BH Online
Ringkasan Berita

BTS diramal menyerlah di pentas Anugerah Grammy 2027

LOS ANGELES: Fenomena K-pop sudah lama menjadi kuasa besar dalam industri muzik Amerika Syarikat (AS), namun, pengiktirafan pada Anugerah Grammy berkembang lebih perlahan apabila hanya segelintir artis genre itu berjaya menembusi pencalonan anugerah berprestij berkenaan.
BTS diramal menyerlah di pentas Anugerah Grammy 2027

Sekiranya berjaya mengumpul beberapa pencalonan dalam kategori berkenaan, BTS dijangka mencipta rekod baharu sebagai tahun paling cemerlang mereka dalam sejarah penyertaan di pentas Anugerah Grammy. Foto IG BTS

LOS ANGELES: Fenomena K-pop sudah lama menjadi kuasa besar dalam industri muzik Amerika Syarikat (AS), namun, pengiktirafan pada Anugerah Grammy berkembang lebih perlahan apabila hanya segelintir artis genre itu berjaya menembusi pencalonan anugerah berprestij berkenaan.

Setakat ini, hanya beberapa nama seperti BTS dan anggota Blackpink, Rose, pernah menerima pencalonan Anugerah Grammy. Pada edisi 2026 pula, penyanyi di sebalik kumpulan fiksyen Huntr/x menerusi filem KPop Demon Hunters turut bersaing.

Lagu Apt dan Golden pula mencipta sejarah apabila menjadi karya pertama daripada artis K-pop yang dicalonkan dalam kategori Lagu Terbaik, dengan Apt. turut tersenarai dalam kategori Rekod Terbaik.

Golden turut mencatat sejarah apabila menjadi rakaman K-pop pertama memenangi Grammy menerusi kategori Lagu Terbaik Untuk Media Visual.

Bagaimanapun, trofi itu diberi kepada barisan penulis lagu, bukannya artis yang mempersembahkannya, sekali gus bermakna tiada artis K-pop pernah memenangi trofi Grammy sebagai penghibur utama, lapor Forbes.

Situasi itu berpotensi berubah pada Grammy 2027 apabila penganjur Anugerah Grammy, iaitu Recording Academy memperkenalkan kategori baharu, Persembahan Muzik Terbaik Asia yang mengiktiraf karya pop dalam bahasa Asia termasuk K-pop, J-pop dan C-pop.

BTS dijangka menjadi antara calon pilihan dalam kategori berkenaan, namun, pemilihan lagu yang akan dipertandingkan berkemungkinan menjadi penentu sama ada kumpulan itu akhirnya mampu membawa pulang trofi Grammy pertama.

Sepanjang kerjaya, BTS sudah mengumpul lima pencalonan Anugerah Grammy, namun masih belum berjaya meraih kemenangan.

Lagu Dynamite, Butter dan kolaborasi bersama Coldplay menerusi My Universe pernah dicalonkan dalam kategori Aksi Terbaik Pop Duo/Berkumpulan manakala Yet to Come (The Most Beautiful Moment) menerima pencalonan Video Muzik Terbaik.

Kumpulan itu juga tersenarai menerusi pencalonan Album Terbaik milik Coldplay untuk album Music of the Spheres yang memuatkan lagu My Universe.

Bagaimanapun, tiada album BTS sendiri pernah dicalonkan dalam kategori utama itu, namun album terbaharu mereka, Arirang, dilihat mampu mengubah keadaan.

Dilancarkan pada musim bunga tahun ini sebagai album kemunculan semula yang dinantikan, Arirang berjaya menduduki tangga pertama carta di AS dan mengandungi beberapa lagu yang berpotensi bersaing dalam pelbagai kategori Anugerah Grammy.

Walaupun peluang untuk menembusi kategori Album Terbaik dilihat mencabar berikutan persaingan sengit daripada pelbagai album popular dan mendapat pujian pengkritik, BTS masih berpeluang mencuri perhatian menerusi kategori lain.

Single utama Swim dijangka menjadi senjata utama BTS dalam kempen Anugerah Grammy kali ini.

Lagu itu memulakan debut di tangga pertama carta Billboard Hot 100 selain mengungguli Billboard Global 200 dan Billboard Global Excl. U.S., sekali gus membuktikan kejayaannya di peringkat antarabangsa.

Swim dijangka dipertandingkan dalam kategori Aksi Terbaik Pop Duo/Berkumpulan, yang sebelum ini sudah menyumbang tiga daripada lima pencalonan Grammy BTS.

Selain itu, lagu berkenaan juga berpotensi dicalonkan dalam kategori Rakaman Tarian Pop Terbaik atau Rakaman Tarian/Elektronik Terbaik, iaitu bergantung kepada klasifikasi Recording Academy.

Sekiranya dipilih, ia bakal menjadi penyertaan sulung BTS dalam kategori muzik tarian berkenaan.

Awal bulan ini, BTS turut melancarkan Normal sebagai single rasmi lengkap dengan video muzik serta versi bahasa Korea.

Walaupun pencapaiannya tidak setanding Swim daripada sudut komersial, lagu itu dilihat lebih sesuai dipertandingkan dalam kategori baharu Persembahan Muzik Terbaik Asia, yang mensyaratkan penggunaan sekurang-kurangnya satu bahasa Asia secara signifikan.

Strategi mempertandingkan Swim dalam kategori pop atau tarian, manakala Normal dalam kategori Asian Pop berpotensi meningkatkan peluang BTS membawa pulang lebih daripada satu pencalonan.

Selain kategori lagu, BTS juga berpeluang kembali bersaing dalam kategori Video Muzik Terbaik.

Setakat ini, hanya Yet to Come (The Most Beautiful Moment) pernah membawa BTS ke kategori itu pada Grammy 2023.

Menerusi visual sinematik dan koreografi berskala besar yang sinonim dengan kumpulan itu, sama ada Swim atau Normal dilihat berpotensi mengembalikan BTS ke senarai pencalonan.

Dengan album Arirang serta lagu Swim dan Normal yang layak dipertandingkan, Anugerah Grammy 2027 berpotensi menjadi edisi paling berjaya buat BTS.

Antara kategori yang berkemungkinan menyaksikan penyertaan BTS adalah Album Terbaik, Aksi Terbaik Pop Duo/Berkumpulan, Rakaman Tarian Pop Terbaik; Rakaman Tarian/Elektronik Terbaik; Persembahan Muzik Terbaik Asia dan Video Muzik Terbaik.

Sekiranya berjaya mengumpul beberapa pencalonan dalam kategori berkenaan, BTS dijangka mencipta rekod baharu sebagai tahun paling cemerlang mereka dalam sejarah penyertaan di pentas Anugerah Grammy.

Anugerah Grammy 2027 akan disiarkan secara langsung dari sini, pada 7 Februari tahun depan. - AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan