PENYAKIT buah pinggang kronik (CKD) adalah "ancaman dalam diam" yang melarat tanpa disedari sehingga kerosakan menjadi tahap lanjut.
Data di Malaysia menunjukkan, kadar prevalensi wanita adalah 14 peratus, sedikit lebih tinggi berbanding lelaki pada 12 peratus.
Menurut, Pakar Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Rosnawati Yahya, jurang antara jantina ini tidak selalunya jelas dalam praktis harian.
"Secara konsisten, faktor utama CKD masih lagi didorong oleh masalah metabolik seperti diabetes dan hipertensi. Ini menjejaskan lelaki dan wanita dalam jumlah yang hampir sama," katanya.
Sebanyak 86 peratus daripada kes CKD di Pusat Buah Pinggang berpunca daripada masalah metabolik.
Data Malaysian Dialysis and Transplantation Registry 2023 menunjukkan, diabetes dan hipertensi adalah punca utama kegagalan buah pinggang, masing-masing menyumbang sebanyak 56 peratus dan 30 peratus daripada keseluruhan kes.
Kedua-dua keadaan ini terjadi secara senyap dan merosakkan buah pinggang sedikit demi sedikit selama bertahun-tahun tanpa disedari pesakit.
Apa yang membimbangkan, ramai individu hanya menyedari apabila fungsi buah pinggang sudah merosot dengan ketara, malah ada yang hanya mengetahuinya apabila rawatan dialisis sudah perlu dilakukan dengan segera.
"Inilah sebabnya mengapa pemeriksaan awal sangat penting. Tiga peringkat pertama CKD biasanya tidak menunjukkan simptom. Jika menunggu sehingga munculnya simptom, sebenarnya sudah terlambat," tegas Dr Rosnawati.
Perbezaan jantina
Penyakit buah pinggang tidak mengenal mangsa, namun wanita menunjukkan risiko lebih tinggi terhadap penyakit buah pinggang yang berpunca daripada faktor autoimun.
Antara paling lazim ialah nefritis lupus, iaitu komplikasi daripada penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE).
Walaupun jarang berlaku pada golongan lelaki, simptom dan kerosakan buah pinggang biasanya lebih teruk apabila ia berlaku.
"Apabila ia membabitkan buah pinggang, kebanyakan kes masih lagi terdiri daripada wanita," kata Dr Rosnawati.
Simptom sering disalah tafsir
Menurut Dr Rosnawati, salah satu cabaran utama dalam pengesanan awal CKD, khususnya dalam kalangan wanita, ialah simptomnya yang mudah disalah tafsir sebagai masalah biasa.
Keletihan berpanjangan, contohnya, sering dianggap berpunca daripada kesibukan harian, tekanan kerja atau tanggungjawab mengurus keluarga.
Selain itu, kelesuan sering dikaitkan dengan anemia atau perubahan hormon manakala kekerapan membuang air kecil pada waktu malam pula disangka berkaitan kelemahan otot pelvik, terutama selepas bersalin.
Bengkak pada kaki, buku lali atau muka pula sering dianggap sebagai masalah pengekalan air biasa.
"Wanita sering menganggap simptom ini sebagai perkara biasa. Mereka menyangka ia berpunca daripada stres, penuaan atau hormon, dan bukannya penyakit buah pinggang," katanya.
Namun, terdapat beberapa tanda amaran yang tidak harus diabaikan. Antaranya ialah perubahan pada air kencing seperti berbuih atau berubah warna, hilang selera makan, loya serta tekanan darah tinggi yang sukar dikawal.
Keputusan ujian darah juga boleh mengelirukan, terutamanya bagi wanita. Tahap kreatinin, iaitu penunjuk utama fungsi buah pinggang, dipengaruhi secara langsung oleh jisim otot.
Beliau menggesa wanita agar tidak bergantung kepada angka semata-mata, sebaliknya bertanya kepada doktor mengenai maksud sebenar angka itu untuk diri mereka.

"Memandangkan wanita secara amnya mempunyai jisim otot yang kurang berbanding lelaki, tahap kreatinin yang normal; mungkin boleh menyembunyikan masalah buah pinggang yang berada di peringkat awal.
"Bacaan 90 mungkin baik bagi lelaki berbadan besar, tetapi bagi wanita yang bertubuh kecil, ia mungkin menandakan fungsi simpanan buah pinggang mula menyusut," jelas Dr Rosnawati.
Kesan fasa kehidupan wanita
Kehamilan dan menopaus adalah dua fasa penting dalam kehidupan wanita yang boleh meningkatkan risiko masalah buah pinggang.
Komplikasi seperti preeklampsia dan diabetes gestasi menunjukkan wujudnya masalah vaskular atau metabolik yang berterusan.
Keadaan ini boleh meningkatkan risiko hipertensi, proteinuria dan CKD sebanyak dua hingga empat kali ganda.
Selepas menopaus pula, penurunan hormon estrogen mengurangkan perlindungan semula jadi terhadap buah pinggang dan saluran darah, sekali gus mempercepatkan perkembangan penyakit.
Selain itu, sindrom ovari polikistik atau Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) kini semakin diiktiraf sebagai faktor risiko penting tetapi kurang diberi perhatian.
Ia berkait rapat dengan rintangan insulin, obesiti dan sindrom metabolik.
"PCOS boleh menyebabkan diabetes dan tekanan darah tinggi pada usia lebih muda, yang akhirnya meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang dalam jangka panjang," tambah beliau.
Dr Rosnawati menegaskan, kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, khususnya bagi wanita yang mempunyai faktor risiko seperti diabetes, tekanan darah tinggi, obesiti, penyakit autoimun atau sejarah komplikasi kehamilan.
Tiga ujian asas disarankan untuk pengesanan awal CKD, iaitu ujian darah bagi menilai fungsi buah pinggang, ujian protein dalam air kencing (terutamanya nisbah albumin kepada kreatinin) serta pemeriksaan tekanan darah.
"Protein dalam air kencing adalah antara tanda awal kerosakan buah pinggang, namun ujian dipstick biasa mungkin gagal mengesannya. Pengesanan awal sangat penting kerana terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk memperlahankan perkembangan penyakit," katanya.
Tambah beliau, matlamat utama rawatan adalah untuk mengekalkan fungsi buah pinggang selama mungkin.
"Jika kita dapat mengurangkan kadar kemerosotan fungsi buah pinggang daripada 10 peratus setahun kepada hanya dua peratus, ramai pesakit mungkin tidak perlu menjalani dialisis sepanjang hayat mereka," jelasnya.
INFO:
Punca Utama CKD
● Diabetes (56%)
● Hipertensi (30%)
● Penyakit autoimun (contoh: lupus)
● Faktor gaya hidup (obesiti, kurang aktif)
Tanda awal sering diabaikan;
● Cepat letih & lesu
● Kerap kencing waktu malam
● Bengkak kaki atau muka
● Hilang selera makan
● Air kencing berbuih
























