KUALA LUMPUR: Menonton perlawanan bola sepak secara langsung sambil menikmati teh tarik dan hidangan tradisional mamak sememangnya telah menjadi antara aktiviti kegemaran rakyat Malaysia sejak sekian lama.
Restoran mamak juga semakin berperanan sebagai hab sosial yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk bersembang, bersantai dan berkongsi pengalaman bersama terutama ketika berlangsungnya acara sukan utama.
Seiring dengan kemeriahan musim bola sepak dan piala dunia, orang ramai kini mencari kaedah mudah untuk berhubung dalam persekitaran di mana mereka secara semula jadi meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
Keunikan budaya inilah yang semakin menarik perhatian jenama-jenama besar yang mahu berinteraksi dengan pengguna dalam persekitaran yang lebih dekat, santai dan autentik. Sempena kemeriahan musim bola sepak tahun ini, Warner Bros Malaysia memilih pendekatan ini bagi mempromosikan filem terbaharunya , Supergirl yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 25 Jun ini.
Kempen Pengiklanan (Piala Dunia Lekat Bersama) oleh Lekat Media dilaksanakan menerusi rangkaian skrin digital dalam premis dan pelekat meja di restoran mamak terpilih sekitar Lembah Klang sekali gus membawa keterujaan Supergirl terus kepada antara ruang komuniti yang paling ikonik di Malaysia.
Restoran mamak mempunyai kedudukan yang unik dalam budaya masyarakat di negara ini, khususnya ketika acara sukan utama apabila pelanggan meluangkan masa yang lebih panjang untuk bersosial dan menikmati perlawanan secara langsung, kata Pengasas Lekat Media, Julian Peter Anthony.
"Apabila pelanggan berkumpul untuk menonton bola sepak dan acara sukan lain, ia mewujudkan suasana yang semula jadi dan menjadi sebahagian daripada perbualan dan pengalaman pengguna dengan cara yang lebih relevan dan menarik.
"Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami melihat restoran mamak sebagai titik sentuhan penting yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia serta pengalaman yang dikongsi bersama," katanya.
Julian ditemani rakan pengasas, Aiman Viran dan Ashley Tan, dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Ketika ini, Lekat Media mempunyai hampir 150 rakan restoran mamak eksklusif di seluruh Semenanjung dan terus mengembangkan rangkaian skrin digital, iklan meja serta aktiviti dalam restoran bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan sambil mewujudkan peluang pembabitan yang lebih berkesan.
























