KEMALANGAN jalan raya terus menjadi kebimbangan utama terutama apabila membabitkan kecederaan pada bahagian kepala kerana ia boleh menyebabkan gegaran otak, trauma otak serius dan keretakan tengkorak.
Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Cyrus Lai Sin Nan, berkata kemalangan jalan raya kekal sebagai antara punca utama kecederaan otak traumatik di Malaysia dan seluruh dunia.
Katanya, kecederaan boleh berlaku akibat hentakan langsung pada kepala, daya tolakan secara tiba-tiba yang menyebabkan badan terhumban ke hadapan atau belakang, atau pergerakan putaran semasa impak sehingga mengakibatkan pendarahan otak atau keretakan tengkorak.

"Apa yang menjadikan kecederaan kepala berbahaya ialah ia tidak semestinya jelas kelihatan di lokasi kejadian kerana mangsa mungkin masih sedar dan boleh bercakap seperti biasa.
"Namun, mereka sebenarnya mungkin sedang mengalami pendarahan dalaman, pembengkakan otak atau keretakan tengkorak," katanya.
Beliau berkata, kecederaan kepala boleh membabitkan kecederaan primer iaitu kerosakan yang berlaku ketika hentakan, selain kecederaan sekunder apabila komplikasi seperti pembengkakan otak, kekurangan oksigen atau tekanan darah rendah menyebabkan trauma menjadi lebih serius.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kecederaan kepala sukar dinilai hanya berdasarkan jenis kemalangan kerana walaupun perlanggaran kelihatan ringan, fungsi otak masih boleh terjejas.
Dr Cyrus berkata, antara tanda awal kecederaan otak termasuk sakit kepala berterusan, kekeliruan, gangguan ingatan dan perubahan tingkah laku.
Katanya, apabila keadaan semakin serius, mangsa boleh mengalami muntah berulang, percakapan tidak jelas, kelemahan anggota badan, kesukaran koordinasi, sawan atau tidak sedarkan diri.
"Sebarang simptom yang berterusan, tidak menunjukkan pemulihan atau semakin teruk tidak boleh diabaikan dan memerlukan penilaian perubatan segera," katanya.
Beliau berkata, simptom juga mungkin tidak muncul serta-merta selepas kemalangan dan ada mangsa hanya menunjukkan tanda beberapa jam kemudian.
Katanya, keadaan itu menjadikan pemantauan dalam tempoh 24 hingga 48 jam pertama amat penting, termasuk memerhati perubahan seperti kekeliruan, mengantuk luar biasa, kesukaran memberi tumpuan atau perubahan percakapan.
Selain simptom fizikal, kecederaan kepala juga boleh menjejaskan emosi dan tingkah laku terutama apabila melibatkan bahagian depan otak yang mengawal emosi dan kawalan diri.
"Mangsa mungkin menjadi mudah marah, mengalami keresahan, kemurungan atau perubahan personaliti.
"Walaupun kebanyakan simptom kecederaan kepala ringan pulih dalam tempoh satu hingga dua minggu, ada yang berlarutan selama beberapa minggu atau bulan dan ini dikenali sebagai sindrom pasca gegaran otak," katanya.
Dalam kes lebih serius, katanya, kesan kecederaan boleh menjadi jangka panjang atau kekal jika tidak dirawat dengan segera.
Dr Cyrus berkata, di Jabatan Kecemasan dan Kemalangan (A&E), penilaian awal dilakukan dengan menstabilkan pesakit, melindungi tulang belakang serviks dan memeriksa fungsi neurologi seperti tahap kesedaran, tindak balas anak mata serta kekuatan anggota badan.
Menurutnya, ujian imbasan CT digunakan untuk mengesan pendarahan, pembengkakan atau keretakan yang tidak dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan klinikal biasa.
"Pesakit yang stabil mungkin hanya dipantau manakala mereka yang menunjukkan tanda neurologi semakin merosot mungkin memerlukan penilaian segera oleh pakar bedah saraf.
"Jika pesakit dibenarkan pulang, penjaga perlu terus memantau tanda amaran seperti sakit kepala semakin teruk, muntah berulang atau kekeliruan yang meningkat," katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Saraf di SMCV, Dr Mah Jon Kooi, berkata tidak semua kecederaan kepala membawa tahap risiko yang sama kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk daripada gegaran otak hingga trauma otak serius dan keretakan tengkorak.

Katanya, gegaran otak boleh mengganggu fungsi otak secara sementara, manakala trauma lebih serius boleh melibatkan pendarahan dalaman dan pembengkakan otak.
"Walaupun tiada luka terbuka atau pendarahan yang jelas, tisu otak masih boleh terhentak di dalam tengkorak semasa impak berlaku lalu menyebabkan kecederaan pada fungsi otak," katanya.
Beliau berkata, komplikasi paling membimbangkan ialah peningkatan tekanan di dalam tengkorak kerana ia boleh menyekat aliran darah ke otak dan meningkatkan risiko kerosakan neurologi kekal.
"Dalam kes teruk, tekanan ini boleh menyebabkan herniasi otak iaitu keadaan apabila tisu otak terhimpit dan beralih daripada kedudukan asal," katanya.
Menurut Dr Jon Kooi, rawatan bergantung pada tahap kecederaan dan bagi kes ringan seperti gegaran otak, pesakit mungkin hanya memerlukan rehat, pemerhatian dan fisioterapi jika perlu.
Namun katanya, dalam kes serius, pembedahan mungkin diperlukan bagi mengurangkan tekanan, menghentikan pendarahan dan mencegah kerosakan lanjut pada otak.
Beliau berkata, proses pemulihan juga boleh membabitkan rehabilitasi termasuk fisioterapi, terapi pekerjaan dan sokongan kognitif, terutama bagi pesakit yang mengalami gangguan neurologi.
"Pesakit dengan kecederaan ringan lazimnya boleh kembali kepada aktiviti harian dalam tempoh satu hingga dua minggu.
"Namun, mereka yang mengalami kecederaan sederhana hingga serius mungkin memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang dan ada yang mengalami kecacatan kekal," katanya.
Tambah beliau, kecederaan kepala yang tidak dirawat juga boleh meningkatkan risiko masalah jangka panjang seperti kehilangan ingatan, perubahan emosi, sakit kepala kronik, sawan dan penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer serta Parkinson.
INFO:
Tanda awal kecederaan otak;
- Sakit kepala berterusan.
- Kekeliruan.
- Gangguan ingatan.
- Perubahan tingkah laku.️
Tanda kecederaan serius yang memerlukan rawatan segera;
- Muntah berulang.
- Percakapan tidak jelas.
- Kelemahan anggota badan.
- Sawan.
- Hilang kesedaran.
























