata, beliau sedar ada pesakit yang bimbang terhadap penggunaan iodin radioaktif.

Namun jelasnya, iodin radioaktif mempunyai struktur kimia yang sama seperti iodin semula jadi yang terdapat dalam tubuh manusia.

"Jadi, ia selamat, diterima baik oleh kebanyakan pesakit dan jarang menyebabkan alahan.

"Sebaliknya ramai yang takut apabila mendengar perkataan 'radioaktif', tetapi ia sangat berbeza daripada terapi radiasi pancaran luaran," katanya.

Mengulas mengenai kes yang lebih kompleks atau tidak lagi bertindak balas terhadap RAI, Dr Teik Hin berkata, rawatan moden seperti penghalang kinase tirosin (TKI) kini menawarkan harapan baharu.

"Ubat ini digunakan apabila terapi iodin radioaktif tidak lagi berkesan.

"Ia boleh membantu mengecutkan tumor sebelum pembedahan atau mengawal penyakit yang telah merebak ke organ lain," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Payudara dan Endokrin SMC Bandar Sunway, Dr Wong Mei Wan, mahu orang ramai peka terhadap perubahan pada bahagian leher kerana ia sering menjadi petunjuk awal kanser tiroid.

Katanya, kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroksin yang penting untuk mengawal metabolisme badan, namun, kekurangan atau lebihan hormon boleh menyebabkan pelbagai gejala.

Sebaliknya, kanser tiroid pula katanya, biasanya muncul dalam bentuk benjolan atau nodul pada kelenjar itu.

"Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian ialah benjolan keras pada leher, perubahan suara, kesukaran menelan serta pembengkakan nodus limfa.

"Bagaimanapun, tidak semua nodul yang ditemui adalah kanser.

"Ultrasound dan biopsi memainkan peranan penting untuk membezakan sama ada sesuatu nodul itu bersifat benigna atau malignan," katanya.

Dr Wong Mei Wan
Dr Wong Mei Wan

Dr Mei Wan berkata, faktor gaya hidup seperti merokok tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan kanser tiroid seperti yang berlaku pada beberapa jenis kanser lain.

Namun katanya, faktor genetik boleh memainkan peranan dalam sesetengah kes.

"Terdapat beberapa jenis kanser tiroid yang mempunyai kaitan genetik. Oleh itu, doktor biasanya akan melakukan ujian lanjut sekiranya terdapat sejarah keluarga yang jelas," katanya.

Lebih membimbangkan beliau berkata, kira-kira dua pertiga pesakit yang menerima rawatan kanser tiroid adalah wanita, selari dengan trend yang dilihat di seluruh dunia.

Justeru beliau berkata, walaupun kadar kejayaan rawatan adalah tinggi, pesakit tidak boleh mengabaikan pemeriksaan susulan selepas rawatan selesai.

"Ini kerana kanser ini yang lazimnya pada nodus limfa, boleh kembali walaupun selepas bertahun-tahun sembuh dan sebab itu pemeriksaan susulan jangka panjang sangat penting," katanya.

Petunjuk awal kanser tiroid

Menurut beliau, kebanyakan pesakit yang menjalani pembedahan tiroid perlu mengambil hormon gantian sepanjang hayat.

Katanya, ia hampir sama seperti mengambil suplemen harian, malah kebanyakan pesakit dapat menyesuaikan diri dengan baik dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Bagi pesakit tahap satu dan dua, pemeriksaan susulan biasanya dilakukan setiap enam bulan dalam tempoh dua tahun pertama sebelum diteruskan secara tahunan sehingga lima tahun atau mengikut tahap risiko individu," katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai peka dengan keadaan diri dan jika sedar terdapat sebarang benjolan yang luar biasa pada leher, jangan ambil ringan tetapi jalani pemeriksaan segera.

INFO:

Fakta ringkas kanser tiroid

- Kanser tiroid berlaku apabila sel dalam kelenjar tiroid membesar secara tidak terkawal.

- Kebanyakan kes mempunyai kadar penyembuhan yang tinggi jika dikesan pada peringkat awal.

- Ia lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

- Ramai pesakit tidak mengalami sebarang gejala pada peringkat awal.

Tanda-tanda tidak wajar diabaikan;

- Benjolan pada bahagian hadapan leher.

- Suara menjadi serak tanpa sebab yang jelas.

- Sukar menelan atau bernafas.

- Sakit pada leher yang berlarutan.

- Pembengkakan kelenjar limfa di leher.

Video Terkini

Berita Berkaitan