BH Online
Ringkasan Berita

Kepentingan jisim otot dalam pengurusan obesiti

MASALAH obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia terus menjadi isu kesihatan yang membimbangkan apabila semakin ramai individu berdepan risiko penyakit kronik akibat berat badan berlebihan.
Kepentingan jisim otot dalam pengurusan obesiti

Foto hiasan

MASALAH obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia terus menjadi isu kesihatan yang membimbangkan apabila semakin ramai individu berdepan risiko penyakit kronik akibat berat badan berlebihan.

Walaupun ramai memberi tumpuan kepada usaha menurunkan berat badan dengan cepat, pakar mengingatkan, kejayaan pengurusan obesiti tidak seharusnya diukur berdasarkan angka pada penimbang semata-mata.

Pakar Perunding Kanan Endokrinologi, Hospital Canselor

Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Norlaila Mustafa, berkata obesiti sering menjadi topik perbincangan hangat dalam masyarakat kerana dikaitkan dengan faktor estetika dan penampilan fizikal.

norlaila
Prof Dr Norlaila Mustafa

Namun, katanya dari sudut perubatan ia adalah masalah kesihatan yang kompleks.

"Statistik terkini menunjukkan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan, menjadikannya satu isu kesihatan penting yang perlu diberikan perhatian.

"Ramai individu yang mengalami obesiti sering mengutamakan penurunan berat badan secara drastik dan hanya memberi tumpuan kepada angka pada penimbang. Mereka berharap dapat mencapai berat badan yang lebih rendah dalam tempoh singkat," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tumpuan terhadap berat badan dalam kilogram semata-mata bukanlah segala-galanya dalam pengurusan obesiti.

Menurutnya, rawatan yang menyeluruh perlu mengambil kira komposisi tubuh, khususnya kepentingan mengekalkan jisim otot atau lean muscle mass ketika menjalani proses penurunan berat badan.

Dr Norlaila berkata, berat badan seseorang terdiri daripada empat komponen utama iaitu lemak badan, jisim otot, tulang dan air.

"Apabila seseorang mengalami obesiti, pertambahan berat badan itu sebenarnya banyak disumbangkan oleh lemak badan yang berlebihan.

"Lemak berlebihan inilah yang sering dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular.

"Sebab itu, penurunan berat badan yang sihat perlu memberi tumpuan kepada pengurangan lemak badan tanpa menjejaskan komponen penting lain, terutama jisim otot," katanya.

Beliau menjelaskan, jisim otot memainkan peranan penting dalam menentukan kadar metabolik asas atau Basal Metabolic Rate (BMR), iaitu jumlah tenaga yang digunakan tubuh ketika berehat.

Katanya, individu yang mempunyai jisim otot lebih tinggi akan membakar lebih banyak kalori kerana tisu otot memerlukan tenaga yang lebih besar untuk diselenggara berbanding tisu lemak.

"Jisim otot boleh dianggap sebagai 'enjin' yang sentiasa aktif dalam tubuh. Semakin banyak jisim otot dimiliki, semakin tinggi kadar metabolisme seseorang dan semakin banyak kalori dapat dibakar secara semula jadi setiap hari," katanya.

Beliau berkata, kehilangan jisim otot ketika menurunkan berat badan boleh menyebabkan kadar metabolisme menurun dan menyukarkan usaha mengekalkan berat badan ideal dalam jangka panjang.

Malah, amalan diet yang terlalu ketat atau sekatan pemakanan melampau boleh menyebabkan kehilangan lemak dan otot secara serentak.

"Keadaan ini meningkatkan risiko berlakunya kesan yo-yo, iaitu berat badan naik semula dengan cepat selepas seseorang menghentikan diet yang diamalkan," katanya.

Selain membantu pembakaran kalori, jisim otot yang sihat juga penting untuk meningkatkan daya tahan fizikal dan memudahkan pergerakan harian.

Dr Norlaila berkata, individu yang mempunyai otot kuat lebih mudah bergerak, mempunyai postur badan yang lebih baik serta kurang berisiko mengalami masalah sendi dan kecederaan.

Beliau turut mengingatkan, penurunan berat badan secara mendadak boleh menyebabkan kehilangan jisim otot yang ketara atau dikenali sebagai sarkopenia.

"Apabila jisim otot berkurangan secara berlebihan, tubuh akan menjadi lemah dan kemampuan melakukan aktiviti harian turut terjejas.

"Justeru, membina dan mengekalkan jisim otot perlu menjadi sebahagian daripada strategi utama dalam rawatan obesiti," katanya.

Menurut beliau, jisim otot juga mempunyai hubungan rapat dengan sensitiviti insulin dan kawalan paras gula dalam darah.

Katanya, peningkatan jisim otot membolehkan lebih banyak glukosa diserap ke dalam tisu otot dengan bantuan insulin, sekali gus meningkatkan sensitiviti insulin dan mengurangkan risiko diabetes.

"Proses pembakaran tenaga yang lebih cekap melalui jisim otot membantu menstabilkan paras gula dalam darah. Sebab itu, senaman yang meningkatkan jisim otot secara tidak langsung membantu mencegah diabetes," katanya.

Bagi memastikan jisim otot dapat dipelihara sepanjang proses penurunan berat badan, beliau menyarankan individu melakukan senaman rintangan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu.

Antara senaman yang boleh dilakukan termasuk duduk mencangkung (squats), lunges, plank, bangkit tubi dan penggunaan resistance band atau dumbbell ringan.

"Ramai beranggapan senaman rintangan memerlukan peralatan mahal atau keahlian gimnasium. Sebenarnya banyak latihan asas boleh dilakukan di rumah tanpa kos yang tinggi," katanya.

Dalam aspek pemakanan pula, Dr Norlaila berkata pengambilan protein yang mencukupi amat penting bagi membantu proses pembinaan dan pemulihan otot.

Beliau berkata, sumber protein berkualiti seperti ikan, dada ayam, telur dan tauhu perlu dijadikan sebahagian daripada diet harian.

Pada masa sama, beliau menyangkal tanggapan segelintir masyarakat yang menganggap berlapar atau mengurangkan makanan secara ekstrem sebagai kaedah terbaik untuk menurunkan berat badan.

"Ada individu mengamalkan kaedah seperti intermittent fasting secara keterlaluan tanpa mengambil kira keperluan nutrien terutama protein.

"Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan jisim otot dan air dalam tubuh berbanding lemak, sekali gus menyebabkan seseorang kelihatan lesu dan tidak bermaya walaupun berat badan menurun," katanya.

Dr Norlaila berkata, obesiti perlu dilihat sebagai penyakit kronik yang memerlukan rawatan dan pemantauan profesional.

Katanya, individu yang mengalami obesiti digalakkan mendapatkan nasihat doktor supaya pemeriksaan lanjut dapat dilakukan serta rawatan yang sesuai dapat diberikan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil ubat atau produk penurunan berat badan yang tidak disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada organ penting seperti hati dan buah pinggang.

"Pengurusan obesiti bukan sekadar mengejar angka yang lebih kecil pada alat penimbang. Apa yang lebih penting ialah mengurangkan lemak badan, mengekalkan jisim otot, meningkatkan kecergasan dan memperbaiki kualiti hidup secara keseluruhan," katanya.

INFO:

Antara senaman yang mudah dan berkesan untuk mengurangkan berat badan;

- Duduk Mencangkung (Squats): Membabitkan kumpulan otot utama di bahagian bawah badan, terutamanya paha dan punggung.

- Lunges: Membantu menguatkan kaki dan meningkatkan kestabilan badan.

ï‚·- Plank :Latihan yang sangat baik untuk menguatkan otot teras (core) dan bahagian perut.

- Bangkit Tubi (Sit-ups): Membantu membina kekuatan otot perut secara berkeseluruhan dan menjaga postur badan.

- Penggunaan rintangan ringan: Penggunaan dumbbell seberat 0.5kg hingga 1kg atau resistance band adalah permulaan yang baik untuk membina kekuatan secara

beransur-ansur tanpa memberi tekanan berlebihan pada sendi.

Video Terkini

Berita Berkaitan