BH Online
Ringkasan Berita

Wajah 'jambu' Aniq Suhair halang bawa watak aksi

PETALING JAYA: Pelakon Aniq Suhair mengakui masih sukar meyakinkan penerbit dan pengarah bahawa dirinya mampu menggalas watak aksi apabila sering dinilai berdasarkan penampilan fizikal, khususnya wajah yang dianggap terlalu ‘jambu’.
Wajah 'jambu' Aniq Suhair halang bawa watak aksi

Aniq mengakui wajah yang sering dianggap ‘jambu’ menyebabkan peluang membintangi karya aksi menjadi lebih sukar. - Foto NSTP/ Rohanis Shukri

PETALING JAYA: Pelakon Aniq Suhair mengakui masih sukar meyakinkan penerbit dan pengarah bahawa dirinya mampu menggalas watak aksi apabila sering dinilai berdasarkan penampilan fizikal, khususnya wajah yang dianggap terlalu 'jambu'.

Aniq, 26, berkata persepsi itu menyebabkan peluang untuk membintangi karya aksi menjadi lebih terbatas biarpun percaya setiap karakter boleh dibentuk menerusi kemampuan lakonan, bukan rupa paras semata-mata.

"Susah untuk yakinkan mereka yang saya boleh membawakan karya aksi kerana saya rasa masih ramai membuat pemilihan pelakon berdasarkan penampilan dan rupa.

"Sebagai contoh, kalau buat cerita seperti Juvana, mereka akan pilih muka yang nampak seperti gengster atau samseng. Takkan hendak ambil muka yang dianggap 'jambu'?

"Sedangkan pada saya, karakter boleh dibentuk. Tak ada masalah pun. Kalau muka 'jambu', kita boleh botakkan kepala dan ubah penampilan mengikut kehendak watak," katanya.

Aniq berkata demikian ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama barisan pelakon drama terbitan Viu, Ate Kome, I Love You! di Sunway Pyramid, di sini, baru-baru ini.

Bekas peserta Hero Remaja 2019/2020 itu berpendapat industri lakonan tempatan masih cenderung memilih pelakon berdasarkan rupa paras yang dianggap menepati cita rasa pasaran.

"Mungkin di Malaysia kita masih memilih pelakon mengikut fizikal dan rupa. Sedangkan di luar negara ramai sahaja pelakon yang berwajah 'jambu', tetapi mampu membawa watak samseng, polis, perompak dan sebagainya.

"Cuma mungkin kita masih tidak berani keluar daripada kebiasaan atau tidak berani mencuba," katanya.

Berkongsi pengalaman berdepan situasi itu, Aniq berkata, dia pernah ditolak ketika menghadiri sesi uji bakat sebuah filem hanya kerana penampilannya.

"Saya pernah menghadiri satu uji bakat filem yang mempunyai dua pengarah. Seorang memang mahukan saya untuk watak itu, tetapi seorang lagi tidak bersetuju kerana wajah saya dikatakan terlalu 'jambu'.

"Daripada situ saya sedar memang ada yang menilai karakter berdasarkan rupa paras. Pada saya, kenapa tidak beri peluang kepada pelakon membuktikan kemampuan ketika uji bakat?

"Mungkin semasa uji bakat itu, mereka boleh minta kita buktikan sama ada benar-benar mampu membawa watak berkenaan. Kita akan beri yang terbaik mengikut kemampuan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan