PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) secara rasmi memulakan fasa perpindahan operasinya dari kompleks ikonik di Petaling Jaya ke ibu pejabat baharu di Menara FINAS Damansara, sekali gus menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah industri perfileman negara.
Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, berkata proses perpindahan itu dilaksanakan secara berperingkat sejak sebulan lalu dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang 1 Ogos ini.
"Secara simboliknya, kita menutup satu era sejarah industri kreatif tanah air. Kami masih dalam proses perpindahan dan menjelang 1 Ogos, saya percaya hampir 100 peratus warga FINAS akan beroperasi di ibu pejabat baharu di Damansara," katanya ketika ditemui pada majlis simbolik perpindahan operasi FINAS ke Menara FINAS Damansara di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Bagaimanapun, Hans berkata fasiliti FINAS di Hulu Kelang akan terus beroperasi berikutan kemudahan di lokasi itu masih digunakan secara meluas oleh penggiat industri kreatif, selain menempatkan pelbagai aset yang membabitkan pelaburan besar kerajaan.
"Kementerian dan kerajaan sudah melabur banyak terhadap aset di bangunan itu, jadi ia akan terus dimanfaatkan.
"Kemudahan seperti pentas bunyi, studio adunan audio dan pascaproduksi akan terus beroperasi di sana. Cuma dari segi dasar dan pengurusan, semuanya akan berpusat di ibu pejabat baharu di Damansara," katanya.
Hans berkata, Menara FINAS Damansara yang mempunyai 15 tingkat menawarkan persekitaran kerja lebih moden, manakala pembangunan kemudahan teknikal seperti studio dan fasiliti produksi akan dilaksanakan secara berperingkat selepas proses perpindahan kakitangan selesai.
Hans menambah, lebih 300 kakitangan FINAS di Semenanjung akan ditempatkan di Menara FINAS Damansara, manakala selebihnya terus berkhidmat di pejabat FINAS Sabah dan Sarawak serta beberapa unit operasi di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang.
Hans mengakui warga FINAS berasa sebak meninggalkan kompleks di Petaling Jaya yang menjadi saksi pelbagai sejarah dan perkembangan industri perfileman negara sejak lebih enam dekad lalu.
"Memang sedih meninggalkan bangunan ini kerana terlalu banyak sejarah dan dasar penting industri kreatif lahir di sini.
"Namun, kita perlu bergerak ke hadapan. Saya berharap bangunan baharu ini mampu membawa inspirasi serta suntikan semangat baharu kepada warga FINAS dan seluruh industri kreatif negara," katanya.
Sementara itu, Teo menyifatkan Menara FINAS Damansara sebagai simbol transformasi organisasi yang akan memperkukuh peranan FINAS sebagai peneraju pembangunan industri kreatif negara.
"Menara FINAS Damansara bakal menjadi simbol transformasi organisasi, pusat pemikiran strategik serta pemangkin kepada pembangunan industri kreatif negara yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di peringkat serantau serta antarabangsa.
"Saya yakin dengan komitmen seluruh warga FINAS serta sokongan padu daripada pemain industri, perpindahan ini akan membuka ruang kepada lebih banyak pembaharuan, kerjasama strategik dan pencapaian yang lebih membanggakan," katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan bacaan doa selamat sebagai tanda kesyukuran serta memohon keberkatan agar urusan perpindahan dipermudahkan dan lancar.
























