BH Online
Ringkasan Berita

Usah abai sakit kepala berpanjangan

TUMOR otak antara penyakit yang sering menimbulkan kebimbangan kerana ia membabitkan organ paling penting dalam tubuh manusia iaitu otak yang mengawal hampir semua fungsi badan.
Usah abai sakit kepala berpanjangan

Foto hiasan

TUMOR otak antara penyakit yang sering menimbulkan kebimbangan kerana ia membabitkan organ paling penting dalam tubuh manusia iaitu otak yang mengawal hampir semua fungsi badan.

Walaupun tidak semua tumor otak bersifat kanser, kehadirannya boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan dan kualiti hidup pesakit jika tidak dikesan serta dirawat lebih awal.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Hospital Thomson, Dr Matin Mellor Abdullah, berkata tumor adalah ketumbuhan atau benjolan yang boleh berlaku di seluruh tubuh badan manakala tumor otak adalah ketumbuhan atau benjolan di dalam otak.

Jelasnya, tumor dibahagikan kepada dua bahagian iaitu benigna yang bukan kanser serta tidak merebak.

"Sebaliknya, malignan adalah ganas dan bertindak menular ke tisu sekelilingnya dan berupaya menyebar jauh ke organ selain ia turut dilabel sebagai kanser," katanya.

Beliau berkata, ketika ini di Malaysia kesedaran dan kes tumor otak masih rendah.

Menurut Malaysian National Cancer Registry 2017-2021, tumor otak tidak tersenarai dalam 10 kanser utama di Malaysia.

"Berdasarkan data itu, kanser payudara, usus dan paru-paru adalah yang paling kerap berlaku," katanya.

Bukan semua tumor kanser

Beliau berkata, salah faham biasa mengenai tumor otak yang paling kerap adalah menganggap semua tumor otak itu kanser.

Namun, jelasnya kebanyakan tumor otak adalah benigna tetapi memerlukan tindakan rawatan lanjut kerana ia boleh menjejaskan fungsi otak kerana tekanan kepada otak.

"Selain itu, ramai menganggap sakit kepala biasa bukan sesuatu yang serius walaupun kerap berlaku kerana beranggapan ia akan reda apabila makan ubat.

"Sebaliknya, sakit kepala perlu diambil serius terutama apabila ia berterusan dan semakin kuat disusuli simptom seperti muntah, sawan, pertukaran personaliti atau kelemahan sebahagian anggota badan.

"Simptom serius ini memerlukan pemeriksaan lanjut CT (Tomografi Berkomputer) atau imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik). Sakit kepala bukan terhad kepada tumor otak sahaja malah penyakit lain seperti pendarahan dalam otak," katanya.

Beliau berkata, kerana simptom awal tumor otak bersifat 'progresif' (beransur teruk) dan menekan ruang dalam kepala, ia sering disalah anggap sebagai migrain atau sakit kepala akibat stres sekali gus diabaikan.

Malah katanya, seseorang yang mempunyai tekanan darah tinggi juga boleh sakit kepala dan mungkin menyalahkan keadaan itu sebagai penyebab sakit kepalanya.

"Sebab itu ia sukar dikesan pada peringkat awal kerana tiada simptom khusus untuk tumor otak kerana banyak bertindih dengan sakit kepala yang disebabkan penyakit lain," katanya.

Dr Matin berkata, secara am tumor otak lebih kerap berlaku pada kanak-kanak dan warga emas serta terdapat beberapa sindrom genetik yang boleh diwarisi berkaitan dengan insiden tumor otak lebih tinggi.

Katanya, sindrom seperti Neurofibrosis type 1 dan 2, Tuberous Sclerosis, Li-Fraumeni dan Von Hippel-Lindau adalah antara yang terkenal.

Justeru, diagnosis pada peringkat awal sangat penting untuk meningkatkan peluang rawatan berjaya, menghapuskan tumor dengan kurang atau sedikit kesan sampingan.

Rawatan lazim, katanya dalam bentuk pembedahan, kemoterapi atau radiasi bergantung kepada jenis tumor otak itu.

Bagaimanapun, Dr Martin berkata cabaran utama rawatan tumor otak adalah kesan sampingan daripada rawatan itu sendiri.

Cabaran rawatan

Kebanyakan rawatan memerlukan pembedahan dan disusuli rawatan lanjut seperti kemoterapi dan radioterapi.

"Kesan yang akan dialami termasuk rasa loya, muntah, sakit, pening kepala, keletihan, rambut gugur dan kadang-kadang perubahan personaliti," katanya.

Namun katanya, sebaik didiagnosis tumor otak, sebenarnya sudah bermula cabaran kerana pesakit akan lebih beremosi, tertekan dan tidak cenderung untuk berinteraksi selain kehidupan harian mungkin terjejas.

Menurut Dr Matin, peranan keluarga penting dalam proses pemulihan pesakit kerana sokongan daripada mereka membolehkan pesakit menghabiskan rawatan dan membolehkan pemulihan yang lebih cepat dan teratur.

Ia termasuk memastikan rawatan berjalan lancar, hadir mengikut jadual serta membantu mengatur logistik supaya pesakit boleh menumpukan fokus untuk pulih dengan cepat.

"Masyarakat juga boleh mengambil inisiatif, berganding bahu menjalankan kempen kesedaran tumor otak bersama persatuan perubatan yang berkenaan.

"Wujudkan kumpulan sokongan pesakit bagi membantu masyarakat memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi pesakit tumor otak, sekali gus mengenal pasti isu yang menjejaskan kualiti hidup mereka serta mencadangkan penyelesaian yang bersesuaian," katanya.

Beliau turut menasihati, jika individu mengalami sakit kepala luar biasa, dapatkan nasihat pakar neurologi supaya pemeriksaan yang lebih cepat dan tepat di jalankan.

"Ini langkah pertama diperlukan. Selepas itu bergantung dengan penemuan daripada pemeriksaan CT atau MRI, seterusnya dirujuk untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sokongan keluarga bagi kekuatan

Percutian keluarga ke Jepun yang sepatutnya menjadi kenangan manis bertukar menjadi detik paling mencemaskan buat Lee Min How apabila isterinya, disahkan menghidap tumor otak selepas mengalami insiden terjatuh pada Disember 2023.

Min How berkata, sebelum berangkat ke Jepun, isterinya hanya mengadu berasa letih dan mengalami sakit kepala ringan selama beberapa minggu.

"Pada masa itu kami tidak terlalu memikirkannya kerana menyangka ia mungkin disebabkan keletihan atau kesan selepas dijangkiti COVID-19.

"Bagaimanapun, ketika berada di Jepun, dia terjatuh dan doktor mencadangkan supaya imbasan kepala dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga. Hasil pemeriksaan itu benar-benar mengejutkan apabila doktor menemui ketumbuhan pada otaknya," katanya.

drmartin
Dr Matin Mellor Abdullah

Menurutnya, berita itu sukar diterima kerana isterinya seorang yang aktif bersukan dan baru sahaja menamatkan larian maraton beberapa minggu sebelum percutian mereka.

"Sudah tentu kami sangat terkejut. Dia seorang yang sangat aktif, rajin bersukan dan kelihatan sihat. Kami tidak menyangka simptom yang dialaminya selama ini sebenarnya petanda kepada penyakit yang lebih serius," katanya.

Susulan diagnosis itu, Min How berkata mereka segera membatalkan percutian dan pulang ke Malaysia bagi membolehkan isterinya mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, sejak itu kehidupan mereka berubah sepenuhnya apabila rutin harian kini tertumpu kepada jadual rawatan, termasuk sesi radioterapi, kemoterapi dan lawatan berkala ke hospital.

Malah, beliau mengambil cuti selama enam minggu untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan isterinya sepanjang tempoh rawatan.

"Sebagai suami dan penjaga, saya mahu berada di sisinya setiap masa, terutama ketika dia menjalani radioterapi dan kemoterapi. Pada masa sama, saya masih perlu memastikan tanggungjawab kerja dapat dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

Seimbang keperluan emosi, fizikal

Sokongan daripada anak-anak, ahli keluarga dan rakan sekerja banyak membantu mereka menghadapi ujian berkenaan.

"Mujur saya mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan. Bantuan mereka memberi kekuatan kepada kami untuk terus berdepan dengan cabaran ini," katanya.

Min How berkata, sebagai penjaga aspek paling sukar ialah memastikan segala urusan dapat diseimbangkan, termasuk keperluan emosi dan fizikal pesakit serta tanggungjawab terhadap keluarga dan pekerjaan.

"Sebagai penjaga, kita bukan sahaja perlu memberi sokongan kepada pesakit, tetapi pada masa sama memastikan urusan rumah, kerja dan keluarga terus berjalan seperti biasa.

"Sebab itu saya percaya pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai peranan penjaga amat penting. Hanya apabila penjaga menerima sokongan yang mencukupi, mereka dapat memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit.

"Jangan cuba memikul semuanya bersendirian. Terimalah bantuan daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan orang di sekeliling kerana sokongan mereka amat penting sepanjang perjalanan ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan