TINJAUAN Kesedaran Kesihatan Mata mendedahkan, lebih lapan daripada 10 rakyat Malaysia tidak sedar atau tidak pasti mengenai penyakit retina yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan.
Tinjauan membabitkan 802 orang dewasa di seluruh negara itu turut mendapati, walaupun katarak semakin dikenali umum, sebanyak 81.7 peratus responden tidak pernah mendengar atau tidak pasti mengenai penyakit retina seperti degenerasi makula berkaitan usia (AMD) dan edema makula diabetes (DME).
Tinjauan itu turut menunjukkan, tabiat rakyat Malaysia yang cenderung menangguhkan rawatan selagi tidak berasa sakit dan akan menunggu berminggu-minggu atau berbulan-bulan sebelum mendapatkan pemeriksaan mata.
Dapatan ini menjadi asas kepada kempen kesedaran awam "Don't Wait to See" anjuran Kolej Oftalmologi, Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Diabetes Malaysia dan Bayer Malaysia dengan menggalakkan rakyat Malaysia lebih peka terhadap perubahan penglihatan dan menjadikan pemeriksaan mata sebagai sebahagian rutin kesihatan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Nor Fariza Ngah, berkata dapatan tinjauan itu menunjukkan kesihatan mata tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan keseluruhan, khususnya dalam negara yang sedang menuju status menua serta berdepan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes.
Dr Nor Fariza yang juga pakar optalmologi, berkata penyakit retina sering dianggap sebagai "penyakit senyap" kerana ia tidak menunjukkan simptom jelas pada peringkat awal.
"Berbeza dengan penyakit mata lain seperti katarak yang biasanya menyebabkan penglihatan menjadi kabur secara perlahan tetapi penyakit retina lazimnya, tidak menyebabkan kesakitan atau kemerahan pada mata.
"Sebaliknya, pesakit mungkin hanya mengalami perubahan kecil seperti garis lurus kelihatan beralun, imej menjadi sedikit kabur atau terdapat tompok gelap di bahagian tengah penglihatan," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan ramai pesakit tidak menyedari mereka sedang mengalami masalah retina dan hanya mendapatkan rawatan apabila penglihatan sudah mula terjejas dengan serius.
"Masalah utama penyakit retina ialah tiada simptom awal dan tiada kesakitan. Jadi ramai tidak sedar mereka sebenarnya sedang mengalami kerosakan retina.
"Jika pesakit mengalami penglihatan kabur, mereka biasanya mengaitkannya dengan katarak. Tetapi apabila membabitkan degenerasi makula atau komplikasi retina akibat diabetes, ramai tidak tahu mengenainya," katanya.
Sementara, Naib Pengerusi Bab Retina AMM, Dr Rajasudha Sawri Rajan berkata, perubahan kecil pada penglihatan pusat tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi tanda awal penyakit serius.
"Jika garis lurus kelihatan beralun atau penglihatan berubah secara tiba-tiba, pesakit perlu mendapatkan penilaian pakar dengan segera. Tindakan awal membolehkan rawatan dimulakan pada masa yang lebih sesuai," katanya.
Menurut beliau, pada masa sama kebanyakan pesakit hanya menganggap perubahan penglihatan sebagai faktor usia atau keletihan mata sedangkan keadaan itu boleh menjadi petunjuk awal penyakit retina yang serius.
Setiausaha Agung Kehormat Diabetes Malaysia dan Pakar Penjagaan Primer, Dr Mohazmi Mohamed pula berkata, budaya "tunggu dan lihat" masih menjadi antara punca utama kelewatan mendapatkan rawatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Situasi itu bukan sahaja berlaku kepada pesakit diabetes, malah membabitkan ramai pesakit penyakit kronik lain.
"Pesakit diabetes sudah mempunyai banyak perkara untuk diuruskan seperti memantau gula dalam darah, tekanan darah dan pengambilan ubat.
"Disebabkan itu, penjagaan mata sering menjadi keutamaan terakhir kerana mereka hanya memikirkan kehilangan penglihatan apabila ia benar-benar berlaku," katanya.
Beliau berkata, sikap mendapatkan rawatan pada saat akhir juga lebih ketara dalam kalangan lelaki kerana golongan itu cenderung menangguhkan pemeriksaan sehingga keadaan menjadi lebih serius.
Selain itu, katanya, ada pesakit yang tidak tahu ke mana harus pergi untuk mendapatkan pemeriksaan mata atau menganggap proses mendapatkan rawatan pakar terlalu rumit dan mengambil masa panjang.
"Ramai tidak sedar bahawa pemeriksaan retina sebenarnya boleh dilakukan di klinik kesihatan kerana kebanyakan klinik utama kini mempunyai kamera fundus.
"Jika terdapat masalah, pesakit akan dirujuk untuk rawatan lanjut," katanya.
Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Retina Perubatan, Dr Tara George, pula menegaskan bagi pesakit diabetes, penjagaan mata perlu menjadi sebahagian daripada pengurusan penyakit secara menyeluruh, bukan hanya apabila berlaku masalah penglihatan.
"Pesakit diabetes perlu menjalani pemeriksaan mata menyeluruh sekurang-kurangnya sekali setahun. Rawatan hari ini semakin maju dan boleh membantu menstabilkan atau memperbaiki penglihatan jika dikesan awal," katanya.
























