TREND mengehadkan waktu makan kepada beberapa jam sehari kini semakin menjadi pilihan ramai yang mahu tampil lebih sihat dan menurunkan berat badan.
Kaedah dikenali sebagai Time-Restricted Eating (TRE) menjadi pilihan ramai kerana dianggap lebih mudah diamalkan berbanding diet konvensional yang memerlukan kawalan ketat terhadap jenis dan jumlah makanan.
Populariti TRE turut didorong oleh perkongsian pengalaman positif di media sosial, termasuk dakwaan mampu membantu mengurangkan berat badan, meningkatkan tahap tenaga dan memperbaiki kesihatan metabolik.
Namun, di sebalik trend yang semakin mendapat tempat itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlalu cepat menganggap TRE sebagai formula ajaib untuk kesihatan.
Menurut, Pensyarah Kanan, Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat, Management and Science University (MSU), Dr Lee Shoo Thien , kajian menunjukkan, individu yang kerap melangkau sarapan disebabkan mengamalkan TRE berisiko lebih tinggi mengalami penyakit jantung.
Katanya, tabiat itu juga boleh menyebabkan seseorang lebih cenderung mengambil makanan ringan (snek) atau makan secara berlebihan pada waktu makan berikutnya.
"Kajian sistematik mendapati TRE mungkin membantu menurunkan berat badan dalam kalangan individu obes dalam jangka masa pendek.
"Bagaimanapun, bukti saintifik yang kukuh mengenai keberkesanannya untuk penurunan berat badan jangka panjang masih belum mencukupi.
"Selain itu, kajian juga mendapati, amalan TRE tidak menunjukkan pengurangan yang ketara terhadap paras glukosa puasa dalam kalangan orang dewasa obes," katanya kepada BH.
Antara bentuk TRE yang paling popular ialah 'intermittent fasting' (IF) atau puasa berkala.
Shoo Thien berkata, selain membantu mengurangkan pengambilan kalori harian, kaedah ini turut menjadi pilihan golongan yang mahu mengawal berat badan tanpa perlu terlalu mengehadkan jenis makanan.
Namun, katanya, pengambilan makanan yang tidak teratur dalam jangka panjang boleh menjadikan bekalan tenaga kepada tubuh tidak konsisten serta meningkatkan risiko kehilangan jisim otot dan air badan.
"Bagi individu yang mengamalkan puasa berkala, aktiviti fizikal yang sesuai seperti latihan rintangan atau senaman penguatan otot amat digalakkan bagi membantu mengekalkan jisim otot.
"Di samping itu, pengambilan air yang mencukupi, iaitu sekitar 1.5 hingga 2 liter sehari semasa tempoh tidak berpuasa, penting untuk menggantikan kehilangan air dan mengelakkan dehidrasi," katanya.
Walaupun semakin ramai yang berkongsi pengalaman positif mengenai TRE di media sosial, Shoo Thien berkata kesannya terhadap kualiti diet secara keseluruhan masih belum mempunyai bukti yang konklusif.

Justeru, beliau berpandangan masih belum jelas sama ada waktu makan lebih awal dalam sehari memberi manfaat yang lebih baik terhadap kawalan gula darah berbanding waktu makan yang lebih lewat.
"Selain itu, kaedah ini mungkin kurang sesuai untuk individu yang bekerja secara syif kerana jadual kerja yang tidak menentu.
"Tambahan lagi, 'adherence' (kepatuhan) seseorang untuk mematuhi amalan TRE juga amat dipengaruhi oleh faktor sosial, gaya hidup dan faktor persekitaran.
"Oleh itu, lebih banyak kajian jangka panjang dalam komuniti diperlukan bagi memahami dengan lebih mendalam tentang keberkesanan serta kesan sampingan amalan TRE terhadap kesihatan masyarakat," katanya.
























