BH Online
Ringkasan Berita

Okay juga 'uncle' ini - Yusry tak sangka kumpul peminat remaja

PETALING JAYA: Datuk Yusry Abdul Halim menganggap perhatian luar biasa diterima selepas muncul dalam drama Dendam Seorang Mentua bukanlah tekanan, sebaliknya, rezeki yang tidak pernah dirancang.
Okay juga 'uncle' ini - Yusry tak sangka kumpul peminat remaja

Yusry bersyukur apabila diterima peminat daripada pelbagai generasi, sekali gus menyuntik semangat untuk terus menjaga kesihatan dan kecergasan. Foto NSTP/Ahmad Ukasyah

PETALING JAYA: Datuk Yusry Abdul Halim menganggap perhatian luar biasa diterima selepas muncul dalam drama Dendam Seorang Mentua bukanlah tekanan, sebaliknya, rezeki yang tidak pernah dirancang.

Anggota trio adik-beradik popular, KRU ini tidak menyangka namanya kembali menjadi sebutan ramai, termasuk dalam kalangan peminat remaja.

"Saya tak pernah rasa ia suatu tekanan. Apa yang lucunya, selepas saya berlakon dalam Dendam Seorang Mentua, tiba-tiba ramai peminat baharu, terutama golongan remaja.

"Ramai pula yang cakap, okay juga 'uncle' ini. Tetapi, seperti saya selalu cakap, rezeki tak pernah salah alamat. Saya langsung tidak merancang untuk melalui jalan ini selepas berlakon drama itu.

"Apabila jadi begini, ramai yang tanya sama ada saya merancangnya. Tapi sebenarnya tidak... Saya redah saja," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharu berjudul Eternal di JioSpace di sini, malam tadi.

Yusry, 53, bersyukur apabila diterima peminat daripada pelbagai generasi, sekali gus menyuntik semangat untuk terus menjaga kesihatan dan kecergasan.

"Apabila ada peminat baharu yang menghargai saya seadanya, saya bersyukur. Sudah tentu sekarang saya perlu bersenam untuk menjaga stamina.

"Perkara itu saya sedar selepas menjayakan konsert, tahun lalu. Saya fikir sekarang saya berada pada tahap paling cergas. Sebelum ini saya memang tidak begitu cergas, badan pun kurus.

"Tapi saya tidak anggap semua ini sebagai tekanan. Bagi saya, ia sebahagian daripada tanggungjawab sebagai penghibur," katanya.

Mengulas kemunculan album solo kedua selepas lebih dua dekad, Yusry mengakui projek berkenaan bukan dalam perancangannya.

"Sejujurnya, tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran saya untuk menghasilkan album solo. Tahun lalu, kami (KRU) fokus kepada konsert sahaja dan selesai setakat itu.

"Entah macam mana, orang kata rezeki tak salah alamat. Memang rezeki itu ada dan kebetulan semuanya sesuai dengan keadaan ketika itu. Akhirnya, projek album ini berlaku dengan sendirinya.

"Kalau daripada segi pemilihan lagu, memang saya terbabit. Tetapi dari segi promosi, konsep, penampilan dan pemilihan pakaian, saya langsung tidak campur tangan," katanya.

Suami kepada pelakon, Datin Lisa Surihani itu berkata, dia sengaja memberi peluang kepada barisan komposer muda untuk mengetengahkan bakat mereka.

"Saya mahu beri peluang kepada bakat baharu. Saya percaya kepada generasi baharu kerana KRU juga pernah melalui situasi apabila komposer dan penggiat seni yang lebih senior memandang rendah.

"Saya pernah melalui pengalaman itu. Jadi apabila usia semakin meningkat, saya berjanji pada diri sendiri tidak akan mengulangi perkara yang sama," katanya.

Album Eternal yang dilancarkan malam tadi memuatkan enam lagu, iaitu Narsisistik, Jiwa & Raga, Kasarnya Cinta, Kamu Harus Tahu, Hancur Kecewa dan Pelengkap Hidup.

Setiap lagu membawa cerita tersendiri yang mengangkat tema perkara yang kekal dalam kehidupan seperti kenangan, kasih sayang, kehilangan, harapan dan pengalaman yang membentuk diri.

Video Terkini

Berita Berkaitan