DALAM era digital hari ini, ramai menghabiskan sebahagian besar masa di hadapan komputer, telefon pintar dan pelbagai peranti elektronik.
Ditambah dengan faktor persekitaran seperti penggunaan penghawa dingin, pencemaran udara serta peningkatan usia, keadaan ini menyumbang kepada peningkatan kes Dry Eye Disease (DED) atau sindrom mata kering.
Penyakit itu berlaku apabila mata tidak menghasilkan air mata yang mencukupi atau kualiti air mata tidak memadai untuk mengekalkan kelembapan permukaan mata, sekali gus menyebabkan ketidakselesaan dan gangguan penglihatan.
Ketua Jabatan Oftalmologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Othmaliza Othman, berkata DED berpunca daripada gangguan pada lapisan air mata yang menyaluti permukaan mata.
Beliau berkata, cuaca panas melampau boleh meningkatkan suhu persekitaran setempat sehingga menyebabkan air mata tersejat dengan lebih cepat.
"Air mata sangat penting kerana berfungsi sebagai pelincir yang melicinkan permukaan mata supaya cahaya dapat masuk secara terus tanpa biasan tidak teratur.
"Setiap kali kita mengedipkan mata, air mata akan disebarkan ke seluruh permukaan kornea bagi memastikan mata sentiasa lembap dan dilindungi.
"Selain itu, komponen imunologi dalam air mata bertindak sebagai benteng pertahanan yang melindungi permukaan mata daripada serangan kuman dan bendasing, selain membantu membersihkan habuk atau kotoran yang masuk ke dalam mata," katanya kepada BH.
Risiko kerosakan kornea
Dr Othmaliza berkata, mata yang kering lazimnya menyebabkan rasa gatal dan tidak selesa, namun orang ramai dinasihatkan tidak menggosok mata kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan.
Beliau berkata, komplikasi serius jarang berlaku dan lazimnya, hanya berlaku dalam kes penyakit yang teruk, tidak dirawat, atau disertai faktor risiko tambahan
Menurut American Academy of Ophthalmology (AAO), DED yang teruk boleh menyebabkan parut kornea, ulserasi dan kemungkinan perforasi kornea.
"Kerosakan pada kornea antara komplikasi paling serius kerana ia boleh membawa kepada ulser kornea yang menyebabkan permukaan mata mengelupas dan dijangkiti kuman.
"Jika tidak dirawat, keadaan itu boleh meninggalkan parut kekal yang menjejaskan penglihatan. Dalam kes sangat teruk, mata boleh mengalami kebocoran dan jangkitan dalam bola mata," katanya.
Mengulas mengenai iklim tropika Malaysia yang panas sepanjang tahun serta pendedahan tinggi kepada sinaran ultraungu (UV), beliau berkata keadaan itu menjadikan sindrom mata kering lebih mudah berlaku. Namun sinaran UV biasanya tidak dianggap sebagai punca utama secara langsung bagi penyakit DED.
Sebaliknya, haba, angin, habuk dan kelembapan udara yang rendah boleh meningkatkan penyejatan air mata. Justeru, penggunaan cermin mata hitam membantu mengurangkan pendedahan kepada sinaran UV, angin dan habuk.
Menurutnya lagi, penggunaan penghawa dingin dan pendedahan kepada haba luar mempercepatkan proses penyejatan air mata, walaupun melalui mekanisme berbeza.
"Haba luar dengan suhu tinggi menyebabkan penyejatan berlaku secara terus. Penghawa dingin pula menarik keluar kelembapan daripada udara, menjadikan persekitaran lebih kering dan menyebabkan air mata lebih mudah tersejat," katanya.
Dr Othmaliza berkata, antara golongan berisiko mengalami mata kering ialah pekerja dan pelajar yang kerap menggunakan komputer riba, komputer atau telefon pintar, pengguna kanta lekap, pesakit penyakit kronik seperti diabetes dan gangguan tiroid, warga emas serta wanita menopaus.
Katanya, gaya hidup digital masa kini turut menjadikan masalah itu semakin membimbangkan apabila ramai menghabiskan berjam-jam di hadapan skrin tanpa rehat mencukupi.
"Penggunaan skrin digital dikaitkan dengan pengurangan kekerapan berkelip dan peningkatan gejala mata kering. Pengguna skrin berisiko kerana aktiviti yang memerlukan fokus tinggi menyebabkan kadar kedipan mata menurun secara drastik daripada 15 hingga 20 kali seminit kepada hanya lima hingga tujuh kali seminit.
"Keadaan ini mengganggu pengedaran air mata secara sekata pada permukaan mata," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan pengguna mengamalkan Kaedah 20-20-20, saranan yang diterima secara meluas. Dengan kaedah in, pengguna perlu berehat selama 20 saat selepas setiap 20 minit melihat skrin dengan memandang objek yang berada pada jarak sekurang-kurangnya 20 kaki.
"Sebaik-baiknya, lihat kawasan hijau seperti pokok atau bukit. Apabila mata memandang ke arah objek yang jauh, otot mata dapat berehat selepas terlalu lama memberi fokus kepada objek dekat seperti skrin.
"Teknik ini juga membantu merehatkan otak dan mengurangkan keletihan mata," katanya.
Beliau berkata, penggunaan titisan air mata palsu boleh membantu mengurangkan gejala awal mata kering seperti rasa pedih, berat pada mata atau penglihatan kabur yang menjadi jelas selepas beberapa kali berkelip.
Bagaimanapun, katanya, pengguna perlu memilih produk titisan mata tanpa bahan pengawet (preservative-free) terutama untuk penggunaan kerap atau jangka panjang.
"Air mata tiruan adalah rawatan barisan pertama dan pilihan tanpa bahan pengawet lebih digalakkan apabila digunakan dengan kerap.
"Penggunaan titisan mata yang mengandungi bahan pengawet secara berterusan boleh menyebabkan alahan atau pembentukan parut kecil pada permukaan mata.
"Oleh itu, produk bebas bahan pengawet lebih sesuai untuk penggunaan jangka panjang," katanya.
Bagi pengguna kanta lekap, beliau menasihatkan supaya mengurangkan tempoh pemakaian dan mendapatkan nasihat daripada optometris bertauliah bagi memilih kanta yang sesuai dengan tahap kekeringan mata.
"Elakkan membeli kanta lekap daripada sumber yang tidak bertauliah kerana ia boleh meningkatkan risiko komplikasi dan menjejaskan kesihatan mata pada masa depan," katanya.
Wanita menopaus turut berisiko
Dr Othmaliza berkata, wanita yang memasuki fasa menopaus juga lebih berisiko mengalami mata kering akibat perubahan hormon yang menjejaskan kestabilan komponen utama air mata.
"Air mata adalah lapisan air, lipid (lemak) dan mucin yang berfungsi mengekalkan kelembapan mata.
"Perubahan hormon boleh menjejaskan kualiti dan komposisi air mata, sekali gus mengurangkan keberkesanannya dalam melindungi permukaan mata.
"Apabila usia meningkat, penghasilan komponen air mata menjadi kurang seimbang dan keadaan ini menyumbang kepada masalah mata kering," katanya.
Selain memastikan pengambilan air mencukupi, beliau turut menyarankan orang ramai mengelakkan aliran udara penghawa dingin atau kipas yang menghala terus ke muka.
Jika perlu guna pelembap udara (humidifier) serta memakai cermin mata hitam ketika berada di luar bagi mengurangkan pendedahan kepada sinaran UV, angin dan habuk.
Bagi kes yang lebih serius, rawatan tambahan seperti gel atau krim mata pada waktu malam, pemasangan punctal plug bagi mengekalkan air mata serta prosedur pembersihan kelopak mata secara klinikal mungkin diperlukan.
"Mata kering bukan sekadar masalah kecil. Jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan kualiti penglihatan dan kehidupan harian.
"Orang ramai perlu peka terhadap simptom awal dan mendapatkan pemeriksaan segera sekiranya masalah berlarutan atau mula menjejaskan penglihatan," katanya.
INFO:
Punca mata kering (DED)
- Berlaku apabila mata tidak menghasilkan air mata mencukupi.
- Kualiti air mata tidak memadai untuk mengekalkan kelembapan mata.
- Menyebabkan ketidakselesaan dan gangguan penglihatan.
Gejala awal
- Mata pedih atau berasa terbakar.
- Mata gatal dan berpasir.
- Mata cepat penat.
- Penglihatan kabur sementara.
- Kerap berkelip untuk menjelaskan penglihatan.
























