BH Online
Ringkasan Berita

Tunggakan KWSP memang ada tapi sedang diselesaikan - Mila Jirin

SUBANG JAYA: Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin mengakui syarikatnya masih mempunyai tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun menegaskan perkara itu sedang diselesaikan secara berperingkat mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui.
Tunggakan KWSP memang ada tapi sedang diselesaikan - Mila Jirin

Mila memilih tidak melayan dakwaan di media sosial, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan isu yang berbangkit. Foto NSTP/Rohanis Shukri

SUBANG JAYA: Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin mengakui syarikatnya masih mempunyai tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun menegaskan perkara itu sedang diselesaikan secara berperingkat mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui.

Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 39, berkata, beliau memilih untuk berdepan isu itu secara profesional tanpa melatah susulan dakwaan yang tular di Threads baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai majikan, beliau sentiasa mengutamakan kebajikan pekerja termasuk pembayaran gaji serta manfaat lain dan tidak pernah berniat mengabaikan tanggungjawab berkenaan.

"Ada perkara yang betul dan ada juga yang ditambah-tambah. Ada isu yang sebenarnya sudah selesai, manakala ada yang sedang kami uruskan menerusi pembayaran secara berjadual.

"Dalam industri hospitaliti, kek lambat sampai pun saya yang kena kecam. Pelayan tertumpahkan teh tarik pun saya yang dipersalahkan. Jadi, saya memang perlu bersedia dari segi mental.

"Itulah rencah menjadi usahawan. Orang hanya nampak perkara yang indah, tetapi tidak melihat cabaran sebenar di sebalik perniagaan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharunya, Tersimpan Dalam Hati, di Bizmilla Wedding Centre, di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, seorang pengguna Threads mendakwa sebuah syarikat milik penyanyi tempatan gagal melunaskan caruman KWSP pekerja selama 10 bulan.

Bagaimanapun, Mila berkata, beliau enggan melayan dakwaan berkenaan secara terbuka, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan perkara yang berbangkit.

"Berniaga memang ada cabarannya, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Di Bizmilla, kos gaji sahaja mencecah RM600,000 sebulan. Sudah tentu kami perlu menguruskan aliran kewangan dengan sebaik mungkin.

"Saya pun tidak tahu siapa yang menulis di Threads itu. Bagi saya, itu hak mereka. Saya tidak pernah hendak membalas atau mengecam sesiapa.

"Sebagai majikan, apa juga membabitkan pekerja perlu kami uruskan. Keutamaan kami adalah gaji dan manfaat mereka. Mana yang tertunggak, kami akan selesaikan," katanya.

Mila berkata, jumlah pekerja yang ramai bukan alasan untuk syarikat mengabaikan tanggungjawab terhadap caruman KWSP.

Katanya, ketika pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bizmilla sanggup membuat pinjaman sehingga RM5 juta bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara.

"Ketika PKP, kami mempunyai kira-kira 100 pekerja. Saya tidak sanggup memberhentikan mereka kerana yang saya nampak bukan wajah pekerja semata-mata, tetapi wajah anak-anak mereka.

"Sebab itu kami membuat pinjaman hampir RM5 juta untuk memastikan operasi dan pembayaran gaji dapat diteruskan.

"Perkara seperti itu tidak kami jelaskan di Threads kerana kami lebih selesa menyelesaikan isu melalui saluran dalaman," katanya.

Mila berkata, beliau komited menyelesaikan isu caruman KWSP dan berharap pekerja terus memberi kerjasama serta memahami situasi yang dihadapi syarikat.

"Kalau saya ini majikan yang tidak baik, saya rasa tidak mungkin pasukan saya mampu menguruskan majlis dengan begitu baik.

"Saya bukan majikan yang sempurna, tetapi saya sentiasa mengutamakan kebajikan pekerja. Kami bekerja, mencari rezeki dan melalui cabaran bersama-sama.

"Apabila syarikat berdepan masalah, kami juga perlu berjuang bersama untuk mengatasinya," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan