BH Online
Ringkasan Berita

Tingkat kesedaran derma darah

APABILA bercakap mengenai pendermaan darah, kebanyakan masyarakat membayangkan beg darah merah yang digunakan untuk menyelamatkan mangsa kemalangan atau pesakit yang kehilangan darah.
Tingkat kesedaran derma darah

Foto hiasan

APABILA bercakap mengenai pendermaan darah, kebanyakan masyarakat membayangkan beg darah merah yang digunakan untuk menyelamatkan mangsa kemalangan atau pesakit yang kehilangan darah.

Namun, tidak ramai menyedari plasma, iaitu cecair berwarna kekuningan yang membentuk lebih separuh daripada isipadu darah, turut memainkan peranan penting dalam rawatan pelbagai penyakit dan perkembangan perubatan moden.

Ketua Seksyen Pengurusan Pendermaan Darah, Bahagian Perolehan Darah, Pusat Darah Negara (PDN), Dr Nor Hafidza Haron, berkata darah manusia terdiri daripada empat komponen utama, iaitu sel darah merah, sel darah putih, platelet dan plasma.

Beliau berkata, plasma ialah bahagian cecair darah yang mengandungi pelbagai protein penting, antibodi, hormon serta faktor pembekuan darah yang diperlukan bagi memastikan fungsi tubuh berjalan dengan baik.

"Plasma amat bernilai dalam rawatan pelbagai penyakit dan keadaan perubatan yang serius kerana mengandungi faktor pembekuan darah serta protein penting yang sukar digantikan melalui sumber lain," katanya kepada BH.

Beliau berkata, dalam perubatan moden, plasma digunakan untuk membantu pesakit yang mengalami gangguan pembekuan darah, pendarahan teruk dan beberapa penyakit kronik.

Katanya, golongan mendapat manfaat daripada plasma termasuk pesakit hemofilia iaitu penyakit keturunan yang menyebabkan pesakit kekurangan faktor pembekuan darah tertentu.

"Walaupun luka kecil, pendarahan boleh berlanjutan lebih lama dan berisiko menyebabkan komplikasi serius.

"Oleh itu faktor pembekuan yang diperoleh daripada plasma membantu mengawal dan menghentikan pendarahan dalam kalangan pesakit ini.

"Selain itu, ibu yang mengalami tumpah darah selepas bersalin, pesakit trauma dan yang menjalani pembedahan besar urut mendapat manfaat plasma ," katanya.

Mengenai perbezaan pendermaan plasma dengan pendermaan darah biasa, Dr Nor Hafidza, mengakui, tidak semua orang tahu hal pendermaan aferesis plasma.

Pemulihan lebih cepat

Katanya, dalam pendermaan darah biasa, semua komponen darah diambil sekali gus, sebaliknya, pendermaan aferesis menggunakan mesin khas yang memisahkan darah kepada komponennya.

"Mesin akan mengambil darah daripada penderma, mengasingkan plasma yang diperlukan dan memulangkan semula sel darah merah dan komponen lain ke dalam badan penderma.

"Oleh sebab hanya plasma diambil, tubuh dapat pulih dengan lebih cepat berbanding pendermaan darah utuh," katanya.

Beliau berkata, salah satu kelebihan utama pendermaan plasma, penderma boleh menderma lebih kerap. Pendermaan darah utuh, setiap tiga bulan, berbanding plasma aferesis iaitu setiap dua minggu.

"Ini bermakna seorang penderma plasma mampu menyumbang berkali-kali dalam tempoh yang sama, sekali gus membantu lebih ramai pesakit memerlukan," katanya.

Bagaimanapun, tidak semua individu sesuai untuk menjalani pendermaan aferesis.

Katanya, antara syarat yang ditetapkan oleh PDN adalah telah menderma darah utuh sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh dua tahun.

"Pendermaan terakhir mestilah dalam tempoh enam bulan, berat badan sekurang-kurangnya 55 kilogram, mempunyai salur darah yang sesuai dan stabil, sihat tubuh badan serta melepasi saringan kesihatan.

"Penderma juga perlu mempunyai komitmen masa kerana proses pendermaan plasma mengambil masa sekitar 30 hingga 45 minit, lebih lama berbanding pendermaan darah biasa yang hanya mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit," katanya.

Dr Nor Hafidza berkata, ramai tidak sedar, kualiti plasma yang didermakan boleh dipengaruhi oleh pemakanan.

Oleh itu katanya, penderma plasma perlu membuat persediaan sewajarnya sebelum menderma termasuk mengelakkan makanan berlemak selama 24 jam sebelum pendermaan.

Katanya, makanan berlemak seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik boleh menyebabkan plasma menjadi keruh.

"Plasma yang terlalu berlemak mungkin tidak dapat digunakan untuk rawatan pesakit," katanya.

hafidzah
Dr Nor Hafidza Haron

Penderma juga perlu tidur sekurang-kurangnya lima jam tanpa gangguan, mengambil makanan dalam tempoh empat jam sebelum hadir menderma dan memastikan tubuh berada dalam keadaan sihat.

Beliau berkata, salah satu kebimbangan utama masyarakat mengenai pendermaan plasma adalah aspek keselamatan.

Hakikatnya katanya, pendermaan plasma adalah prosedur sangat selamat.

"Semua jarum, beg darah dan peralatan yang digunakan adalah steril serta pakai buang, jadi tiada risiko dijangkiti penyakit seperti HIV atau hepatitis melalui proses pendermaan," katanya.

Namun katanya, apa yang tidak dapat dielakkan adalah kesan sampingan, mungkin berlaku selepas pendermaan tetapi kebiasaannya ringan dan sementara.

Katanya, ia termasuk rasa pening atau hampir pengsan, lebam kecil di tempat cucukan, kebas ringan pada bibir akibat penggunaan bahan antikoagulan ketika proses aferesis.

"Tetapi semua keadaan ini dipantau oleh petugas kesihatan dan boleh dirawat dengan segera jika ia berlaku," katanya.

Mitos penderma

Menurut Dr Nor Hafidza, hingga kini masih terdapat beberapa salah faham dalam masyarakat mengenai pendermaan darah dan plasma.

Katanya, antara mitos yang sering dikatakan adalah menderma darah boleh menyebabkan badan lemah.

"Sebaliknya, badan manusia mempunyai keupayaan luar biasa untuk menghasilkan semula komponen darah yang hilang manakala sum-sum tulang akan dirangsang untuk menghasilkan sel darah baharu," katanya.

Mitos lain, menderma darah menyebabkan berat badan naik.

Namun katanya, setakat ini tiada bukti saintifik, pendermaan darah boleh menyebabkan kegemukan.

"Sebaliknya, pendermaan satu unit darah boleh membakar sejumlah tenaga kerana tubuh perlu menghasilkan semula komponen darah yang hilang," katanya.

Dr Nor Hafidza berkata, seiring dengan kemajuan perubatan moden masa kini, bekalan darah dan plasma yang mencukupi sentiasa diperlukan.

Katanya, walaupun sel darah merah sering mendapat perhatian, plasma sebenarnya turut memainkan peranan sama penting dalam menyelamatkan nyawa pesakit.

"Pendermaan plasma bukan sekadar satu prosedur perubatan, ia juga satu bentuk sumbangan yang mampu memberi peluang kedua kepada seseorang untuk terus hidup.

"Jika sudah menjadi penderma darah tetap, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan pendermaan plasma aferesis.

"Hanya dengan satu jam masa yang diluangkan untuk menderma mungkin menjadi harapan sepanjang hayat bagi pesakit yang memerlukannya," katanya.

derma1

INFO:

Fakta mengenai plasma:

- Plasma membentuk kira-kira 55 peratus daripada keseluruhan darah manusia.

- Hampir 90 peratus plasma terdiri daripada air, manakala selebihnya mengandungi protein, antibodi, hormon dan faktor pembekuan darah.

- Plasma yang didermakan digunakan untuk menghasilkan pelbagai ubat berasaskan plasma bagi merawat pesakit tertentu.

- Tubuh menggantikan plasma yang hilang lebih cepat berbanding sel darah merah.

INFO:

Perbezaan derma darah dan derma plasma

Derma darah

- Semua komponen darah diambil.

- Setiap 3 bulan.

- 10–15 minit.

- Sel darah merah turut diambil.

Derma plasma

- Hanya plasma diambil.

- Setiap 2 minggu.

-30–45 minit.

-Sel darah merah dipulangkan semula kepada penderma.

Video Terkini

Berita Berkaitan