KUALA LUMPUR: Selepas mencipta nama menerusi deretan filem aksi, pelakon Nas-T enggan terus terperangkap dengan imej hero lasak apabila menegaskan dirinya masih bersedia membawakan watak romantis sekiranya diberi peluang.
Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 42, berkata, sebagai pelakon, dia tidak pernah memilih genre kerana mahu terus mencabar kemampuan dan membuktikan dirinya mampu menjayakan pelbagai karakter.
"Saya mahu menjadi pelakon yang versatil. Jadi, saya tidak pernah menolak mana-mana rezeki. Kalau selepas ini diberi peluang membintangi naskhah romantis, saya akan terima.
"Saya mahu cabar diri dan buat semua genre. Saya tidak mahu orang meletakkan stereotaip bahawa saya hanya sesuai membawakan watak aksi.
"Saya juga tidak mahu orang cakap muka saya tidak sesuai membawa watak romantis. Kalau boleh, saya mahu cuba semuanya. Saya pun hendak tengok sejauh mana kemampuan saya.
"Saya yakin boleh melakukannya kerana ketika muda dulu, saya pernah membintangi drama romantis," katanya kepada BH Online.
Nas-T mengakui penonton kini lebih sinonim mengaitkan namanya dengan filem aksi berikutan penglibatannya dalam Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, Legasi Bomba The Movie dan Keluang Man.
"Memang saya rasa begitu kerana kebanyakan projek saya sejak kebelakangan ini adalah naskhah aksi.
"Cabaran saya sekarang adalah memecahkan stereotaip itu. Sebelum dikenali sebagai pelakon aksi, saya pernah dilabel sebagai pelakon yang sering membawa watak jahat.
"Saya berjaya keluar daripada fasa itu, tetapi kini orang pula mengenali saya sebagai pelakon aksi. Jadi, saya perlu lakukan sesuatu yang berbeza.
"Itulah cabaran setiap pelakon. Kalau mahu menjadi versatil, kita perlu berani memecahkan stereotaip," katanya.
Dalam masa sama, Nas-T berkata dia tidak kisah sekiranya lebih dikenali sebagai pelakon filem, namun tetap berharap dapat kembali aktif membintangi drama.
"Agak lama juga saya tidak terbabit dalam drama, mungkin lebih dua tahun atau kurang sedikit.
"Saya tidak menyalahkan sesiapa. Bagi saya, tidak mengapa kalau dikenali sebagai pelakon filem, tetapi kalau boleh saya mahu jadi pelakon yang versatil.
"Saya mahu berlakon drama juga dan terus mencuba pelbagai genre," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nas-T kini sedang menjalani penggambaran Keluang Man The Series arahan Zahir Omar dan Syahmi Norsan yang dijadualkan ditayangkan tahun depan.
Turut membintangi drama bersiri tujuh episod itu ialah Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon, Trisha Ooi, Azhar Sulaiman, Rusdi Ramli dan Sabri Yunus.
Drama itu mengisahkan Borhan, lakonan Nas-T, yang melarikan diri dari hospital mental sebelum mengasingkan diri daripada masyarakat kerana dibelenggu rasa bersalah dan percaya 'sumpahan' yang menghantuinya akan membawa maut kepada sesiapa yang mendekatinya.
Dalam usahanya mencari ketenangan, Borhan akhirnya terpaksa berdepan konflik dalaman dan menentang kuasa hitam yang mengancam untuk memusnahkan Tumpoi serta insan tersayang.
























