PUTRAJAYA: Pelakon Ezzanie Jasny mengakui pernah mengalami 'burnout' selepas menjayakan beberapa watak berat yang menuntut penghayatan emosi tinggi sejak dua tahun kebelakangan ini.
Ezzanie atau nama sebenarnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, berkata, ada ketika dirinya berasa terlalu penat sehingga badan seolah-olah 'shut down' sebaik selesai menjalani penggambaran.
Katanya, keadaan itu membuatkan dia sedar mengenai kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental, selain memberi ruang kepada diri untuk berehat selepas melalui jadual kerja yang padat.
"Saya rasa kebanyakan naskhah yang saya jayakan tahun ini dan tahun lalu semuanya agak berat dan banyak bermain dengan emosi. Ada masanya saya mengalami 'burnout'.
"Lepas habis satu babak, saya akan terus berjalan keluar. Badan saya rasa seperti terus 'shut down' kerana terlalu penat.
"Tetapi itulah lumrah bekerja. Apa juga pekerjaan pasti ada cabarannya," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Bulan Henti Bicara di Bizmilla Putrajaya, di sini, baru-baru ini.
Pelakon drama Dia Bukan Syurga itu berkata, susulan jadual kerja yang padat sejak tahun lalu, dia merancang berehat seketika sebelum kembali menjalani penggambaran bagi beberapa projek baharu.
"Sejak kemalangan saya tahun lalu sehingga sekarang, saya memang tidak berhenti bekerja.
"Insya-Allah, Ogos nanti saya mahu ambil cuti dan berehat secukupnya.
"Selepas itu, dari September hingga Januari, saya sudah ada beberapa projek lain yang akan dijayakan, alhamdulillah," katanya.
Dalam pada itu, Ezzanie mengakui dirinya seorang yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga sukar untuk duduk diam tanpa melakukan sebarang pekerjaan.
Katanya, dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan asalkan halal dan memberi kepuasan kepada dirinya.
"Saya memang seorang yang workaholic. Saya tidak boleh duduk diam. Tidak kisah apa jenis pekerjaan sekali pun, asalkan pekerjaan itu halal dan membuatkan saya gembira, saya akan lakukan.
"Saya memang tidak boleh duduk di rumah. Ibu dan adik-beradik saya pun selalu cakap saya memang tidak tahu duduk diam," katanya.
Ditanya mengenai imejnya yang jarang dikaitkan dengan gosip, Ezzanie berkata, dia sentiasa menjaga batas pergaulan kerana mahu terus bertahan lama dalam industri seni.
"Saya memasuki industri ini dengan niat yang ikhlas. Saya tahu apa yang saya mahukan dalam hidup dan mahu kekal lama dalam bidang ini.
"Mungkin ini aturan Allah. Jadi saya perlu menjaga diri dan batas pergaulan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ezzanie bakal menghiasi slot Melodrama Astro menerusi drama Bulan Henti Bicara arahan Eyra Rahman dengan membawakan watak Zulfa.
Selain Ezzanie, drama itu turut dibintangi Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza dan Farah Ahmad.
























