BH Online
Ringkasan Berita

Fasha Sandha sudah berdamai dengan kecaman

SHAH ALAM: Lebih dua dekad bergelar anak seni, pelakon Fasha Sandha mengakui sudah belajar berdamai dengan kecaman yang datang, sama ada membabitkan kerjaya mahupun kehidupan peribadinya.
Fasha Sandha sudah berdamai dengan kecaman

Fasha mengakui lebih tenang berdepan kecaman dan memilih memberi tumpuan kepada kerjaya serta keluarga. - Foto NSTP/Nabila Adlina Azahari

SHAH ALAM: Lebih dua dekad bergelar anak seni, pelakon Fasha Sandha mengakui sudah belajar berdamai dengan kecaman yang datang, sama ada membabitkan kerjaya mahupun kehidupan peribadinya.

Pelakon berusia 42 tahun itu berkata, dia tidak mampu menghalang orang ramai daripada memberikan pandangan, namun memilih untuk memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting dalam hidup.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, keutamaan kini adalah menjaga kerjaya, komitmen dan disiplin yang menjadi pegangan sejak awal pembabitannya dalam industri.

"Saya selalu percaya, apa sahaja yang kita miliki dalam hidup ini tidak kekal. Sama ada kecaman atau apa juga yang datang, bagi saya semuanya sekadar angin lalu.

"Apa yang saya benar-benar jaga dan fokus adalah kerjaya, komitmen serta disiplin. Itu yang orang tak boleh ganggu dan tak boleh sentuh.

"Jadi kalau perkara lain orang nak kecam, saya okey sahaja. Sebab bagi saya, yang paling penting adalah menjaga komitmen dan disiplin untuk terus berada dalam industri ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen SAFI Youth Gold Rania yang turut mengumumkan pelantikannya sebagai duta jenama itu di Central i-City, di sini, baru-baru ini.

Fasha berkata, dia tidak mahu membebankan fikiran dengan memikirkan pandangan negatif orang terhadap dirinya, sebaliknya memilih memberi tumpuan kepada diri sendiri dan keluarga.

"Kalau kita layan sangat, lama-lama kita sendiri yang terluka. Jadi lebih baik relaks dan nikmati sahaja kehidupan.

"Lagipun saya ada keluarga yang mempercayai saya. Saya ada suami, Aidil Aziz, yang sentiasa menyokong dan percaya kepada saya. Itu sudah cukup membahagiakan saya," katanya.

Fasha berkata, pengalaman sepanjang bergelar anak seni turut mengubah cara dia berdepan kritikan apabila memilih untuk tidak lagi menjelaskan setiap perkara yang diperkatakan mengenai dirinya.

"Sejak usia 30-an, saya berpegang pada prinsip untuk tidak lagi menjelaskan apa-apa mengenai diri sendiri. Kalau dahulu ketika remaja, saya memang suka melawan.

"Apabila semakin meningkat usia, saya lebih sedar tentang prinsip 'never explain yourself' kerana keluarga, kawan-kawan dan peminat sebenarnya tidak memerlukan penjelasan itu.

"Sebaliknya, orang yang memang tidak suka kepada kita, walaupun kita memberi penjelasan panjang lebar sekalipun, ia tidak akan mengubah apa-apa. Jadi saya rasa semua orang perlu ada prinsip itu," katanya.

Bagaimanapun, Fasha berkata dia tidak akan berdiam diri sekiranya kecaman diterima menyentuh soal undang-undang, maruah keluarga atau perkara yang boleh memberi kesan kepada dirinya.

"Saya kadang-kadang kasihan melihat orang yang bercakap lebih-lebih kerana mereka hanya membuang masa, sedangkan saya tenang sahaja dan menikmati apa yang saya lakukan.

"Cuma jangan sentuh keluarga saya, maruah saya atau mempertikaikan disiplin dan komitmen saya," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan