KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Nelydia Senrose selamat melahirkan cahaya mata sulung lelaki, semalam.
Berita gembira itu dikongsikan suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi, menerusi hantaran di Instagram. Bagaimanapun, Hafez tidak mendedahkan wajah mahupun nama bayi mereka.
Menerusi perkongsian itu, Hafez turut memuat naik foto yang dirakamkan di hospital dan meluahkan penghargaan kepada isterinya atas pengorbanan melahirkan zuriat yang selama ini dinantikan.
"Semalam, 26 Julai 2026, saya menyaksikan wanita paling kuat dan luar biasa pernah saya kenali. Melihat awak berjuang melalui setiap detik kesakitan dan cabaran demi membawa anak lelaki kita selamat ke dunia ini adalah kenangan yang akan saya simpan seumur hidup.
"Melihat awak bergelar seorang ibu adalah perkara paling indah pernah saya saksikan. Sayang, terima kasih atas setiap pengorbanan, setiap titisan air mata, setiap kekuatan yang awak kerahkan dan setiap degupan jantung yang membawa anak lelaki kita selamat ke dalam dakapan kita.
"Awak sangat tabah walaupun segala-galanya bukan mudah. Awak bukan sahaja melahirkan seorang bayi lelaki yang sempurna, malah menghadiahkan saya anugerah paling besar dalam hidup. Hari ini, awak melengkapkan keluarga kecil kita," tulisnya.
Hafez turut meluahkan rasa syukur apabila Allah memakbulkan doa yang dipanjatkan mereka selama ini dengan mengurniakan seorang bayi lelaki yang sihat.
"Dia mengurniakan kita seorang bayi lelaki yang sihat dan paling penting melindungi kalian berdua dengan selamat. Hati saya tidak pernah terasa sebegini penuh dan saya rasa tidak akan mampu mencari kata-kata yang cukup untuk mensyukuri nikmat ini.
"Terima kasih kerana menjadikan saya suami yang paling berbangga dan kini seorang ayah yang paling bertuah. Saya berjanji akan menghabiskan sisa hidup saya untuk mencintai, melindungi dan sentiasa berada di sisi awak dalam setiap kegembiraan mahupun dugaan.
"Anak lelaki kita sangat bertuah kerana memiliki awak sebagai ibunya dan saya jauh lebih bertuah kerana dapat memanggil awak sebagai isteri saya. Saya mencintai awak lebih daripada apa yang mampu diungkapkan dengan kata-kata," katanya.
Pada April lalu, Nelydia mengumumkan sedang hamil anak sulung bersempena sambutan ulang tahun ketujuh perkahwinannya dengan Hafez.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 6 April 2019.
























