BH Online
Ringkasan Berita

Filem Malaikat Malam cecah kutipan Box Office RM10.2 juta

KUALA LUMPUR: Filem Malaikat Malam yang menerima kritikan berjaya mencecah kutipan ‘box office’ sebanyak RM10.2 juta dalam tempoh tayangan awal dan minggu pertama di pawagam seluruh negara.
Filem Malaikat Malam cecah kutipan Box Office RM10.2 juta

- Foto IG FINAS

KUALA LUMPUR: Filem Malaikat Malam yang menerima kritikan berjaya mencecah kutipan 'box office' sebanyak RM10.2 juta dalam tempoh tayangan awal dan minggu pertama di pawagam seluruh negara.

Kejayaan filem ini sekali gus meletakkan naskhah terbabit sebagai antara karya tempatan yang mendapat perhatian tahun ini sejak mula menggegarkan pawagam pada 26 Mac lalu.

Lebih membanggakan, pencapaian ini mencerminkan keyakinan penonton terhadap air tangan sutradara baharu, Nazifdin Nasrudin melalui pendekatan segar yang dibawakannya dalam genre aksi mampu memikat hati peminat filem tanah air.

Penerbit Eksekutif filem berkenaan, Datuk Dr Yusof Haslam menzahirkan rasa syukur atas sokongan padu yang diberikan oleh orang ramai terutama peminat industri perfileman negara.

"Apa yang lebih bermakna adalah apabila penonton sendiri mengangkat filem ini. Pencapaian ini menunjukkan kisah yang dekat dengan realiti masyarakat, digabungkan elemen hiburan yang kuat dan mampu menarik minat ramai," katanya.

Sejak ditayangkan, Malaikat Malam menerima pebagai reaksi di media sosial, namun penonton memuji penceritaan dan lakonan mantap barisan pelakon iaitu Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Que Haidar, Riezman Khuzaimi, dan Akmal Asyraf.

Filem ini bukan sekadar aksi kosong, malah sarat dengan elemen cinta, persahabatan dan pengorbanan melalui watak Azam yang hidupnya berubah selepas terlanggar seorang gadis buta bernama Ratna.

Filem Malaikat Malam terbitan Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios yang bergenre aksi romantik ini masih ditayangkan di seluruh negara.

Bagi peminat di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, mereka berpeluang untuk bertemu barisan pelakon pada hari ini, esok dan Ahad ini di pawagam yang ditetapkan.

Video Terkini

Berita Berkaitan