RAMAI pesakit kanser payudara menganggap perjuangan mereka berakhir sebaik sahaja selesai menjalani pembedahan, kemoterapi atau radioterapi.
Hakikatnya, bagi sebahagian pesakit, cabaran sebenar adalah memastikan penyakit itu tidak kembali semula.
Di Malaysia, kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap menyerang wanita, merangkumi kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan kes kanser wanita.
Lebih membimbangkan, satu daripada enam pesakit kanser payudara peringkat awal bagi subjenis HR+/HER2- tahap II dan III berdepan risiko penyakit berulang dalam tempoh tiga tahun pertama selepas rawatan.
Tinjauan Novartis Malaysia yang dijalankan oleh IQVIA pula mendapati, dua daripada tiga pesakit kanser payudara atau 69 peratus berasa bimbang atau sangat bimbang mengenai risiko kanser berulang manakala 41 peratus mengakui, mereka sering memikirkannya.
Walaupun kebimbangan itu tinggi, kesedaran mengenai risiko penyakit berulang masih rendah.
Sebanyak 78 peratus responden berpandangan, masyarakat kurang memahami isu itu manakala hanya 57 peratus benar-benar memahami kepentingan terapi tambahan atau adjuvan dalam mengurangkan risiko kanser berulang.
Pakar Bedah Payudara, Prof Emeritus Datuk Dr Yip Cheng Har, berkata menganggap diri sudah benar-benar bebas daripada sebarang risiko selepas tamat rawatan adalah salah tanggapan terbesar dalam kalangan pesakit kanser payudara.
Hakikatnya katanya, meskipun rawatan awal berjaya, kemungkinan masih terdapat sel tumor yang tidak dapat dikesan.
"Tumor sekecil satu milimeter padu boleh mengandungi sehingga 100,000 sel dan satu sel kanser sahaja sudah memadai untuk menyebabkan penyakit itu berulang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan 'Living Well, Living Longer: The Hidden Risk of Breast Cancer Recurrence' di Bangsar South, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, risiko penyakit berulang bergantung kepada beberapa faktor termasuk tahap kanser, subjenis penyakit dan yang paling penting, kepatuhan terhadap rawatan yang telah dirancang.
"Ramai pesakit berasa lega apabila rawatan utama selesai. Tetapi sebenarnya risiko untuk kanser berulang, paling tinggi dalam tempoh tiga tahun pertama.
"Sebab itu penting mereka mematuhi pelan rawatan yang mungkin merangkumi pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon, terapi sasaran dan kini imunoterapi.
"Risiko berulang paling rendah apabila pesakit mengikuti rawatan yang ditetapkan sehingga selesai," katanya.
Beliau pernah mengendalikan seorang pesakit kanser payudara jenis reseptor hormon positif (ER positif, HER2 negatif) yang mengalami penyakit berulang selepas 10 tahun bebas kanser.
"Pesakit itu sudah menjalani rawatan dan kelihatan sihat selama bertahun-tahun. Namun selepas 10 tahun, kanser kembali dan sudah merebak ke tulang.
"Dia sangat terkejut kerana menyangka selepas sedekad, penyakit itu tidak akan datang semula. Hakikatnya, kanser payudara boleh berulang selepas lima tahun, 10 tahun malah 20 tahun," katanya.
Justeru, Dr Cheng Har berharap semua pesakit tidak terus menganggap jika rawatan tamat, ia penamat kepada pemantauan kesihatan mereka.
Malah katanya, sehingga kini dia masih mengikuti perkembangan pesakitnya setiap tahun kerana pemantauan jangka panjang amat penting kerana risiko itu tidak pernah menjadi sifar.
Menurutnya, dalam setiap mesyuarat pasukan pelbagai disiplin (MDT), perbincangan biasanya tertumpu kepada strategi rawatan terbaik untuk pesakit dan bukannya risiko berulang secara khusus.
Namun beliau mengakui, perbincangan mengenai risiko penyakit berulang perlu diperkasakan supaya pesakit memahami kepentingan rawatan susulan dan pemeriksaan berkala.
Selain aspek klinikal, Dr Cheng Har berkata, kualiti hidup pesakit juga memainkan peranan penting dalam memastikan mereka terus mematuhi rawatan.
"Ramai pesakit bukan sahaja berdepan cabaran fizikal, tetapi juga emosi dan sosial. Mereka risau mengenai penampilan selepas rawatan, keyakinan diri, hubungan dengan pasangan, kerjaya dan penerimaan masyarakat.
"Jika aspek-aspek ini dapat ditangani dengan baik, mereka lebih mampu meneruskan rawatan dan mengekalkan motivasi untuk menjaga kesihatan," katanya.
Sementara itu, Pakar Onkologi Klinikal, Dr Kua Voon Fong berkata, corak penyakit berulang berbeza mengikut subjenis kanser payudara.
Katanya, bagi pesakit reseptor hormon positif seperti HR+/HER2-, risiko berulang boleh berlanjutan untuk tempoh yang sangat panjang.
"Risiko berulang mungkin lebih tinggi dalam lima tahun pertama, tetapi ia tidak pernah menjadi sifar. Malah risiko itu boleh berterusan sehingga 10 hingga 20 tahun.
"Ini berbeza dengan kanser jenis triple-negative yang biasanya mempunyai risiko lebih tinggi pada peringkat awal tetapi menurun dengan lebih ketara selepas lima tahun," katanya.
Beliau berkata, faktor itu menjelaskan mengapa pesakit perlu terus menjalani susulan berkala walaupun sudah lama bebas daripada penyakit.
Bagaimanapun, beliau berkata kemajuan rawatan moden kini memberi peluang lebih baik kepada pesakit untuk kekal bebas kanser lebih lama berbanding sebelum ini.
"Pesakit sering memberitahu kami, mereka mahukan lebih banyak masa bersama keluarga dan mahu menjalani kehidupan tanpa sentiasa dibayangi kebimbangan mengenai kanser berulang.
"Berita baiknya, kini terdapat pelbagai pilihan rawatan tambahan yang boleh membantu memanjangkan tempoh bebas kanser bagi pesakit berisiko tinggi.
"Namun manfaat itu hanya dapat dicapai jika pesakit mematuhi rawatan yang disyorkan," katanya.
Menurut beliau, terapi hormon yang perlu diambil selama bertahun-tahun sering menjadi cabaran kerana sesetengah pesakit mengalami kesan sampingan seperti sakit sendi, kekakuan otot dan keletihan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan menghentikan rawatan tanpa nasihat doktor juga boleh meningkatkan risiko penyakit berulang.
"Pesakit perlu berbincang dengan doktor sekiranya mengalami kesan sampingan. Dalam kebanyakan keadaan, terdapat cara untuk membantu menguruskannya tanpa menghentikan rawatan," katanya.
Beliau berkata, sokongan keluarga, doktor dan kumpulan sokongan pesakit sangat penting dalam membantu pesakit meneruskan rawatan jangka panjang.
Justeru, beliau menggalakkan pesakit supaya bertanya secara terbuka kepada doktor mengenai risiko masing-masing.
"Antara persoalan disarankan ialah sama ada mereka berisiko mengalami kanser berulang, langkah untuk mengurangkan risiko itu dan jenis pemeriksaan susulan yang diperlukan," katanya.
INFO:
Fakta Penting:
Tamat rawatan tidak bermakna risiko kanser sudah tiada.
● Sel kanser yang tidak dapat dikesan masih boleh kekal dalam badan.
● Satu sel kanser sahaja berpotensi menyebabkan penyakit berulang.
● Risiko berulang paling tinggi dalam tiga tahun pertama selepas rawatan.
Cabaran pesakit bukan sekadar fizikal pesakit turut berdepan:
● Kebimbangan terhadap penampilan diri.
● Hilang keyakinan diri.
● Hubungan dengan pasangan.
● Kerjaya dan kehidupan sosial.
● Ketakutan penyakit berulang.
























