KUALA LUMPUR: Pernah dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2019, Shweta Sekhon mengakui kini lebih memberi tumpuan kepada bidang lakonan, namun tidak pernah melupakan perjalanan yang membawanya ke pentas ratu cantik.
Shweta, 28, berkata, dia tidak pernah berniat meninggalkan dunia ratu cantik, namun memilih untuk memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya lakonan yang disifatkan membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
"Saya tidak boleh tinggalkan dunia pageant kerana gelaran Miss Universe Malaysia 2019 akan kekal milik saya.
"Tetapi, setahun sekali saya akan hadir ke malam gala dan ketika itu barulah aura Miss Universe kembali. Selain itu, semuanya saya simpan dalam kotak.
"Itulah perumpamaannya. Saya tidak akan tinggalkan dunia itu kerana saya berada di sini hari ini disebabkan platform berkenaan.
"Saya sentiasa berterima kasih kepada Elaine Daly dan pasukan kerana memberi peluang untuk orang mengenali Shweta," katanya.
Bagaimanapun, pelakon Keluang Man The Series itu berkata, dia tidak bercadang menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik buat masa ini kerana merasakan budaya pertandingan berkenaan sudah banyak berubah.
"Ya, saya tidak akan sertai pertandingan ratu cantik lagi. Itu adalah pendapat peribadi saya.
"Bagi saya, dunia pageant sebelum pandemik COVID-19 sangat menakjubkan, tetapi sekarang sudah banyak berubah.
"Saya masih mengikuti perkembangannya. Contohnya, saya sempat menonton pusingan awal Miss Grand baru-baru ini.
"Saya tidak boleh nafikan dunia pageant adalah sebahagian daripada diri saya, tetapi saya kurang gemar dengan pendekatan yang diamalkan sekarang," katanya.
Shweta berkata, dia enggan kembali bertanding kerana bimbang pengalaman indah yang pernah dilaluinya akan tercalar.
"Saya sangat menghargai pengalaman ketika menyertai Miss Universe 2019 dan tidak mahu merosakkan memori yang saya simpan.
"Ketika itu saya mengenali 92 peserta dari seluruh dunia dan sehingga hari ini kumpulan WhatsApp kami masih aktif.
"Ada yang sudah berkahwin, mempunyai anak dan hubungan kami masih rapat. Tiada suasana toksik seperti sekarang," katanya.
Menurut Shweta, budaya media sosial juga banyak mengubah hubungan sesama peserta berbanding ketika dia aktif dalam pertandingan dahulu.
"Sekarang semuanya seperti bergantung kepada media sosial. Kalau serasi di media sosial, barulah dianggap berkawan.
"Ikatan peribadi itu sudah semakin berkurangan. Walaupun saya daripada Generasi Z, jiwa saya lebih dekat dengan generasi milenial.
"Sebab itu saya tidak rasa cukup kuat untuk berdepan situasi yang toksik," katanya
Dalam perkembangan sama, Shweta bersyukur apabila diberi peluang mengembangkan bakat dalam industri lakonan tempatan.
"Saya menerima banyak projek menarik dan belajar pelbagai perkara. Saya rasa sangat diberkati.
"Shweta hari ini sudah berbeza. Saya sangat gembira berada dalam dunia lakonan walaupun berkarya dalam industri Melayu.
"Semua orang menerima saya dengan baik. Setakat ini saya tidak berdepan masalah bertutur dalam bahasa Melayu dan saya sangat menyukai bidang ini.
"Kalau dunia pageant perlukan saya untuk berkongsi pandangan atau pengalaman, saya sedia membantu. Tetapi jika pandangan saya tidak diperlukan, saya menghormatinya dan akan terus fokus kepada lakonan," katanya.
Kini, Shweta sedang menjalani penggambaran Keluang Man The Series arahan Zahir Omar dan Syahmi Norsan yang dijangka menemui penonton tahun depan.
Selain Shweta, drama bersiri itu turut dibintangi Nas-T, Anwaar Beg Moghal, Trisha Ooi, Azhar Sulaiman, Rusdi Ramli dan Sabri Yunus.
























